5 orang, termasuk 3 kanak-kanak dikejarkan ke hospital susuli kebakaran di flat Sengkang
Kereta bomba di 280B Sengkang East Avenue pada 19 Julai 2023 (kiri); dapur di unit di mana kebakaran tercetus. (Gambar-gambar: Facebook/SCDF)
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran yang berlaku di blok 280B Sengkang East Avenue itu sekitar pukul 2.45 pagi.
Kebakaran tersebut melibatkan kandungan di dalam dapur di sebuah unit tingkat empat, menurut SCDF menerusi catatan Facebooknya, sambil menambah api dipadamkan menggunakan jet air.
Bahagian lain unit tersebut juga mengalami kerosakan disebabkan suhu sangat panas akibat kebakaran itu.
Unit itu diselubungi asap dan anggota bomba terpaksa berhati-hati ketika masuk ke dalamnya, tambah SCDF.
Menurut SCDF lagi, lima orang dijumpai di dalam salah satu bilik tidur dan dibantu anggota bomba.
Mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Besar Sengkang kerana terhidu asap dan salah seorang orang dewasa yang diselamatkan mengalami luka terbakar yang ringan.
Kira-kira 50 penduduk dari blok yang terjejas dipindahkan oleh polis dan SCDF sebagai langkah berjaga-jaga.
"Siasatan awal menunjukkan bahawa kebakaran itu berkemungkinan disebabkan oleh sumber elektrik di dapur," menurut SCDF.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.