Skip to main content

Singapura

5 jemaah tabligh S'pura diuji positif COVID-19 kunjungi 10 masjid dalam tempoh berjangkit

Lima rakyat Singapura yang disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri acara tabligh besar-besaran di Kuala Lumpur, mengunjungi 10 masjid kesemuanya antara 3 hingga 11 Mac, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya hari ini (15 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Mar 2020 01:28PM Dikemas Kini : 15 Mar 2020 09:01PM

SINGAPURA: Lima rakyat Singapura yang disahkan positif COVID-19 selepas menghadiri acara tabligh besar-besaran di Kuala Lumpur, mengunjungi 10 masjid kesemuanya antara 3 hingga 11 Mac, menurut Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dalam kenyataannya hari ini (15 Mac).

Masjid-masjid itu terdiri daripada Masjid Al-Iman, Masjid Al-Muttaqin, Masjid Hajjah Fatimah, Masjid Hajah Rahimabi Kebun Limau, Masjid Kassim, Masjid Petempatan Melayu Sembawang, Masjid Sultan, Masjid Al-Mawaddah, Masjid Jamae (Chulia) dan Masjid Al-Istiqamah.

Related article image


Related article image

Lantaran itu, para jemaah dinasihati supaya memantau kesihatan mereka dengan teliti selama dua minggu dari kunjungan terakhir mereka ke masjid-masjid terjejas.

PANTAU SIMPTOM COVID-19

Simptom-simptom yang harus dipantau termasuk demam atau gejala pernafasan seperti batuk, sakit tekak, hidung berair atau sesak nafas.

Mereka juga dinasihati supaya mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika mereka mengalami simptom-simptom tersebut atau berasa kurang sihat.

MUIS juga menasihati supaya para jemaah memakai pelitup dan menghubungi klinik sebelum berkunjung ke sana dan memaklumkan doktor mengenai kehadiran mereka di kegiatan-kegiatan terjejas yang dikaitkan dengan kes COVID-19.

"Ini adalah peringatan yang sangat tepat pada masanya bagi setiap daripada kita untuk mengambil langkah-langkah pencegahan penting bagi memastikan diri kita dan orang-orang tersayang sihat pada masa-masa sebegini.

"Ini tentu sekali termasuk amalan terbaik dalam kebersihan peribadi serta tingkah laku untuk menjalankan tanggungjawab sosial," menurut MUIS.

Amalan-amalan tersebut termasuk berjumpa doktor apabila berasa kurang sihat, walaupun dengan simptom-simptom seperti selesema dan jangan keluar rumah bagi mengekang penyakit berjangkit ke orang lain.

MUIS juga menggalak orang ramai supaya berjumpa doktor yang sama bagi jagaan berterusan lebih baik dan mengamalkan pengasingan diri di rumah apabila kurang sihat dan digalakkan berjumpa doktor.

ELAK PERHIMPUNAN BESAR

Orang ramai juga dinasihati supaya mengelakkan perhimpunan besar masyarakat serta perhimpunan besar agama semasa tempoh ini serta menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke China, Perancis, Jerman, Iran, Itali, Jepun, Korea Selatan dan Sepanyol.

Amalan terbaik lain termasuk sering mencuci tangan dengan sabun dan air serta mengelak menyentuh mata, hidung dan mulut.

Orang ramai juga harus menjaga kebajikan satu sama lain, memantau kesihatan keluarga dan rakan-rakan dan mengingatkan satu sama lain supaya menjalankan tanggungjawab sosial dan mengekalkan kebersihan peribadi yang ketat.

Berdasarkan laporan-laporan media, sekurang-kurangnya 37 warga Brunei dan 77 warga Malaysia yang menghadiri acara tabligh di Kuala Lumpur itu, atau individu yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka, diuji positif COVID-19.

MUIS sedang membantu Kementerian Kesihatan (MOH) secara aktif dalam usaha mereka melakukan usaha-usaha pengesanan bagi membataskan penularan virus tersebut.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita