5 guru ini diiktiraf dengan Anugerah Guru Arif Budiman 2022
Seramai lima guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.
SINGAPURA: Seramai lima guru Bahasa Melayu dinobatkan sebagai penerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) pada tahun ini.
Anugerah itu mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka dalam pendidikan dan pembelajaran bahasa Melayu.
Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dalam satu majlis penyampaian anugerah AGAB 2022 di HomeTeamNS (Khatib) hari ini (5 Nov).
DARIPADA 344 PENCALONAN, LIMA GURU TERPILIH MENERIMA ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN
Tiga guru terpilih menerima AGAB Kategori Teladan untuk tahun ini, iaitu Cikgu Irmawati Mascom dari Sekolah Menengah Tanglin, Cikgu Mohamad Firuz Jelaludin dari Sekolah Rendah Anchor Green dan Dr Zainaba Omar dari Sekolah Rendah Clementi.
Ia diberikan kepada guru-guru yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dalam bidang pendidikan.
AGAB Kategori Perangsang pula disampaikan kepada para guru yang sudah berkhidmat kurang 10 tahun.
Cikgu Nurul Huda Muhammad Yassin dari Sekolah Menengah St. Anthony's Cannossian dan Cikgu Nurul Syakinah Sahak dari Sekolah Menengah Peirce dipilih sebagai penerimanya.
Kelima-lima mereka terpilih daripada sejumlah 344 pencalonan yang diterima kesemuanya.
GUNA TEKNOLOGI UNTUK 'HIDUPKAN' PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU
Cikgu Mohamad Firuz Jelaludin yang sudah 15 tahun berkhidmat sebagai seorang guru Bahasa Melayu akur bahawa guru-guru bahasa ibunda perlu berdaya kreatif dalam memilih sumber pembelajaran yang bersesuaian dengan keperluan berbeza-beza para murid.

Beliau memanfaatkan teknologi untuk menarik minat anak-anak didiknya.
Misalnya, mereka diberi tugasan seperti menghasilkan jalur komik, watak kartun dan animasi video.
Beliau berpendapat bahawa murid-murid akan lebih bersemangat sekiranya mata pelajaran bahasa Melayu diajar secara menarik dan menyeronokkan.
"Tidak dapat dinafikan murid-murid sekarang mereka kepada 'digital natives' dan mereka lebih terdorong untuk mempelajari sesuatu menerusi teknologi. Jadi kita sebagai guru menyahut cabaran ini untuk membina bahan pengajaran yang berasaskan teknologi."
"Jadi murid-murid sekarang tidak kekok kalau ingin membuat perbincangan, membuat rakaman video atau podcast. Itu yang perlu kita cuba lakukan.," jelas guru kanan Sekolah Rendah Anchor Green itu.
Salah satu inisiatif yang dimulakan beliau adalah Kiub Peribahasa untuk murid-murid Darjah Tiga yang mengikuti Program Sokongan bahasa Ibunda (MTSP).
Bahan pengajaran itu membantu murid-murid yang lemah penguasaan bahasa Melayu memahami peribahasa atau simpulan bahasa dengan lebih mudah.
"Anugerah ini memberikan saya motivasi untuk memberikan lebih banyak sumbangan bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga di luar, dengan membina rangkaian dengan guru-guru lain untuk mencapai lebih banyak lagi. Ini agar murid-murid dan masyarakat dapat terus memperjuangkan dan memperkasakan bahasa Melayu di Singapura," kata Cikgu Firuz.
SEDIAKAN RUANG SELAMAT UNTUK BELAJAR BAHASA MELAYU
Dr Zainaba Omar tidak pernah 'penat' memperbaharui kaedah pembelajarannya di dalam bilik darjah.
Malah, Guru Peneraju dari Sekolah Rendah Clementi itu sentiasa berusaha untuk memastikan kelas Bahasa Melayu yang dikendalikannya menjadi 'ruang selamat' di mana murid-muridnya berani bersuara dan belajar.
Ini memandangkan kebanyakan muridnya menggunakan Bahasa Inggeris di rumah dan mendapati sukar untuk mempelajari dan memahami bahasa Melayu.
"Apa yang saya lakukan, saya menggunakan kaedah penterjemahan melalui permainan. Selepas mereka dapat menterjemahkan perkataan itu dalam bahasa Melayu, barulah saya akan mulakan tugasan di dalam bilik darjah. Saya dapati ia dapat membantu murid-murid hari ini yang bukan sahaja kurang dari segi pendedahan persekitaran dan juga kurang minat untuk membaca," jelas Dr Zainaba.

Dr Zainaba yang mempunyai 23 tahun pengalaman sebagai guru bahasa Melayu akur bahawa membaca adalah kunci untuk memperbaiki penguasaan bahasa Melayu murid-muridnya.
Untuk membantu mereka, beliau melancarkan program 'Bijak Membaca' di sekolahnya yang memastikan semua murid tersebut dapat membaca dengan lancar sebelum memasuki Darjah Tiga.
"Saya amat terharu dan berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Pada masa sama, saya rasa ada tanggungjawab besar untuk mengarif budimankan anak-anak didik kita. Jadi saya akan teruskan penerokaan mencari strategi pengajaran bahasa Melayu yang lebih berkesan, mengkaji lebih mendalam dan berkongsi dengan rakan-rakan seperjuangan saya." ujar Dr Zainaba yang dinobatkan sebagai salah seorang penerima Anugerah Teladan AGAB tahun ini.
Menerusi dana pembangunan yang diterimanya, Dr Zainaba juga "terpanggil" untuk menulis buku-buku pedagogi untuk dijadikan panduan bagi rakan-rakan seperjuangan beliau.
Seorang lagi penerima Anugerah Teladan AGAB tahun ini ialah Cikgu Irmawati Mascom dari Sekolah Menengah Tanglin.

GUNAKAN PODCAST UNTUK BINA KEYAKINAN PARA PELAJAR
Guru Sekolah Menengah St. Anthony's Cannossian Cikgu Nurul Huda Muhammad Yassin turut memanfaatkan penggunaan teknologi dalam pembelajaran bahasa Melayu di sekolahnya.
Cikgu Nurul Huda berkata: "Anak muda pada masa kini,mereka melalui kehidupan jauh berbeza dengan kita daripada zaman dahulu. Pada zaman ini dengan era kemajuan teknologi maklumat yang pesat berkembang, para pelajar sangat terdedah dengan penggunaan media."
"Untuk pengajaran saya, saya cuba menerapkan wadah itu seperti podcast dan media sosial seperti TikTok dalam pengajaran saya untuk menarik minat para pelajar," tambah beliau.

Menurut beliau, kaedah sedemikian membolehkan para pelajarnya membina keyakinan bertutur dalam Bahasa Melayu.
Cikgu Nurul Huda dalam kalangan dua penerima Anugerah Perangsang AGAB.
"Saya rasa bersyukur dan gementar kerana pengiktirafan ini datang dengan amanah yang besar. Selain itu untuk terus menyumbang kepada pelajaran bahasa Melayu, saya akan cuba untuk terus pertingkatkan diri, belajar dan timba ilmu dengan segigihnya," ujar Cikgu Nurul Huda.
Seorang lagi penerima anugerah itu ialah Cikgu Nurul Syakinah Sahak dari Sekolah Menengah Peirce.

Sejak AGAB dilancarkan pada 2007, seramai 74 guru Bahasa Melayu cemerlang daripada sekolah rendah, menengah dan prauniversiti telah diberi pengiktirafan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.