5 flat jualan semula HDB di estet bukan matang dijual sekurang-kurangnya S$1j pada Nov

SINGAPURA: Pasaran flat jualan semula Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kembali rancak pada November selepas urus niaga flat merosot pada bulan sebelumnya.
Lima flat di estet bukan matang dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta — jumlah tertinggi dalam sebulan bagi estet bukan matang setakat ini.
DATA SRX
Berdasarkan data dari portal hartanah SRX:
2,140 flat jualan semula bertukar tangan pada bulan November, naik daripada 1,965 pada Oktober.
Antara Julai dengan September tahun ini, sebelum langkah meredakan pasaran berkuat kuasa, jumlah flat jualan semula yang dijual dalam sebulan adalah lebih daripada 2,000 unit.
Pada bulan November, kebanyakan flat jualan semula yang bertukar tangan adalah flat empat bilik.
Kebanyakannya terletak di estet bukan matang seperti Punggol, Woodlands dan Yishun.
Lima flat jualan semula di estet bukan matang dijual pada harga sekurang-kurangnya S$1 juta pada bulan November; tiga terletak di Woodlands dan dua di Hougang.
Satu daripada flat itu adalah jenis maisonette eksekutif dan lainnya adalah apartmen eksekutif antara 1,518 kaki persegi dan 2,067 kaki persegi.
Flat yang paling mahal seluas 2,034 kaki persegi terletak di Blok 834 Woodlands Street 83 yang dijual pada harga S$1.1 juta.
Harga flat jualan semula HDB juga meningkat sebanyak 0.6 peratus bulan lalu berbanding Oktober.
Harga flat eksekutif meningkat sebanyak 2.5 peratus, kenaikan tertinggi berbanding jenis flat lain.
Flat eksekutif, yang dibina HDB pada 1980-an hingga awal 2000-an, adalah antara flat terbesar ditawarkan dalam perumahan awam dan mempunyai ruang tambahan bilik belajar.
LANGKAH-LANGKAH MEREDAKAN PASARAN TIDAK BERKESAN?
Penganalisis hartanah berkata jumlah urus niaga flat jualan semula yang lebih tinggi serta kenaikan harga flat berbanding Oktober tidak bermakna langkah meredakan pasaran hartanah tidak cukup berkesan. Ia hanya memerlukan masa untuk menunjukannya kesannya.
Cik Christine Sun, naib presiden kanan penyelidikan dan analisis di firma hartanah OrangeTee and Tie, berkata beberapa urus niaga itu mungkin telah dimuktamadkan sebelum langkah meredakan pasaran berkuat kuasa pada 30 Sep.
Ini bermakna angka jualan bulan November tidak mencerminkan sepenuhnya kesan langkah tersebut.
Bagaimanapun, Cik Wong Siew Ying, ketua penyelidikan dan kandungan di PropNex Realty, berpendapat harga flat jualan semula HDB tidak mungkin akan jatuh dalam beberapa bulan akan datang.
Bekalan flat jualan semula yang terhad dan permintaan yang stabil akan memastikan harga kekal mantap, tambahnya.
Cik Sun berkata jumlah urus niaga yang lebih tinggi mungkin disebabkan oleh pembeli mempercepatkan transaksi mereka sebelum mereka pergi bercuti pada hujung tahun.
Encik Mark Yip, ketua pegawai eksekutif firma hartanah Huttons Asia, berkata ramai pemilik flat HDB yang menjual hartanah mereka pula mungkin telah menurunkan harga selepas langkah-langkah meredakan pasaran diumumkan, kerana mereka menjangkakan permintaan pembeli yang merosot. Harga yang lebih rendah mungkin sebab lebih banyak flat dijual pada bulan November.
SEBAB LEBIH BANYAK FLAT DI ESTET BUKAN MATANG DIJUAL PADA HARGA S$1 JUTA
Penganalisis memberikan beberapa sebab pembeli sanggup membayar S$1 juta atau lebih untuk flat di estet bukan matang:
Susun atur flat yang dijual adalah luas.
Flat berkenaan terletak dekat dengan stesen MRT dan kemudahan.
Ia lebih murah daripada flat serupa yang terletak di estet matang.
MUNGKIN AKAN ADA LEBIH BANYAK FLAT S$1 JUTA DI ESTET BUKAN MATANG?
Kebanyakan penganalisis percaya akan ada lebih banyak urus niaga flat sedemikian kerana:
Flat saiz serupa di estet matang semakin mahal.
Peluasan rangkaian kereta api MRT bermakna estet bukan matang lebih menarik minat pembeli yang sanggup membayar S$1 juta untuk sebuah flat.
Terdapat lebih banyak bekalan flat yang lebih besar di estet bukan matang berbanding dengan estet matang.
Bagaimanapun, seorang penganalisis, Encik Pow Ying Khuan, ketua penyelidikan di portal hartanah 99 Group, berkata jumlah urus niaga flat jualan semula melibatkan S$1 juta dalam estet bukan matang tidak akan melonjak dalam beberapa bulan akan datang. Ini adalah kerana:
Kumpulan pembeli bagi flat sedemikian semakin mengecut disebabkan oleh langkah meredakan pasaran hartanah.
Kadar faedah meningkat, menjejaskan pinjaman rumah.
Keadaan ekonomi yang tidak menentu menyebabkan pembeli mula berfikir dua tiga kali sebelum membuat pembelian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.