Skip to main content

Singapura

5 orang didakwa atas kesalahan Kpod, lagi 65 kes libatkan etomidate dalam vape sedang disiasat

Lima orang didakwa setakat Khamis (14 Ogos) atas kesalahan menjual atau mengimport vape yang mengandungi etomidate, yang juga dikenali sebagai Kpod.

Anggaran Waktu Membaca:
5 orang didakwa atas kesalahan Kpod, lagi 65 kes libatkan etomidate dalam vape sedang disiasat

Gambar fail vape dan beberapa alat berkaitan. (Gambar: iStock)

Diterbitkan : 14 Aug 2025 10:49PM Dikemas Kini : 14 Aug 2025 10:50PM
SINGAPURA: Lima orang didakwa setakat Khamis (14 Ogos) atas kesalahan menjual atau mengimport vape yang mengandungi etomidate, yang juga dikenali sebagai Kpod.

Penguasa Sains Kesihatan (HSA) juga sedang menyiasat lagi 65 kes melibatkan pemilikan, penjualan or import vape seumpamanya, menurut HSA dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media bersama.

Di bawah Akta Racun, mereka yang didapati bersalah memiliki, mengimport atau menjual pod mengandungi etomidate boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$10,000.

Penggunaan vape dilarang di Singapura dan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap jumlah kes yang semakin meningkat.

Mereka juga cuba menangani trend pengguna Kpod, yang mengandungi cecair vape yang dicampur dengan etomidate.

Etomidate adalah ubat bius yang bertindak pantas dan digunakan bagi pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Ia juga digunakan dalam proses perubatan tertentu sebagai intubasi.

Namun, apabila digunakan di luar kawalan perubatan, etomidate sangat berbahaya.

MOH dan HSA menyatakan lagi 18 orang berdepan tuduhan melibatkan penjualan, pengiklanan atau mengimport vape.

Lagi 100 orang sedang disiasat atas kesalahan serupa di bawah Akta (Kawalan Iklan dan Penjualan) Tembakau (TCASA).

Pihak berkuasa menyatakan etomidate tidak lama akan diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Para pesalah yang didapati menggunakan vape yang mengandungi etomidate akan menjalani pemantauan dan pemulihan wajib.

Para pesalah berulang boleh dikenakan dakwaan dan berdepan hukuman penjara selama sekurang-kurangnya setahun.

"Hukuman lebih berat akan dikenakan terghadap mereka yang menjual, mengedar atau mengimport alat-alat tersebut, termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan," menurut MOH dan HSA.

"Para pengguna vape, terutama sekali yang mengambil etomidate, sangat digalakkan supaya berhenti dengan serta-merta."

Pemilikan, penggunaan atau pembelian vape boleh dikenakan denda S$2,000 di bawah TCASA.

Ia juga satu kesalahan untuk mengimport, mengedarkan atau menjual vape dan komponennya.

Mereka yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga S$10,000, atau dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Para pesalah berulang berdepan hukuman lebih berat.

Semua produk tembakau yang dilarang akan disita.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita