Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 masjid berstatus monumen negara terima bantuan lebih S$270,000

Lima masjid tempatan yang berstatus monumen negara termasuk Masjid Sultan dan Masjid Hajjah Fatimah menerima bantuan berjumlah lebih S$270,000 keseluruhannya sejak tahun lalu, menerusi bantuan Dana Monumen Negara (NMF).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lima masjid tempatan yang berstatus monumen negara menerima bantuan berjumlah lebih S$270,000 keseluruhannya sejak tahun lalu, menerusi bantuan Dana Monumen Negara (NMF).

Jumlah itu sebahagian daripada S$2.24 juta yang diagihkan untuk pemuliharaan dan penyenggaraan sebanyak 20 monumen negara bagi tahun 2020 dan 2021.

Peruntukan tersebut bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding 2019, di mana S$2.6 juta diperuntukkan pada tahun itu sahaja.

MASJID HAJJAH FATIMAH BAIK PULIH BUMBUNG HASIL DANA NMF

Berusia 175 tahun, Masjid Hajjah Fatimah yang cukup bersejarah itu merupakan antara monumen negara yang diberi dana MNF untuk menjalani kerja-kerja pemuliharaan dan penyenggaraan.

Dana itu dikendalikan MNF yang berada di bawah kendalian Lembaga Warisan Negara (NHB).

Secara keseluruhannya tahun lalu, sekitar S$1.4 juta diperuntukkan untuk usaha pemuliharaan dan penyenggaraan 18 monumen negara.

75% daripada jumlah itu diagihkan untuk memulihara empat monumen negara termasuk Gereja St Joseph dan Gereja Methodist Cina Telok Ayer.

Tahun ini pula, sekitar S$806,000 diperuntukkan untuk usaha pemuliharaan dan penyenggaraan 13 monumen negara.

Hasil daripada sekitar S$30,000 yang diperuntukkan untuknya, Masjid Hajjah Fatimah memanfaatkannya untuk menjalankan kerja-kerja pemuliharaan bagi bumbung masjid bagi menjadikannya kalis air serta dapat menahan kesan hujan.

Selain itu, Masjid Hajjah Fatimah juga menerima lagi S$14,000 dari NMF untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan seperti menampal plaster pada dinding-dindingnya yang terkopek catnya.

Pengurus Masjid Hajjah Fatimah, Encik Abdullah Alsagoff berkata: "Dengan pertolongan dana NHB dan juga yang memberi bantuan wang kepada masjid, ramai orang masih dapat menggunakan masjid ini dengan aman dan tenteram apabila mereka solat di sini dari segi kecantikan dan senonohnya masjid ini."

KESELURUHAN 5 MASJID TERIMA BANTUAN DANA NHB

Selain Masjid Hajjah Fatimah, lagi empat masjid lain dengan status monumen negara turut menerima dana pemuliharaan atau penyenggaraan daripada NMF dalam tempoh tersebut - iaitu Masjid Sultan, Masjid Al Abrar, Masjid Alkaff Upper Serangoon dan Masjid Jamae.

Masjid Jamae Chulia. (Gambar: Facebook/Masjid Jamae Chulia)

Bagi Masjid Sultan, yang dianggap sebagai masjid negara Singapura, ia menerima lebih S$112,500 dan digunakan antaranya untuk menggantikan panel siling dewan solat serta dua ruang mengambil wuduk.

Masjid Al Abrar juga menerima lebih S$110,000 dan memanfaatkannya untuk menggantikan paip saluran hujan serta mengecat semula bangunan masjid.

"Memastikan monumen negara dalam keadaan baik adalah penting untuk keselamatan awam. Tetapi kami juga ingin memastikan bahawa monumen yang dipulihara, diselenggara dengan baik. Dan inilah salah satu cara mengelak daripada perlu melakukan projek pemuliharaan penuh yang sangat mahal baginya," kata Pengarah Divisyen Pemulihan Tapak dan Monumen, Cik Jean Wee.

PAMERAN RAIKAN 50 TAHUN PULIHARA MONUMEN NEGARA

Dalam pada itu, sempena meraikan setengah abad usaha memulihara monumen-monumen negara, sebuah pameran interaktif kini diadakan di Muzium Negara.

Ia memaparkan kesemua 73 monumen negara dalam pelbagai bentuk.

Antaranya, Stesen Keretapi Tanjong Pagar boleh anda saksikan menerusi kaedah Realiti Maya (VR). Sebahagian monumen negara juga dipamerkan dalam bentuk rekaan mini 3D.

"Apabila kita melihat sesebuah monumen itu, ia seringnya dari perspektif kita yang kecil melihat bangunan yang besar di hadapan kita," kata seniman yang menghasilkan tersebut, Matt Chiu.

"Jadi dengan bangunan-bangunan kecil ini, ia dapat memberi para pengunjung perspektif baru, dan ini akan dapat memberikan dimensi baru kepada monumen-monumen ini."

Pameran tersebut akan berlangsung sehingga 2 Januari tahun depan.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan