Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 lokasi untuk anda nikmati pertunjukan bunga api 9 Ogos

Anggaran Waktu Membaca:
5 lokasi untuk anda nikmati pertunjukan bunga api 9 Ogos

Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo

SINGAPURA: Pertunjukan bunga api merupakan detik kemuncak sambutan Hari Kebangsaan, yang paling dinanti-nantikan ramai penduduk Singapura saban tahun.

Manakan tidak, pertunjukan bunga api tidak pernah menghampakan orang ramai, yang sanggup berjemur di bawah panas terik matahari mahupun hujan semata-mata ingin memastikan diri mereka mendapat tempat yang paling sesuai untuk menyaksikan pertunjukan tersebut.

Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bakal diadakan di Padang tahun ini.

Namun, jika anda tidak berpeluang mendapatkan tiket menyaksikan NDP dan bunga api, usah khuatir!

Anda tidak perlu berada dalam kalangan penonton di Padang semata-mata untuk menyaksikan pertunjukan bunga api tersebut. Selain lokasi-lokasi berdekatan dengan Padang, anda bahkan boleh mempertimbangkan lima kawasan kejiranan.

Berikut adalah antara lima lokasi, di mana anda boleh menyaksikan pertunjukan bunga api pada 9 Ogos tahun ini:

1. JAMBATAN ESPLANADE DEKAT DENGAN MERLION

Lokasi di jambatan Esplanade dekat dengan Merlion ini pastinya dibanjiri dengan orang ramai, sekiranya anda tiba lewat.

Manakan tidak, ia merupakan antara lokasi yang paling dekat dengan Padang. Anda pastinya dapat menyaksikan dengan jelas setiap kegiatan yang diadakan sepanjang berlangsungnya Perbarisan Hari Kebangsaan termasuk kemuncak acara tersebut, iaitu pertunjukan bunga api.

Jangan lupa pula untuk membawa segala kelengkapan yang dapat memastikan keselesaan anda apabila cuaca panas mahupun hujan.

2. JAMBATAN HELIX

Terletak berdekatan dengan Marina Bay Sands, jambatan Helix merupakan antara lokasi yang unik yang menjanjikan panorama pertunjukan bunga api yang sungguh menakjubkan.

Namun, pastikan anda datang awal untuk mendapatkan sudut yang paling baik di sepanjang jambatan tersebut!

3. SINGAPORE FLYER

Bayangkan menikmati pamandangan pertunjukan bunga api itu dari ketinggian 165 meter? Sudah tentu, ia merupakan pemandangan yang mengagumkan bukan?

Namun, berbanding lokasi lain yang membolehkan anda kunjungi secara percuma, anda perlu keluarkan sejumlah wang untuk meraih pengalaman tersebut.

Singapore Flyer menawarkan pakej yang menarik kepada pelanggannya untuk menikmati pemandangan panorama Marina Bay khususnya pada 9 Ogos.
 
Gambar: Singapore Flyer/Facebook
Pada harga $158 saja, anda dijanjikan pengalaman menyaksikan bunga api tepat pada kemuncak Hari Kebangsaan dengan dua putaran di Singapore Flyer, di samping sajian aneka minuman bukan alkohol dan aneka kudapan kacang.

Maklumat lanjut boleh didapatkan di laman ini.

4. MARINA BARRAGE

Tidak tahu mana untuk meluangkan masa seisi keluarga sempena Hari Kebangsaan?

Sambutan Hari Kebangsaan di Marina Barrage padat dengan pelbagai kegiatan yang berlangsung seawal pukul 12.00 tengah hari. Antaranya termasuk bengkel-bengkel yang dikendalikan untuk mengajar anda kaedah mengitar semula barangan dengan cara yang kreatif.
 
Anda juga berpeluang menyaksikan siaran Perbarisan Hari Kebangsaan secara langsung dari Padang di Marina Barrage sambil menikmati pertunjukan bunga api dari lokasi tersebut.

Untuk ketahui lanjut mengenai acara yang diatur di Marina Barrage, anda boleh lungsuri laman ini

5. KAWASAN KEJIRANAN

Enggan melakukan perjalanan jauh untuk menyaksikan bunga api pada 9 Ogos? Jangan risau!

Bunga api NDP juga dapat dilihat di beberapa kawasan kejiranan di merata Singapura pada 9 Ogos. Ia akan dilancarkan serentak dengan pertunjukan bunga api di Padang di lima tapak berikut:

-Pusat Sukan ActiveSG Bedok
-Pusat Sukan ActiveSG Jurong West
-Pusat Sukan ActiveSG Toa Payoh
-Pusat Sukan ActiveSG Woodlands
-Hab Tampines Kita

Ia dijangka berlangsung dari pukul 8.15 sehingga 8.25 malam.

Orang ramai akan dibenarkan memasuki tempat-tempat berkenaan mulai pukul 6.00 petang, tetapi harap maklum - kemasukan adalah berdasarkan siapa cepat dia dapat.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan