Skip to main content

Singapura

4PM lantik Didicazli Ismail sebagai Pengarah Eksekutif pertama

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Oct 2023 06:43PM Dikemas Kini : 03 Oct 2023 08:15AM

SINGAPURA: Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melantik Encik Didicazli Ismail sebagai Pengarah Eksekutif pertamanya berkuat kuasa 2 Okt.

Demikian menurut 4PM dalam satu kenyataan media pada Isnin (2 Okt).

Mengulas pelantikannya itu, Encik Didicazli berkata: "Saya rasa terharu, berbesar hati dan berbangga dapat menyertai keluarga besar 4PM yang terdiri daripada para relawan dan kakitangan untuk bersama-sama menyokong belia dan keluarga mereka."

Mengalu-alu penyertaan Encik Didicazli dalam pertubuhan itu, Presiden 4PM, Encik Nassar Mohamad Zain berkata beliau yakin akan peranan dan sumbangan Encik Didicazli dalam fasa pembangunan 4PM seterusnya. 

'
"4PM mempunyai sejarah yang kaya dalam memupuk masyarakat penyayang di mana individu mempunyai rasa tanggungjawab yang mendalam terhadap satu sama lain, secara aktif meluangkan masa mereka untuk menyokong belia, keluarga dan masyarakat."

PERANAN DAN USAHA DIDICAZLI ISMAIL DALAM KEBAJIKAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM

Dalam temu bual bersama BERITA Mediacorp, Encik Didicazli berkata beliau bersedia untuk menyahut cabaran menyokong usaha 4PM dalam menangani keperluan sosial dan kebajikan masyarakat Melayu/Islam tempatan.

"Sebagai Pengarah Eksekutif 4PM, saya ingin menyumbang dengan secara signifikan demi mencapai visi Presiden 4PM dalam membantu secara menyeluruh golongan belia, dan keluarga mereka melangkah ke masa hadapan secara bersama," kata beliau.

Perjalanan Encik Didicazli dalam kerja-kerja kemasyarakatan bermula lebih 10 tahun lalu sebagai sukarelawan dalam program-program masyarakat.

Jawatan-jawatan penting yang pernah disandang Encik Didicazli termasuk sebagai Pengurus Kanan Tabung Amal Aidilfitri (TAA) sejak 2018.

Beliau memainkan peranan utama dalam merangka strategi dan operasi TAA yang berjaya menghasilkan peningkatan ketara dalam pengumpulan dana amal dan pengagihan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan.

Dengan peranan barunya sebagai Pengarah Eksekutif 4PM, Encik Didicazli telah melepaskan jawatannya di TAA.

Beliau bagaimanapun akan terus memegang jawatan Pengerusi M³@Jalan Besar yang disandangnya sejak tahun lalu.

"Menerusi pengalaman di M³ dan program-program masyarakat, saya dapat meraih pemahaman lebih mendalam dalam landskap masyarakat Melayu/Islam untuk memahami apa yang perlu kita lakukan, apa yang harus kita jalani bersama untuk mencapai matlamat meningkatkan prestasi golongan belia kita," kata Encik Didicazli.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita