Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5,000 flat baru akan dibina di tapak Akademi Polis Lama di Mount Pleasant; warisan dipelihara

Estet perumahan baru seluas 33 hektar yang menempatkan 5,000 flat akan dibina di Mount Pleasant - kawasan di mana terdirinya Akademi Polis Lama dan banglo-banglo hitam putih dari zaman sebelum peperangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Nov 2021 07:30PM Dikemas Kini : 23 Nov 2021 09:13PM

SINGAPURA: Estet perumahan baru seluas 33 hektar yang menempatkan 5,000 flat akan dibina di Mount Pleasant - kawasan di mana terdirinya Akademi Polis Lama dan banglo-banglo hitam putih dari zaman sebelum peperangan.

Dengan mengambil kira kepentingan warisan bangunan-bangunan itu, pihak berkuasa hari ini (23 Nov) mendedahkan bahawa empat bangunan akademi tersebut - Blok 1, 2, 27 dan 28 - akan dikekalkan. Sebahagian daripada datarannya juga akan disimpan sebagai ruang terbuka di estet baru itu.

Dalam satu kenyataan media bersama, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dan Penguasa Tanah Singapura (SLA) memaklumkan bahawa rancangannya adalah untuk melancarkan projek Bina Ikut Tempah (BTO) pertama di estet perumahan baru tersebut dalam tempoh lima tahun.

Estet baru itu bersempadan dengan Thomson Road dan Ekspreswe Rentas Pulau (PIE), dan berhampiran dengan Bukit Brown, Hutan Simpanan Tadahan Air Bahagian Tengah dan bandar-bandar seperti Toa Payoh.

Pemerintah akan memperoleh sebidang tanah kecil di Singapore Polo Club di Mount Pleasant Road untuk memberi ruang kepada pembangunan perumahan awam dan rangkaian jalan raya di kawasan itu. Rumah kelab, padang dan kandang kuda utama tidak akan terjejas, menurut agensi-agensi tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB menyatakan bahawa Singapore Polo Club akan diberi tempoh yang mencukupi untuk membuat sebarang penyesuaian kepada operasinya, yang mungkin timbul disebabkan pemerolehan tersebut dan HDB akan bekerjasama dengan kelab itu untuk mengurangkan gangguan terhadap khidmatnya.

Menurut agensi perumahan itu lagi, terdapat permintaan yang tinggi untuk flat di estet-estet matang berdekatan, seperti yang disaksikan dengan kadar permohonan tinggi bagi flat-flat BTO di Toa Payoh, Bishan serta Kallang/Whampoa.

Di sebuah sesi taklimat bersama media untuk mengumumkan estet baru, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berucap tentang pentingya untuk memperingati sejarah kawasan itu serta memori dan pengalaman yang dikongsi bersama.

"Jadi kami pertama sekali melibatkan pihak berkepentingan - wakil-wakil daripada kumpulan warisan kami dan anggota kumpulan polis, termasuk pegawai yang berkhidmat, pegawai yang sudah bersara dan anggota perkhidmatan negara sepenuh masa (NSF) - untuk mendapatkan pandangan mereka tentang bagaimana kami dapat merakam, memelihara dan menggabungkan warisan kawasan ini dalam reka bentuk kami dengan cara yang terbaik."

Akademi Polis Lama memainkan peranan penting dalam pembangunan pasukan polis negeri-negeri Selat, menandakan kali pertama Singapura mempunyai institusi tetap untuk melatih tenaga penguat kuasa undang-undangnya.

Dari tahun 1920-an hingga 2005, mercu tanda itu merupakan tunggak utama pembangunan profesional pegawai polis. Ia dipindahkan ke Home Team Academy di Chua Chu Kang pada 2005.

Agensi-agensi pemerintah turut berkongsi bahawa memandangkan skala dan konteks tapak tersebut, kajian impak warisan dan sekitaran yang teliti sudah dijalankan untuk menaksir nilai warisan dan ekologi kawasan itu. Kajian-kajian tersebut digunakan sebagai panduan kepada pelan pembangunan HDB untuk mengurangkan kesan yang mungkin berlaku kepada persekitaran semula jadi dan terbina.

Agensi-agensi berkenaan juga berunding dengan beberapa pihak berkepentingan, seperti kumpulan-kumpulan warisan dan alam sekitar serta masyarakat polis mengenai pelan pembangunan yang diusul.

PENTINGNYA WARISAN

Kajian meluas warisan yang dijalankan antara Ogos 2018 dengan September 2019, menyediakan penilaian yang bebas dan terperinci berkaitan sejauh mana pentingnya warisan tapak tersebut, potensi kesan pembangunan dan langkah-langkah yang disarankan bagi mengurangkan kesan-kesan tersebut, menurut agensi-agensi itu lagi.

Bagi bangunan atau ruang-ruang yang tidak boleh dikekalkan sepenuhnya disebabkan keperluan pembangunan atau kesulitan teknikal, HDB akan mempertimbangkan pelbagai strategi untuk mengekalkan dan menyimpan warisan-warisan penting ruang-ruang tersebut.

Ini termasuk meneroka kemungkinan mengekalkan unsur-unsur fizikal tapak-tapak utama akademi dan menggabungkannya dengan estet perumahan baru sebagai perabot jalanan atau mercu tanda.

URA juga sudah mengenal pasti dua bangunan lain Akademi Polis Lama di luar kawasan estet perumahan baru yang akan dikekalkan. Blok 153 akan disimpan sebagai dewan perhimpunan untuk para pegawai polis kanan, manakala penggunaan masa hadapan bagi Blok 13 akan terus dikaji.

Sebuah kumpulan kerja baru turut ditubuhkan untuk menumpukan bagaimana warisan kaya akademi itu boleh dipelihara dan digabungkan dengan bidang-bidang tanah perumahan pada masa hadapan atau reka bentuk ruang yang dikongsi bersama atau kawasan taman, atau kedua-duanya sekali sebelum kerja-kerja pembangunan bermula.

Ia juga akan membincangkan cara-cara untuk menyerlahkan keistimewaan dan identiti estet tersebut, seperti menerusi saranan nama bagi jalan raya baru yang berkait dengan warisan polis.

HDB dan pihak polis akan memimpin kumpulan kerja tersebut, yang turut melibatkan URA, Lembaga Warisan Negara, ahli persaudaraan polis dan perunding warisan.

Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara Muhammad Faishal Ibrahim akan mempengerusikan kumpulan kerja itu.

MENGURANGKAN KESAN TERHADAP ALAM SEKITAR

Dalam pada itu, kajian kesan sekitaran yang diarahkan oleh HDB pada 2019 mendapati bahawa sebahagian besar tapak tersebut terdiri daripada hutan terbiar dan tumbuh-tumbuhan yang dijaga, termasuk tanaman landskap dan lanskap jalan, bahu jalan menghijau dan halaman yang dijaga.

Tapak itu juga menyediakan berbagai-bagai habitat untuk haiwan, dengan tiga anak sungai dan dua longkang air hujan.

Demi mengurangkan lagi kesan terhadap alam sekitar, HDB juga melibatkan kumpulan-kumpulan persekitaran.

Rangkaian jalan raya baru bagi para penduduk estet. (Gambar: HDB)

Rangkaian jalan raya baru bagi para penduduk estet. (Gambar: HDB)

Pihak berkuasa menyesuaikan rangkaian jalan raya yang diusulkan untuk memenuhi keperluan perjalanan para penduduk pada masa hadapan, supaya tidak menjejas kawasan menghijau di Bukit Brown dan Tanah Perkuburan Kopi Sua yang terletak bersebelahan.

Dua daripada tiga anak sungai kawasan itu akan dipelihara sepenuhnya. Bagi anak sungai yang ketiga, sekitar sepertiga bahagian hulunya yang kaya dengan kepelbagaian bio, akan dipelihara.

Agensi-agensi pemerintah menambah bahawa langkah-langkah lain untuk mengurangkan kesan akan dijalankan untuk mengurangkan kemungkinan kesan terhadap flora dan fauna di kawasan sekitar.

Ini termasuk menanam lebih banyak pokok di pinggir Bukit Brown sebagai penghadang semula jadi cahaya dan bunyi, di samping menyerap pengeluaran karbon kenderaan yang mungkin memudaratkan haiwan.

Kerja-kerja penebangan juga akan dijalankan secara berfasa untuk mengelak musim pembiakan burung.

Zon perlindungan pokok untuk melindungi pokok-pokok besar juga akan ditetapkan.

Pelan pemantauan dan pengurusan alam sekitar juga akan disediakan untuk memastikan keberkesanan langkah-langkah mengurangkan kesan dan untuk memantau dan mengurus sebarang kesan terhadap alam sekitar yang mungkin timbul daripada kerja-kerja prasarana dan pembinaan, menurut agensi-agensi itu lagi.

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa