Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5,900 pekerja asing terima makanan siap dimasak pada pagi Aidiladha

Sudah menjadi tradisi bagi masjid-masjid merata Singapura untuk mengagihkan daging korban kepada para pekerja asing pada setiap Hari Raya Haji.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sudah menjadi tradisi bagi masjid-masjid merata Singapura untuk mengagihkan daging korban kepada para pekerja asing pada setiap Hari Raya Haji.

Lain suasananya tahun ini.

Tiada ibadah korban dijalankan di Singapura. Kehangatan sambutan Aidiladha juga seolah-olah pudar, khususnya bagi para pekerja asing.

Atas pelbagai faktor berkaitan dengan COVID-19, mereka bahkan tidak dibenarkan memasak di dalam dormitori. Tekanan krisis COVID-19 yang menjejas mata pencarian dan prospek pekerjaan pula terus membebani mereka.

Inilah yang mendorong Yayasan Rahmatan lil Alamin (RLAF) untuk sedikit sebanyak mengubat kesedihan para pekerja asing. Beribu-ribu bungkusan makanan siap dimasak dibawa ke 78 kilang yang diubah suai menjadi dormitori (FCD), pada pagi Raya tadi (31 Jul).

Ini sekali gus membawa keceriaan kepada 5,900 pekerja asing kesemuanya!

INISIATIF HASIL KERJASAMA DENGAN PELBAGAI PIHAK

Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama RLAF dengan badan amal Free Food For All (FFFA), sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO), New Life Stories, dan disokong Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris memanjatkan doa bagi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan para pekerja asing. (Gambar: MUIS)

Mengulas tentang usaha murni ini, Pengarah Eksekutif RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim berkata, inisiatif tersebut diharap akan membangkitkan semangat para pekerja asing, apatah lagi sempena sambutan perayaan hari ini.

"Kami juga melakukannya untuk menunjukkan penghargaan kami atas iltizam dan pengorbanan mereka sepanjang beberapa tahun ini dalam membina dan memakmurkan Singapura," kata Encik Zainul.

Beliau merupakan antara individu yang mengagihkan sendiri makanan kepada para pekerja asing di salah satu FCD. Turut turun padang ialah Ketua Eksekutif MUIS, Encik Esa Masood dan Timbalan Mufti Ustaz Mohd Murat Md Aris.

RLAF RANCANG PERLUAS SOKONGAN; PERTINGKAT KEBAJIKAN PEKERJA ASING

Selain mengagihkan makanan, RLAF mendedahkan ia akan bekerjasama dengan agensi, NGO dan perusahaan sosial lain untuk menyokong pelbagai program dan kegiatan yang akan memartabatkan kebajikan para pekerja asing.

Ini akan dilakukan menerusi bimbingan, latihan atau meningkatkan kemahiran serta program-program psikososial.

Pengarah Eksekutif RLAF, Encik Zainul Abidin Ibrahim mengagihkan makanan kepada seorang pekerja asing. (Gambar: MUIS)

Pendekatan seperti itu antara lain diharap akan dapat membina kebingkasan ekonomi dan kesejahteraan para pekerja asing, terutama sekali mereka yang datang dari latar belakang sangat susah.

RLAF mengalu-alukan sumbangan masyarakat untuk usaha tersebut.

Sumbangan boleh dihulurkan menerusi:

  1. Paynow – dengan menyertakan UEN RLAF: 200910530Z
  2. Pemindahan dana ke Akaun OCBC RLAF (Rahmatan lil Alamin Foundation)
    No. akaun 629 069154 001
  3. Sumbangan tunai atau cek kepada 'RLAF'.
    Sila sertakan nama penderma, NRIC (untuk pelepasan cukai), nombor telefon dan tulis "Enhancing Welfare of Migrant Workers". Cek boleh dikirimkan kepada MUIS (273 Braddell S(279702)) atau RLAF (Masjid Yusof Ishak, No 10, Woodlands Drive 17, S(737740)). 
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan