Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 masjid ini sediakan khidmat jaga kanak-kanak semasa solat tarawih

Anggaran Waktu Membaca:
5 masjid ini sediakan khidmat jaga kanak-kanak semasa solat tarawih

Masjid Al-Ansar. (Gambar: Facebook)

BERITAmediacorp: Bagi ibu bapa yang mempunyai anak kecil mendirikan solat tarawih di masjid boleh disifatkan sebagai sesuatu yang mencabar.

Bukan hanya dari segi memastikan anak mereka itu tidak mengganggu jemaah lain, ada juga ibu bapa yang bimbang anak yang aktif akan turut berlari-lari di pekarangan masjid semasa solat tarawih dijalankan.

Lantaran itu, inisiatif 'child-minding' atau khidmat menjaga anak semasa solat tarawih di sebilangan masjid sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa berasa lebih tenang semasa solat tarawih dijalankan.

BERITAmediacorp menyenaraikan lima masjid yang menjalankan khidmat tersebut.

1. MASJID AL-ISTIQAMAH

Perkhidmatan secara percuma di Masjid Al-Istiqamah di Serangoon North menawarkan pengalaman yang menyeronokkan dan berunsur pendidikan bagi kanak-kanak mempelajari tentang Islam.

Kakitangan terlatih juga akan memberi panduan kepada kanak-kanak menerusi kegiatan dan kelas yang dijalankan bagi membantu mereka lebih memahami dan menghargai agama Islam.

Khidmat ini bagaimanapun hanya disediakan pada hari-hari tertentu dan hanya 20 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun diterima masuk.

Pautan pendaftaran di sini.

2. MASJID AN-NUR

Di Masjid An-Nur, guru-guru prasekolah yang berkelayakan akan memastikan kanak-kanak mengikuti pelbagai kegiatan bermanfaat.

Ini termasuk sesi bercerita, seni dan kraf tangan, zikir dan al-Quran serta permainan berunsur pendidikan.

Khidmat ini diadakan setiap Jumaat dan Sabtu sehingga 15 April dan hanya terhad kepada 25 kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun bagi setiap sesi. Tiada bayaran dikenakan.

Pautan pendaftaran di sini.

3. MASJID AR-RAUDHAH

Dengan kerjasama syarikat Little Quran Kids!, Masjid Ar-Raudhah di Bukit Batok menyediakan khidmat penjagaan kanak-kanak setiap hari Jumaat bagi kanak-kanak berusia tiga hingga enam tahun dan setiap Ahad bagi kanak-kanak berusia tiga hingga lapan tahun.

Yuran sebanyak S$10 dikenakan bagi setiap sesi.

Pautan pendaftaran di sini.

4. MASJID AL-ANSAR
Selain Masjid Ar-Raudhah, syarikat Little Quran Kids! turut bergabung dengan Masjid Al-Ansar bagi sesi penjagaan kanak-kanak.

Antara kegiatan yang akan dijalankan termasuk zikir, sesi bercerita serta bermain bebas.

Dipanggil Little Explorers' Ramadan, sesi tersebut boleh disertai kanak-kanak berusia empat hingga lapan tahun dan diadakan setiap hari Jumaat dan Sabtu.

Yuran S$10 juga dikenakan bagi setiap sesi, yang dihadkan kepada 20 kanak-kanak.

Pautan pendaftaran di sini.

5. MASJID PUSARA AMAN
Masjid Pusara Aman menyediakan ruang khas bagi ibu bapa meletakkan anak mereka semasa menunaikan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini.

Disediakan secara percuma setiap hari bagi kanak-kanak berusia empat hingga sembilan tahun, kanak-kanak tersebut perlu membawa sendiri keperluan dan peralatan masing-masing seperti botol air, tisu basah dan buku cerita.

Selain memastikan keselesaan jemaah melakukan ibadah, perkhidmatan yang disediakan itu secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak ke masjid dan ini dapat memupuk perasaan cinta masjid sejak di awal usia.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan