Skip to main content

Singapura

5 guru diiktiraf dengan Anugerah Guru Arif Budiman 2026

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Aug 2026 08:46PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 09:14PM
  • Lima guru Bahasa Melayu menerima Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2026 di Perpustakaan Negara, Singapura, sebagai pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam pendidikan bahasa.
  • Menteri Chee Hong Tat menekankan peranan guru Bahasa Ibunda dalam memupuk nilai murni, mengeratkan masyarakat dan memastikan Bahasa Ibunda kekal relevan di tengah dominasi Bahasa Inggeris.
  • Cikgu Nur Maizurah Rosle dan guru lain memperkenalkan program inovatif untuk pelajar bukan Melayu, memupuk minat terhadap bahasa dan budaya Melayu melalui pengalaman autentik bersama komuniti.
  • Guru kategori Perangsang seperti Cikgu Diana Mohamed Mazlan menekankan kepentingan persekitaran pembelajaran inklusif dan sokongan rakan sebaya, dengan kerjasama pelbagai institusi dan organisasi.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Guru Bahasa Ibunda memainkan peranan yang tidak dapat digantikan, bukan dengan teknologi sekalipun.

Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Guru Arif Budiman (AGAB) 2026 di Perpustakaan Negara pada Jumaat (21 Ogos).

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab guru Bahasa Ibunda bukan hanya terhad kepada usaha memelihara dan mengembangkan bahasa.

Sebaliknya, guru turut berperanan dalam menyemai nilai-nilai murni, mengeratkan hubungan sesama masyarakat serta membentuk budaya budi bahasa yang berteraskan Bahasa Ibunda.

"Dengan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di tempat kerja di Singapura serta bahasa utama yang digunakan dalam banyak keluarga, terdapat keperluan yang lebih besar dan mendesak untuk memastikan Bahasa Ibunda terus hidup dan relevan," tambahnya.

Encik Chee turut menyampaikan anugerah kepada lima guru Bahasa Melayu yang menjadi penerima AGAB pada tahun ini.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan cemerlang mereka dalam pendidikan dan pembelajaran bahasa Melayu.

Anugerah tersebut disampaikan Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat pada Jumaat (21 Ogos) di The Pod, Perpustakaan Negara.
Related article image
Cikgu Nur Maizurah Rosle (Gambar: Aqil Ezat)
PUPUK MINAT BAHASA, BUDAYA MELAYU KEPADA PELAJAR BUKAN MELAYU

Bagi Cikgu Nur Maizurah Rosle dari Sekolah Tinggi Nan Chiau, usaha memupuk minat terhadap Bahasa Melayu tidak terhad kepada pelajar Melayu sahaja.

Beliau giat memperkenalkan bahasa dan budaya Melayu kepada pelajar bukan Melayu menerusi Program Khas Melayu M(SP).

Program bahasa ketiga itu memberi peluang kepada pelajar mempelajari Bahasa Melayu di samping mengenali budaya masyarakat Melayu dengan lebih dekat.

"Motivasi saya untuk menghubungkan para pelajar dengan masyarakat yang lebih luas lahir daripada keinginan untuk mengubah pembelajaran bahasa menjadi satu pengalaman yang dapat mereka hayati, iaitu pengalaman yang boleh memupuk empati, keharmonian sosial dan semangat kewarganegaraan aktif dalam masyarakat kita yang berbilang budaya," kata Cikgu Maizurah.

Menurutnya, pembelajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa ketiga boleh terasa abstrak jika pembelajaran tersebut hanya terhad kepada buku teks dan bilik darjah sahaja.

Oleh itu, beliau berusaha menyediakan peluang untuk pelajar menggunakan Bahasa Melayu dalam keadaan sebenar, seperti kegiatan bersama masyarakat.

Di antaranya termasuk kerjasama dengan persatuan Pertapis dan penglibatan dalam kempen 'Hari Raya Move in Groove' oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

Usaha tersebut membantu mengubah para pelajarnya menjadi duta masyarakat yang aktif dan yakin, tambah Cikgu Maizurah.

Cikgu Maizurah berkata: "Sebagai seorang guru Bahasa Melayu yang membimbing pelajar pelajar bukan penutur jati. Matlamat saya sentiasa adalah untuk menunjukkan bahawa bahasa bukan sekadar satu mata pelajaran tetapi bahasa merupakan jambatan yang dapat menghubungkan para pelajar agar mereka dapat berkembang menjadi individu muda yang yakin dari segi budaya dan memiliki empati yang tinggi."

Cikgu Maizurah berharap dapat memperluaskan lagi pembelajaran autentik berasaskan masyarakat, termasuk menjalinkan kerjasama lebih erat bersama lembaga warisan budaya serta pertubuhan masyarakat.

Atas ketekunan dan kegigihan Cikgu Maizurah meminjamkan bimbingannya kepada para pelajar dalam menghayati bahasa dan budaya Melayu, beliau dipilih menjadi antara dua penerima AGAB Kategori Teladan tahun ini.

"Anugerah AGAB ini mengesahkan keyakinan saya bahawa apabila kita berkhidmat dengan penuh semangat, kita dapat memberi mereka inspirasi untuk berhubung secara bermakna dengan dunia di sekeliling mereka. Anugerah ini menyemarakkan kembali komitmen saya untuk terus berinovasi, mengukuhkan hubungan dengan komuniti dan memperjuangkan pembelajaran bahasa yang kaya dan autentik," ujar Cikgu Maizurah.

Seorang lagi penerima Anugerah Kategori Teladan ialah Cikgu Julaiha Haron dari Sekolah Menengah Punggol.

Anugerah tersebut diberikan kepada guru-guru yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dalam bidang pendidikan.
Related article image
Cikgu Diana Mohamed Mazlan (Gambar: Aqil Ezat)
WUJUDKAN RUANG SELAMAT, INKLUSIF UNTUK PELAJAR

AGAB Kategori Perangsang pula disampaikan kepada para guru yang sudah berkhidmat kurang daripada 10 tahun.

Para penerima anugerah kategori itu ialah Cikgu Diana Mohamed Mazlan dari Sekolah Rendah First Toa Payoh, Cikgu Nur Azirah Mohd Nor dari Sekolah Rendah Cantonment dan Cikgu Syafiqah Md Anuar dari Sekolah Menengah Meridian.

Bagi Cikgu Diana, pendidikan bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, malah merangkumi usaha memastikan setiap pelajar rasa diterima dan mendapatkan sokongan yang diperlukan.

Di Sekolah Rendah First Toa Payoh, beliau memperkenalkan beberapa inisiatif sokongan rakan sebaya untuk membina hubungan lebih inklusif, serta mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat.

"Prinsip utama saya ialah setiap pelajar perlu berasa bahawa mereka mempunyai tempat dan seseorang yang mereka boleh rujuk ataupun harapkan di sekolah," kongsi Cikgu Diana.

Melalui program seperti 'Recess Befriender Programme', pemimpin sokongan rakan sebaya juga belajar untuk peka terhadap rakan di sekeliling mereka, mendekati dan saling memberi sokongan, tambahnya.

Pengalaman mengendalikan program-program tersebut menyedarkan Cikgu Diana bahawa setiap pelajar mempunyai keperluan dan latar belakang yang berbeza, sekali gus memerlukan pendekatan yang berbeza.

Menerusi satu lagi program, 'Home@School Uplift', Cikgu Diana bekerjasama dengan inisiatif Teach SG dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Maktab Rendah Kebangsaan (NJC) dan pertubuhan lain untuk membentuk pelajar membina rutin, mengawal tingkah laku, serta memupuk minda yang berkembang.

Program tersebut turut menyediakan ruang untuk para pelajar meneroka kekuatan dan potensi diri mereka di luar bilik darjah.

Turut hadir di acara tersebut adalah Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan Dr Syed Harun Alhabsyi.

Dr Syed Harun berharap bahawa penerima AGAB tahun ini menjadi aspirasi guru Bahasa Melayu lain.

Beliau turut mengalu-alukan penggunaan teknologi dalam pengajaran Bahasa Melayu.

Dr Syed Harun berkata: "Kita dapati bahawa penerima AGAB tahun ini menunjukkan bahawa teknologi itu boleh digunakan  dengan bermakna dan dapat memberikan nilai tambah kepada proses pembelajaran bagi pelajar-pelajar kita. Kita berharap bahawa daripada amalan amalan bilik darjah mereka kita dapat melihat yang teknologi itu digunakan sebagai satu jambatan bukan satu pengganti."

Kelima-lima guru itu dipilih daripada sebanyak 422 pencalonan yang diterima antara Februari dan Mac tahun ini.

Sejak diperkenalkan pada 2007, AGAB telah memberi pengiktirafan kepada 83 pendidik Bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah, menengah dan prauniversiti.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita