Skip to main content

Singapura

4PM sanjung jasa Setiausaha Agung Kehormatnya yang paling lama berkhidmat, Almarhum Ahmad Thani

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 14 Jul 2025 09:19PM Dikemas Kini : 15 Jul 2025 12:24AM
SINGAPURA: Sebanyak 54 anugerah disampaikan dalam satu acara menjunjung budi para sukarelawan Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) 'Tribute to Volunteers' (T2V).

Pengiktirafan tertinggi, Anugerah Jasa Bakti disampaikan kepada Encik Jimmy Wandly atas sumbangan dan khidmat cemerlangnya buat masyarakat dan badan itu selama lebih tiga dekad.

"Sebenarnya saya agak terkejut dan terharu kerana diberi anugerah ini. Saya rasa Anugerah ini adalah salah satu penghormatan atas jasa baik saya semasa Bergiat dengan 4PM dalam kegiatan-kegiatan sukarelawan," kata Encik Jimmy.

"Pengalaman yang paling indah ialah bila saya ditugaskan untuk menjadi pengerusi buat Jubli Emas 4PM di mana tugas yang mencabar ini saya rasa bangga kerana dapat diberi dapat sokongan dari pasukan, kepimpinan dari jawatankuasa dan juga dari kakitangan yang ada. Di sanalah saya dapat merasakan betapa ertinya sukarelawan itu iaitu menabur tenaga dan jasa untuk kepentingan masyarakat," tambahnya.
Related article image
Encik Jimmy Wandly menerima pengiktirafan tertinggi, iaitu Anugerah Jasa Bakti, atas sumbangan dan khidmat cemerlangnya buat masyarakat dan badan itu selama lebih tiga dekad.
Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain berkata majlis itu diharap dapat menyuntik semangat para sukarelawan yang telah banyak menyumbang bakti buat masyarakat.

"Apa yang dilakukan oleh relawan kita ini tidak boleh dibalas dengan mata wang tetapi kita menghargai mereka melalui anugerah-anugerah yang saya rasa dapat menyuntik sedikit keyakinan dan mereka lebih terpanggil untuk terus menyumbang kepada masyarakat. Tidak kiralah sumbangan itu dari segi masa, tenaga ataupun dari segi idea-idea. Apa yang kita mahu ialah mereka saling bersatu, menggembleng tenaga untuk menyumbang usaha dan jasa budi mereka kepada masyarakat kita," kata Encik Nassar.

2 ANUGERAH ANUMERTA 4PM DISAMPAIKAN

4PM turut menyampaikan dua Anugerah Anumerta bagi individu yang banyak berjasa iaitu Almarhum Boimin Wakiman dan Almarhum Ahmad Thani Ahmad.

Almarhum Ahmad Thani yang juga merupakan mantan Ketua Editor Berita dan Ehwal Semasa Melayu SBC pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Kehormat 4PM yang paling lama berkhidmat iaitu selama 21 tahun.
Related article image
Almarhum Ahmad Thani pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Kehormat 4PM yang paling lama berkhidmat iaitu selama 21 tahun.

Anaknya, Ahmad Affendi Ahmad Thani mengimbas kembali sumbangan Almarhum buat masyarakat dan 4PM.

"Saya semasa membesar dalam umur 5 atau 6 tahun, saya selalu mengikuti bapa saya semasa dia pergi ke 4PM untuk melakukan kerja pentadbiran 4PM. Jadi saya faham dan tahulah apa yang dilakukan dan sumbangan yang dia lakukan. Kadang kita anak-anaknya, akan mengikutinya pergi ke kegiatan-kegiatan yang 4PM lakukan. Dulu ada 'funfair' dan ada juga acara memberi bantuan kepada keluarga keluarga yang susah. Jadi kita juga pergi ikut bersama. Jadi saya dapat lihat arwah bapa saya melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan sumbangan beliau kepada masyarakat Melayu terutama sekali di kawasan Kaki Bukit," ujar Encik Ahmad Affendi.

Kategori anugerah lain termasuk Anugerah Sukarelawan Baharu, Anugerah Penghargaan Sukarelawan dan Anugerah Mentor Sukarelawan turut disampaikan.

Turut menyerikan majlis penghargaan tersebut ialah Anggota Parlimen, Dr Syed Harun Alhabsyi.

"Saya rasa amat teruja melihat tenaga sukarelawan 4PM di mana kita dapat merasakan semangat sukarelawan-sukarelawan 4PM memupuk sifat kepedulian bagi masyarakat" kata beliau.

"Saya rasa sokongan sukarelawan bukan sahaja bagi 4PM tetapi bagi persatuan-persatuan Melayu/Islam di Singapura ini amat penting di mana kita lihat bahawa kerja sukarelawan merupakan antara peluang untuk masyarakat. Untuk badan-badan masyarakat seperti 4PM memupuk bakat dan juga menyumbang kepada masyarakat. Para sukarelawan juga merupakan antara lapisan seterusnya bagi badan-badan tersebut di mana kita dapat memupuk kepimpinan seterusnya" tambahnya lagi.

Majlis yang diadakan di The Iris City Plaza pada Jumaat (14 Jul) itu dihadiri lebih 200 sukarelawan dan kakitangan 4PM.
 

Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita