Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5 benda pelik dibawa penumpang dikesan semasa pemeriksaan keselamatan lapangan terbang

Kisah seorang wanita muda yang dikenakan denda berat kerana membawa masuk sandwic Subway ke Australia bukan saja tular di seluruh dunia minggu lalu

Anggaran Waktu Membaca:
5 benda pelik dibawa penumpang dikesan semasa pemeriksaan keselamatan lapangan terbang

Penumpang beratur di pusat pemeriksaan sebuah lapangan terbang. (Gambar: vm/iStock)

SINGAPURA: Kisah seorang wanita muda yang dikenakan denda berat kerana membawa masuk sandwic Subway ke Australia bukan saja tular di seluruh dunia minggu lalu.

Bahkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan, ia mengundang satu-persatu warga maya untuk berkongsi pengalaman sendiri, mencabuli peraturan kastam dan keselamatan lapangan terbang.

Jessice Lee membeli sandwic di Lapangan Terbang Changi Singapura sewaktu dalam perjalanan pulang ke Perth dari Eropah.

Beliau bagaimanapun terlupa untuk mengisytiharkan sandwic 6 inci itu dan akibatnya, terpaksa membayar denda A$2,664 (S$2,600). Namun akhirnya, wanita itu dikejutkan dengan langkah Subway yang menghadiahkannya kad sagu hati bernilai sama dengan jumlah denda dihadapi, sekali gus membantu wanita itu membayar dendanya.
Meskipun insiden yang berlaku ke atas wanita itu satu kesilapan yang tidak disengajakan, tidak semua pelawat yang dihalang oleh pihak berkuasa mempunyai alasan mudah bagi menjelaskan apa yang tersimpan di dalam beg atau bagasi mereka.

Berikut adalah lima perkara pelik tetapi benar yang membuatkan pelawat ditahan di lapangan terbang di seluruh dunia:

RANGKA TULANG DALAM BEG

Melancong bukan sesuatu perkara biasa bagi orang ramai pada Ogos 2020 dek COVID-19 yang mencengkam, namun bagi seorang wanita Armenia berusia 74 tahun, beliau berjaya menaiki penerbangan dari Greece ke tanah tumpah darahnya bersama suaminya.

Tetapi masalahnya, suami beliau sebenarnya sudah meninggal sekitar 12 tahun lalu.

DW melaporkan wanita itu ditahan di Munich selepas para pegawai lapangan terbang menemui rangka tulang manusia dalam sebuah kotak kayu di dalam bagasinya.

Apabila disoal siasat, wanita itu mendedahkan beliau dalam usaha untuk membawa pulang rangka tulang suaminya ke Armenia melalui Munich dan Kyiv untuk disemadikan.

Suaminya meninggal dunia di Greece pada 2008 dan pada awalnya sudah disemadikan di sana.

Penguasa Jerman kemudian mendapat kepastian bahawa pemindahan rangka tulang adalah dibenarkan di sisi undang-undang dan wanita itu diberikan lampu hijau untuk meneruskan perjalanannya.

KEK TAHI LEMBU
Kek najis lembu. (Gambar fail: Kastam dan Perlindungan Sempadan AS)
Para ejen Kastam dan Perlindungan Sempadan (CPB) Amerika Syarikat (AS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di Washington pula perlu berurusan dengan kek - lebih tepat lagi, kek diperbuat daripada najis lembu.

"Para pakar pertanian CBP menemui dua kek tahi lembu dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan selepas para penumpang yang menaiki pesawat Air India melepasi stesen pemeriksaan CBP pada 4 April 2021.

Agensi itu bahkan turut menjelaskan mengapa seseorang mungkin membawa bersama mereka najis lembu serta mengapa ia mungkin berbahaya.

"Najis lembu dilaporkan sebagai sumber penting bagi tenaga dan masakan di beberapa bahagian dunia. Najis lembu juga dilaporkan digunakan sebagai menghapuskan bahan toksin daripada kulit, antimikrob dan baja," terang CBP.

"Sekalipun dipercayai mempunyai manfaat tersebut, najis lembu dari India dilarang kerana ia berpotensi menimbulkan penyakit kaki dan mulut."

Kek-kek tersebut akhirnya dihancurkan oleh CBP.

490 TELUR BALUT
Telur itik yang diimport secara haram disembunyikan dalam kotak-kotak styrofoam. (Gambar fail: AVA)
Telur balut, yang termasuk dalam senarai makanan 'eksotik' yang ingin dicuba bagi mereka yang berani meneroka, tidak terdapat di Singapura.

Percubaan seorang wanita untuk menyeludup telur balut masuk ke Singapura pada September 2018 berakhir dengan denda S$7,000.

Le Thi Ung, 63 tahun, ditangkap di Lapangan Terbang Changi dengan 490 telur itik yang masih dalam embrionya, yang dibungkuskan dalam dua kotak styrofoam.

Telur-telur itik itu, seberat 78.4 kilogram (kg), dibeli dari sebuah pasar basah di Vietnam.

Tindakan wanita itu bermakna dia sudah melanggar Akta Daging dan Ikan Selamat Dimakan.

"Import makanan, termasuk daging dan telur serta produk-produknya, dikawal selia atas sebab-sebab kesihatan haiwan serta keselamatan makanan," jelas pihak berkuasa ketika itu.

"Daging dan telur, serta produk-produknya, hanya boleh diimport dari sumber bertauliah di negara-negara yang diluluskan yang mematuhi piawai dan peraturan keselamatan makanan Singapura."

Sesiapa didapati bersalah mengimport produk daging dari sumber tidak diluluskan boleh berdepan denda tidak melebihi S$50,000 dan penjara sehingga dua tahun bagi kesalahan pertama.

Pesalah berulang boleh didenda sehingga S$100,000 dan dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun.

94KG ULAT BULU KERING

Seorang lelaki yang melancong ke United Kingdom (UK) dari Burkina Faso pada Februari 2013 membawa pulang bersamanya 94kg ulat bulu kering.

Para pegawai Pasukan Sempadan UK mengesan berpuluh-puluh ribu pepijat yang dibungkus di dalam bagasi lelaki itu di Lapangan Terbang Gatwick London setibanya beliau dari Afrika Barat melalui Istanbul.

Lelaki berusia 22 tahun itu mendakwa ia adalah bagi penggunaan peribadi sebagai makanan.

Beliau terlepas namun diberi amaran dan ulat-ulat bulu itu dirampas sebelum dihantar untuk dihapuskan.

"Ini adalah satu rampasan luar biasa tetapi kewaspadaan para pegawai kami berjaya menghalang serangga kering ini daripada memasuki UK dan berkemungkinan membawa risiko kepada rantaian makanan kami," kata seorang pegawai ketika itu.

200 TARANTULA HIDUP

Lazimnya, magnet atau rantai kunci sudah memadai bagi kebanyakan pelancongan untuk mereka berikannya sebagai cenderahata.

Namun, bukan untuk pasangan Jerman ini yang pulang dari percutian mereka di Peru pada 2012.

Menurut AFP, pasangan itu ditangkap cuba membawa masuk 200 tarantula hidup selain belalang, cengkerik dan gonggok di Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam.

Semua serangga itu disimpan ke dalam bekas plastik dan tiub yang disembunyikan antara pakaian serta kasut pasangan tersebut.

Satu kes jenayah dibuka terhadap pasangan itu manakala serangga yang kononnya ingin dijadikan cenderamata diserahkan kepada penguasa kebajikan haiwan.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan