Skip to main content

Singapura

5 orang awam bantu polis berkas suspek acu pisau pemotong di Commonwealth Avenue

Lima orang awam membantu polis menahan seorang lelaki setelah dia mengacu pisau pemotong dan menyerang orang ramai di Commonwealth Avenue, termasuk di sebuah lobi lif flat HDB, Pusat Penjaja Margaret Drive dan di sebuah penghubung taman (PCN).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Feb 2024 02:10PM Dikemas Kini : 04 Feb 2024 10:03PM
SINGAPURA: Lima orang awam membantu polis menahan seorang lelaki setelah dia mengacu pisau pemotong dan menyerang orang ramai di Commonwealth Avenue, termasuk di sebuah lobi lif flat HDB, Pusat Penjaja Margaret Drive dan di sebuah penghubung taman (PCN).

Suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 20 tahun akan didakwa di mahkamah esok (5 Feb) kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata berbahaya, kata polis hari ini (4 Feb).

Siasatan awal mendedahkan bahawa lelaki itu bertindak seorang diri dalam kejadian yang berlaku pada lewat petang Sabtu.

Tiada sebarang tanda yang mencadangkan ia satu tindakan keganasan, menurut polis.

Ketujuh-tujuh mangsa dan tertuduh tidak saling mengenali. Dia didakwa menyerang mereka menggunakan sebilah pisau, pisau pemotong dan tangannya sendiri.

Dua lelaki berusia 76 dan 40 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital dalam keadaan sedar.

Mereka menerima rawatan pesakit luar.

Lagi tiga lelaki berusia 54, 21 dan 20 tahun serta seorang wanita berusia 45 tahun mengalami kecederaan ringan dan enggan mendapatkan rawatan perubatan lanjut.

Perintah mahkamah telah diperolehi bagi suspek ditahan reman di Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian psikiatri.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun, didenda, disebat atau mana-mana gabungan hukuman tersebut.

Ia juga satu kesalahan untuk membawa senjata berbahaya di tempat awam tanpa alasan sah di sisi undang-undang.

Kesalahan bagi perbuatan itu adalah hukuman penjara sehingga tiga tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali.

Polis menyatakan mereka menerima panggilan bantuan pada pukul 7.05 malam semalam mengenai seorang lelaki yang mengacukan pisau pemotong sambil berlari ke arah 301 Commonwealth Avenue.

Mereka tiba di tempat kejadian selang lapan minit selepas panggilan dibuat lalu memberkas lelaki itu pada jarak sekitar 400 meter di 1 Dundee Road, iaitu alamat bagi kondominium Queens Peak, dengan bantuan lima orang awam yang menahan lelaki itu pada kira-kira pukul 7.18 malam.

Lelaki itu dipercayai menyerang mangsa pertama dekat Pusat Penjaja Margaret Drive dan mangsa kedua dan ketiga di tingkat paling bawah lobi lif di sebuah blok HDB berhampiran.

Lelaki itu kemudian dipercayai menyerang mangsa yang keempat di kawasan Pusat Penjaja Margaret Drive dan mangsa kelima hingga ketujuh di PCN Alexandra Canal.

Polis menyampaikan Anugerah Semangat Kemasyarakatan Awam kepada lima orang awam yang membantu memberkas individu tersebut.

Tiga daripada mereka hadir di majlis penganugerahan itu. Mereka ialah Encik Mok Kwong Heng, Encik Gangatharan Saravanan dan Encik Emmanuel Ee Wei Chuan.

Encik Ee, 21 tahun, merupakan salah seorang mangsa yang mengejar suspek setelah beliau diserang.

"Polis ingin mengiktiraf lima orang awam yang bantu menahan tertuduh sebelum polis tiba di tempat kejadian," kata Penolong Pesuruhjaya Serene Chiu dari Divisyen Clementi Pasukan Polis Singapura (SPF).
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita