5 beranak ini raih diploma pengajian Islam, ibu bapa duduki peperiksaan dengan anak-anak
Melihat kesungguhan anak sulungnya untuk meraih diploma dalam pengajian Islam lima tahun lalu, terdetik di hati Encik Zulkifle Yassin untuk turut mempertingkatkan ilmunya dalam bidang itu.
SINGAPURA: Melihat kesungguhan anak sulungnya untuk meraih diploma dalam pengajian Islam lima tahun lalu, terdetik di hati Encik Zulkifle Yassin untuk turut mempertingkatkan ilmunya dalam bidang itu.
Ini yang mendorong beliau, isteri dan lagi dua anak mereka untuk ikuti program diploma dalam pengajian Islam di Institut Pengajian Tinggi Andalus.
Pengalaman menduduki peperiksaan dan belajar bersama-sama isteri dan anak-anak menjadi kenangan manis bagi diri Encik Zulkifle.
"Apabila ada peperiksaan yang akan timbul itu, kami akan berbincang dan bertanya pendapat serta maklum balas. Terutama selepas peperiksaan itu, kami bertukar-tukar nota apa yang kami telah usahakan dalam peperiksaan itulah. Mudah-mudahan kami dapat hidayah dan berkat dalam usaha-usaha kita itu," kata Encik Zulkifle, yang bertugas sebagai seorang jurulatih STEM di Sekolah Menengah Jurong.
(Gambar: Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri)
Meskipun sudah mencecah usia 60 tahun, ia tidak menghalang dirinya untuk meraih ilmu baharu.
Encik Zulkiflie juga tidak segan untuk meminta bimbingan dan tunjuk ajar daripada anak sulungnya, Mohammad Shahnaz Zulkfile, 34 tahun yang pernah mengambil diploma yang serupa lima tahun lalu.
Melihat pencapaian ibu bapanya, beliau berasa cukup bangga.
"Mereka (ibu bapa) telah menunjukkan contoh yang baik untuk kami. Pengalaman ini telah menjadikan kami lebih rapat sebagai satu keluarga. Jadi saya tabiklah kepada ibu bapa saya kerana telah berusaha untuk menyatukan kami sekeluarga untuk belajar bersama," kata Encik Shahnaz, yang bertugas sebagai petugas kes di Darul Islah.
Encik Zulkifle, isteri dan dua orang anaknya berjaya menamatkan pengajian mereka dan meraih diploma.
(Gambar: Mohammad Shahnaz Zulkifle)
WARGA EMAS 75 TAHUN ANTARA LULUSAN TAHUN INI
Lagi seorang warga emas yang mendakap budaya pembelajaran sepanjang hayat ialah Encik Achik Ithnin.
Pada usia 75 tahun, beliau antara sebilangan lulusan warga emas dari kohort tahun ini.
Berkat kegigihan serta sokongan keluarga, beliau mengikuti program Sarjana Muda dalam Pengajian Islam di Insitut Pengajian Tinggi Al-Zuhri dan berjaya menggenggam segulung ijazah.
(Gambar: Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri)
Walaupun sudah bersara, beliau masih giat menyumbang dengan pelbagai usaha-usaha kemasyarakatan termasuk mendampingi golongan bekas pesalah menerusi program Fitrah (Pusat Khidmat Penjagaan Berterusan Bagi Pesalah dan Keluarga).
Datuk lima orang cucu itu juga berharap pencapaiannya itu dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendakap ilmu tidak kira usia mereka.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Hari ini, kita perlukan pengalaman dan ilmu, itu penting. Jadi saya terus buat peningkatan. Umur tidak menjadi masalah. Perlu ada semangat hendak belajar. Sekarang kita akan tinggalkan pelapis. Jadi seperti saya ini, saya kena damping budak-budak muda, ajak sama belajar," kongsi Encik Achik kepada wartawan Syawal Yusoff.
KUMPULAN GRADUAN TERBESAR
Mereka merupakan antara sekitar 600 penuntut dari tiga institut pengajian tinggi Islam di Singapura yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen dan Penyampaian Sijil Ke-11 yang diadakan di MAX Atria, Singapore EXPO pada Sabtu (14 Sep).
Kumpulan graduan itu juga merupakan yang terbesar pernah diraikan Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus dan Cordova dalam majlis konvokesyen mereka sepanjang dua dekad.
Majlis itu turut meraikan pencapaian lulusan tujuh program pengajian peringkat diploma dan sarjana muda.
Dengan jumlah pelajar yang semakin meningkat tahun demi tahun, Pengerusi Insititut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Ustaz Fathurrahman Dawoed menyatakan komitmen agar dapat terus menyediakan khidmat yang terbaik untuk keperluan para penuntut.
"Kita perlu memastikan bahawa perkhidmatan menyediakan perkhidmatan agama itu mencapai standard yang baik. Jadi ini membolehkan lebih ramai lagi mengikuti pengajian Islam. Jika ada permintaan yang lebih luas, lebih banyak, mungkin kita akan luaskan lagi cawangan-cawangan Al-Zuhri, Andalus dan Cordova di tempat-tempat yang lain," kongsi Ustaz Fathurrahman.
Secara keseluruhan, terdapat sekitar 16,000 pelajar yang sedang menuntut di ketiga-tiga Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri, Andalus dan Cordova.
PENDIDIKAN ISLAM PENTING DALAM PEMBANGUNAN NEGARA: DR FAISHAL
Menteri Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim yang hadir selaku tetamu terhormat turut melahirkan rasa bangganya melihat pencapaian semua graduan.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan pendidikan Islam dalam pembangunan negara.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Pendidikan Islam memainkan peranan penting dalam membentuk individu yang beradab, berakhlak serta mampu berfikir secara teliti dan bertindak dengan beradab. Inilah antara nilai yang sangat diperlukan untuk memastikan negara kita Singapura terus maju dan harmoni.
"Masyarakat Islam di Singapura mempunyai tanggungjawab yang besar bukan hanya untuk menyumbang kepada pembangunan negara dari segi 'material' tetapi juga dari aspek kerohanian dan moral. Justeru itu, ia amat penting untuk kita membangunkan dan mengukuhkan sektor agama kita dengan melengkapkan pelbagai keperluan sektor ini. Salah satu cara adalah melalui Wakaf Masyarakat Singapura (WMS)," kata Dr Faishal yang juga Menteri Negara Ehwal dalam Negeri.
Majlis turut dihadiri para asatizah, ibu bapa dan kenalan para graduan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.