Skip to main content

Singapura

5 pegawai Gurkha dipenjara terlibat kes pindah wang rentas negara tanpa lesen

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Lima lelaki warga Nepal yang merupakan pegawai daripada kontinjen Gurkha di sini dijatuhi hukuman penjara pada Khamis (5 Sep) kerana menawarkan khidmat bayaran tidak berlesen, yang melibatkan pindahan berjuta dolar kepada penerima luar negara.

Mahkamah diberitahu bahawa kesalahan tersebut diketahui selepas Jabatan Ehwal Komersil di bawah Pasukan Polis Singapura (SPF) menerima maklumat pada Februari tahun lalu bahawa beberapa pegawai daripada kem Kontinjen Gurkha menawarkan khidmat pindahan wang.

Satu serbuan dijalankan di kem tersebut pada 22 Mac tahun lalu.

Antara lima individu yang dijatuhi hukuman pada Khamis, Sitaram Tamang, 40 tahun, diberikan hukuman penjara paling lama, iaitu lima bulan, selepas mengaku bersalah bersubahat menawarkan khidmat pindahan wang tidak berlesen. Tiga lagi pertuduhan diambil kira ketika hukuman dijatuhkan.

Dia menguruskan wang sebanyak S$2.87 juta ketika menjalankan khidmat tersebut, iaitu jumlah terbanyak di antara lima lelaki itu.

Lelaki lain yang terlibat adalah:
  • Dik Bahadur Gurung, 32 tahun, yang dijatuhi hukuman penjara 14 minggu kerana menawarkan khidmat pindahan wang tanpa lesen, dan menggalakkan orang lain melakukan khidmat tersebut. Urus niaga kira-kira S$1.59 juta dilakukan dalam kesnya. Dia memperoleh jumlah dianggarkan antara S$1,750 dengaan S$2,450.
  • Ganga Prasad Rai, 43 tahun, dijatuhi hukuman penjara 10 minggu kerana menawarkan khidmat pindahan wang tanpa lesen dan menggalakkan orang lain melakukan khidmat tersebut. Dia melakukan urus niaga bernilai S$1.06 juta, termasuk dua pertuduhan yang diambil kira.
  • Mingmar Sherpa, 44 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu kerana bersubahat menawarkan khidmat pindahan wang tanpa lesen.
  • Ashok Kumar Thapa, 39 tahun, dijatuhi hukuman penjara empat minggu kerana menawarkan khidmat pindahan wang tanpa lesen.

DIREKRUT PEGAWAI GURKHA SUDAH BERSARA

Mahkamah dimaklumkan bahawa seorang pegawai, Pratik Tamang, yang menyertai Kontinjen Gurkha pada 2004 dan bersara pada Februari 2022, didakwa mula menawarkan khidmat pindahan wang kepada pegawai Gurkha lain di kem tersebut sekitar Jun 2021.

Dia didakwa merekrut Ditaram, Ganga dan Dik pada tempoh berbeza untuk membantunya dalam operasi tersebut.

Pratik sudah pulang ke Nepal selepas bersara dan kini diburu polis, kata pendakwa.

Para pegawai Gurkha akan meminta bantuan Pratik dan memberitahunya jumlah yang ingin dipindahkan ke Nepal. Pratik kemudian akan memindahkan jumlah tersebut dalam mata wang rupee Nepal kepada penerima di negara itu.

Pegawai tersebut akan memindahkan wang dihutang daripada Pratik dalam mata wang dolar Singapura, ke akaun bank Sitaram. Sitaram akan memberi wang itu kepada Pratik melalui pindahan bank atau dalam bentuk wang tunai kepada rakan Pratik.

Pada Julai 2022, Pratik meminta Ganga dan Dik bekerja dengannya melalui Sitaram. Dua lelaki itu akan memberi wang yang sudah dikumpul kepada Sitaram, untuk dipindahkan.

ANGGOTA KELUARGA PERLU BANTUAN

Bagi Ashok, dia dihubungi bapa saudara kepada sepupunya, yang dikenali sebagai "Mahendra" dalam dokumen mahkamah, pada Februari 2022, untuk membantu memindahkan sejumlah wang.

Encik Mahendra menjual tanahnya di Nepal dan ingin memindahkan wangnya ke England, di mana dia sedang menetap ketika itu.

Pada masa yang sama, abang kepada Ashok, Gokul Thapa, ingin memindahkan wang dari Nepal kepada anak saudara Ashok yang berpangkalan di Perth, Australia.

Gokul meminta bantuan Ashok, kerana kadar pertukaran mata wang antara dolar Singapura dengan dolar Australia lebih menguntungkan.

Bapa saudara dan abang Ashok akan memindahkan wang dalam mata wang rupee Nepal kepada penerima di negara itu.

Ashok kemudian akan memindahkan wang yang diberikan pegawai Gurkha dalam mata wang Singapura, kepada anak saudaranya di Perth, dan bapa saudara kepada anak sepupunya di England.

Ashok menawarkan khidmat pindahan wang tersebut kepada pegawai Gurkha antara 20 Februari dengan 20 Julai 2022.

Dia menerima lebih S$103,400 menerusi urus niaga dan mendakwa bahawa dia tidak mendapat sebarang keuntungan, kata Timbalan Pendakwa Raya Brian Tan.

ISTERI TAWAR PEKHIDMATAN, NAIKKAN KADAR CAJ

Dalam kes Mingmar, mahkamah diberitahu bahawa isterinya yang mula menawarkan khidmat pindahan wang kepada pegawai Gurkha serta isteri mereka pada September 2022.

Mingmar memberi akaun bank dan nombor PayNownya kepada isternya, Pema Sherpa, bagi tujuan tersebut. Pegawai Gurkha yang menggunakan khidmat itu akan berususan dengan isteri Mingmar, dan akan memindahkan wang ke akaunnya.

Antara September 2022 dengan Mac 2023, sebanyak S$472,000 dipindahkan ke banknya menerusi 183 urus niaga.

Isterinya juga menambah caj perkhidmatan sebanyak 2 rupee Nepal, berbanding kadar pasaran pindahan wang biasa.

Hukuman menjalankan perniagaan menawarkan khidmat pindahan wang tanpa lesen di Singapura, atau menggalakkan perniagaan sedemikian adalah denda sehingga S$125,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita