Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

5,000 banduan, kakitangan jalani ujian swab setelah cef Penjara Changi positif COVID-19

Sekitar 5,000 banduan, kakitangan dan rakan kongsi di Penjara Changi akan diuji bagi COVID-19 sepanjang beberapa hari mendatang setelah seorang cef yang bekerja di sana disahkan positif koronavirus itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 15 May 2021 12:44PM Dikemas Kini : 15 May 2021 11:30PM

SINGAPURA: Sekitar 5,000 banduan, kakitangan dan rakan kongsi di Penjara Changi akan diuji bagi COVID-19 sepanjang beberapa hari mendatang setelah seorang cef yang bekerja di sana disahkan positif koronavirus itu.

Semua lawatan bertemu muka dengan banduan dan persidangan video akan digantikan dengan panggilan telefon berkuat kuasa 17 Mei sehingga makluman selanjutnya, menurut Jabatan Penjara Singapura (SPS) pada Sabtu (15 Mei).

Cef itu, yang merupakan kes disahkan positif COVID-19, adalah kakitangan kontrak yang bekerja di dapur penjara tersebut yang terletak di Institusi A5 di Kelompok A Penjara Changi, menurut SPS. Beliau bekerja di bawah SATS Food Services.

Lelaki itu, dikenali sebagai Kes 63160, pada Jumaat dilaporkan sebagai kes masyarakat yang tiada hubung kait oleh Kementerian Kesihatan (MOH). Beliau bagaimanapun sudah divaksin sepenuhnya.

Lelaki berusia 39 tahun itu kali terakhir melaporkan diri di tempat kerja pada Rabu lalu. Beliau berasa kurang sihat selepas kerja, mengalami demam serta selesema dan mendapatkan rawatan perubatan di sebuah klinik biasa di mana beliau menjalani ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) bagi COVID-19. Hasil ujian beliau positif pada keesokan harinya.

SPS menyatakan ia segera menghentikan operasi dapur di Institusi A5 dan memulakan pengesanan kontak dalam kalangan kakitangan serta banduan sejurus selepas menerima pengesahan tentang jangkitan cef lelaki itu.

Semua kontak rapat lelaki tersebut sudahpun diasingkan atau dikuarantin sementara menanti arahan kuarantin dikeluarkan, menurut jabatan itu.

Para banduan yang terjejas akan menjalani arahan kuarantin mereka di penjara, berasingan dari banduan lain. Kakitangan, vendor dan relawan pula akan menjalani kuarantin mereka di kemudahan kuarantin yang dikhususkan oleh MOH.

UJIAN BAGI KELOMPOK A

Sebagai langkah berjaga-jaga, kegiatan termasuk lawatan keluarga, sesi kaunseling dan janji temu hospital tidak kritikal sudahpun digantung di Institusi A5 di mana cef itu bekerja, menurut SPS.

Semua kawasan terjejas juga sudahpun menjalani kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dengan rapi.

Ujian PCR sudah dimulakan bagi semua banduan, kakitangan, vendor dan relawan yang berada di Institusi A5 dari Isnin hingga Rabu. Sekitar 1,500 banduan, kakitangan dan rakan kongsi akan menjalani ujian itu, menurut SPS.

Kompleks Penjara Changi merangkumi dua kelompok, Kelompok A dan Kelompok B, setiap satu terdiri daripada lima institusi. Kelompok A meliputi Institusi A1, A2, A3, A4 dan A5.

SPS menyatakan pihaknya akan mengambil "tindakan pencegahan yang sangat tinggi" untuk menguji semua banduan, kakitangan dan rakan kongsi dari Kelompok A sementara keputusan ujian bagi mereka yang ditempatkan di bawah kuarantin masih belum selesai.

Sekitar 5,000 orang akan diuji secara bertahap-tahap sepanjang beberapa hari akan datang.

Kegiatan para banduan termasuk program pemulihan akan digantung untuk memudahkan ujian COVID-19, tambah SPS.

TIADA LAWATAN BERTEMU MUKA ATAU MENERUSI PANGGILAN VIDEO

Sejajar dengan langkah-langkah lebih ketat untuk mengurangkan penularan COVID-19 dalam masyarakat, tidak akan ada sebarang lawatan bertemu muka atau menerusi panggilan video bagi semua banduan mulai 17 Mei sehingga makluman selanjutnya. Ini akan digantikan dengan panggilan telefon, menurut SPS.

Langkah-langkah ini akan dilaksanakan mulai 17 Mei kerana lawatan bertemu muka atau melalui panggilan video tidak diadakan pada hari Ahad, jelas jabatan itu.

Keluarga yang sudahpun menempah lawatan mereka, tempahan itu akan secara automatik bertukar kepada panggilan telefon. Banduan juga dapat terus berkomunikasi dengan keluarga melalui e-surat.

SPS juga sudah menggantung semua program pemulihan oleh vendor dan relawan sepanjang tempoh tersebut.

"Ini adalah langkah-langkah pencegahan penting yang diambil oleh SPS untuk keselamatan para banduan, keluarga mereka dan kakitangan serta rakan kongsi dan ia melengkapi langkah-langkah sedia ada yang dikuatkuasakan sejak bermula penularan COVID-19," jelas jabatan itu.

SPS menyatakan ia juga sudah meningkatkan jangka masa pemisahan kohort bagi banduan yang baru diterima dari 14 hari kepada 21 hari, sejak 8 Mei lalu.

Banduan yang baru diterima akan menjalani ujian PCR semasa kemasukan serta pada hari ke-14 dan ke-20 pengasingan, menurut SPS.

Mereka akan dibenarkan untuk menyertai populasi banduan setelah diuji negatif pada akhir tempoh pengasingan kohort.

Sumber : CNA/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa