Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 jenis penumpang MRT ini harus anda jauhi

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dengan adanya enam lagi stesen Laluan Rentas Pulau (CRL)  dibuka dalam masa 10 tahun akan datang, para penumpang di kawasan barat - khususnya sekitar West Coast - pasti gembira kerana mereka akhirnya dapat akses lebih baik ke  kawasan-kawasan lain. 

Namun, ini bukanlah masanya untuk mencetuskan perdebatan sama ada kawasan Timur atau Barat yang lebih baik atau membentangkan faedah adanya lebih banyak laluan dan stesen MRT di Singapura. 

Sebaliknya, jika anda kerap menaiki MRT, anda sudah tentu melihat pelbagai jenis penumpang, dengan ada yang akan mencabar kesabaran anda. 

Berikut ini adalah lima jenis penumpang MRT yang harus kita jauhi: 

EJEN FBI

(Gambar: iStock)

Golongan ini boleh digelar sebagai 'kaypoh'. Mereka adalah jenis penumpang yang secara sembunyi-sembunyi membaca telefon bimbit anda, tidak kira sama ada anda sedang melayari Facebook, merungut tentang bos anda kepada rakan sekerja di ruang sembang WhatsApp, atau apa saja yang anda lakukan semasa dalam perjalanan ke destinasi anda. 

Untuk elak menjadi mangsa "mata-mata gelap" ini, anda boleh mendapatkan pelindung skrin  privasi bagi telefon anda atau beritahu sahaja mereka, "Keluarkan telefon anda sendiri dan baca artikel ini dengan percuma, laman berita ini tidak kenakan bayaran." 

ATLIT KANAK-KANAK

(Gambar: iStock)

Kanak-kanak yang asyik terpekik terlolong di dalam restoran? Sudah tentu kita semua pernah mengalami situasi seumpama itu. 

Bagaimana pula dengan kanak-kanak yang menjadikan kabin MRT seakan taman permainan mereka? 

Itulah atlit kanak-kanak. 

Mengapalah ibu bapa membiarkan anak-anak mereka berlatih  ujian kecergasan jasmani mereka di kabin MRT?

Demi penumpang lain, saya mohon agar anda kawal mereka.

DJ TELEFON BIMBIT

(Gambar: iStock)

Memang 'best' apabila dapat melarikan diri daripada masalah dunia ini kepada dunia khayalan sambil mendengar senarai Spotify anda, tetapi maaf, bukan semua yang berminat untuk mendengar muzik yang sama. 

Ada dua jenis DJ Telefon Bimbit - yang pertama, mereka yang mendengar muzik sungguh kuat sehinggakan semua dalam gerabak MRT  dapat mendengar muzik yang keluar dari fon telinga mereka. 

Tak berbaloi   menegur mereka kerana pada kebanyakan masa, mereka mesti tidak dapat mendengar kata-kata anda pun. 

Saya mohon - belilah fon telinga yang menyekat bunyi persekitaran. Harganya pun bukan begitu mahal dan ia dapat menjadikan perjalanan anda lebih selesa dan tenang. 

Kumpulan kedua adalah mereka yang menonton video dengan kuat tanpa menggunakan fon telinga. 

Agak pelik jika difikirkan wujud penumpang yang tidak berasa kekok untuk mengongsi video mereka dengan penumpang-penumpang lain di MRT.

Pada zaman ini, kebanyakan video mempunyai sari kata. Oleh itu, jika anda tidak membawa fon telinga, bolehlah baca sari kata itu. 

Kalau tidak pun, simpan video itu untuk ditonton di rumah. 

ATLIT OLIMPIK WARGA EMAS

(Gambar: iStock)

Apabila ada penumpang warga emas, penumpang lain lazimnya memberikan tempat duduk mereka agar warga emas itu selamat dan tidak terjatuh apabila bas atau kereta api sedang bergerak. 

Namun, terdapat segolongan warga emas istimewa yang tidak akan beratur dan menolak sesiapa pun di hadapan mereka sebelum pintu kereta api dibuka. 

Mereka akan menolak dan berasak-asak dengan penumpang yang cuba keluar dari MRT dan bergegas ke tempat duduk bagi warga emas, wanita hamil, individu yang cedera atau individu yang sedang membawa anak. 

Ada pula yang akan merungut dengan kuat dan lantang tentang adanya orang muda yang tidak memberi mereka laluan. 

PATUNG STAMFORD RAFFLES

(Gambar: iStock)

Bayangkan: Sekarang waktu sibuk, dan penumpang sedang keluar masuk gerabak di setiap stesen. Kereta api anda akhirnya tiba di stesen anda dan anda pula mula menuju ke pintu kereta api. 

Namun, apabila pintu dibuka, tiba-tiba terdapat halangan di depan mata - seorang penumpang yang tidak ingin berganjak dari tempatnya untuk memberi laluan kepada penumpang lain yang ingin keluar atau masuk kereta api itu. 

Inilah patung Stamford Raffles yang berdiri tegak di dalam kereta api. 

Jika anda rasa anda tidak pernah dihalang oleh Stamford Raffles semasa menaiki kereta api ataupun bas, mungkin anda agaknya patung tersebut... 

Jika begitu, harap berhati perut dan bergerak seperti yang lain supaya penumpang lain dapat menaiki atau meninggalkan kereta api tanpa rasa marah atau geram. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan