Skip to main content

Singapura

4PM lancar inisiatif baharu perkukuh sokongan keluarga memerlukan; catat jumlah rekod penerima bantuan Ramadan

Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melancarkan satu inisiatif baharu bagi memperkukuh sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.
Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM) melancarkan satu inisiatif baharu bagi memperkukuh sokongan kepada keluarga berpendapatan rendah.

Dinamakan Jalinan Kasih 4PM, projek tersebut menyokong kumpulan pertama seramai 10 keluarga menerusi program intervensi selama enam bulan yang diterajui pekerja sosial.

Program itu bertujuan memastikan keluarga-keluarga berkenaan mendapat sokongan yang lebih selaras, termasuk bantuan kewangan tambahan, rujukan kepada agensi berkaitan serta penyertaan dalam program pembangunan keluarga.

Presiden 4PM Nassar Mohamad Zain berkata pendekatan tersebut diambil kerana bantuan yang diberikan sekali sahaja tidak mencukupi bagi keluarga yang menghadapi pelbagai cabaran kewangan.

"Kami mengambil pendekatan sebegini kerana merasakan bahawa memberi habuan ataupun memberi bantuan kewangan sekali sahaja itu tidak mencukupi untuk keluarga-keluarga yang mungkin dalam kesusahan, banyak bil-bil yang tertunggak, ada bil-bil kesihatan yang perlu dibayar ataupun untuk membiayai kos pembelajaran tambahan anak-anak mereka," kata Encik Nassar.

Sepanjang tempoh enam bulan tersebut, keluarga yang terlibat boleh menerima bantuan kewangan tambahan sehingga S$4,000, bergantung kepada keperluan dan tahap penglibatan mereka dalam program.

Ini termasuk bantuan permulaan sebanyak S$1,000 yang diberikan kepada kesemua keluarga sewaktu pelancaran program itu.

 
Related article image
Satu sesi bersama pekerja sosial dalam perjalanan berterusan selama enam bulan di bawah program khas Jalinan Kasih 4PM (Gambar: 4PM)
Selain bantuan kewangan, keluarga yang terpilih juga akan mengikuti sesi penglibatan kerja sosial setiap bulan serta program pembangunan berkumpulan yang memberi tumpuan kepada literasi kewangan, sokongan keibubapaan dan daya tahan sosial-emosi.

PROGRAM JALINAN KASIH BERI TUMPUAN KEPADA KELUARGA DENGAN ANAK BERSEKOLAH, IBU BAPA MUDA

Menurut Encik Nassar, 4PM memberi tumpuan kepada keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih bersekolah, khususnya ibu bapa muda yang memerlukan sokongan tambahan.

"Kerana kita berpejabat di Bedok Reservoir, jadi secara tidak langsung, kita mahu membantu mereka yang di kejiranan di Bedok. Yang kedua, kita melihat daripada keadaan keluarga itu sendiri - siapa yang lebih memerlukan bantuan daripada 4PM supaya mereka dapat keluar daripada kesusahan yang mereka hadapi. Tumpuan khas 4PM ialah untuk keluarga yang mempunyai anak-anak yang masih di bangku sekolah. Terutama sekali ibu bapa itu sendiri tergolong daripada golongan belia, iaitu di bawah 35 tahun," jelas Encik Nassar.

Antara penerima bantuan sulung program Jalinan Kasih ialah Cik Norshimah Yusof, ibu kepada tujuh orang anak.

Selain sokongan kewangan yang amat membantu keluarganya, Cik Norshimah juga berharap program tersebut dapat membantu memperkukuh hubungan keluarganya dan memberi dorongan untuk memperbaiki kehidupan mereka.

"Wang tambahan yang diberi oleh 4PM akan digunakan untuk wang sekolah anak-anak saya, untuk berbelanja untuk Hari Raya dan juga membayar bil yang tertunggak," kata Cik Norshimah.

"Dengan program 4PM selama enam bulan ini, kami akan memperbaiki keadaan keluarga kami dan juga berfikiran positif dan menghadap ke hadapan," tambah beliau.
 
Related article image
Bergambar bersama beg habuan beserta wang tunai $1000 untuk diagihkan kepada 10 penerima Jalinan Kasih 4PM. (Gambar: 4PM)
Program Jalinan Kasih dilancarkan di Kelab Masyarakat Fengshan oleh Anggota Parlimen GRC East Coast, Hazlina Abdul Halim.

Beliau menyifatkan usaha tersebut sebagai satu contoh kerjasama yang penting antara pertubuhan masyarakat dan badan akar umbi dalam membantu golongan memerlukan.

"Kami sentiasa mengalu-alukan rakan kerja yang ingin bekerjasama kerana kita berkongsi misi yang sama, iaitu ingin membantu meningkatkan lagi mutu kehidupan masyarakat kita. MMO seperti 4PM adalah rakan kerja yang amat kami hormati kerana mereka sentiasa memerhati apakah keperluan masyarakat dan apabila setelah dikenal pasti, melakarkan program baharu seperti hari ini – Jalinan Kasih," kata Cik Hazlina.
 
JUMLAH KELUARGA PENERIMA BANTUAN 4PM CATAT JUMLAH TERTINGGI

Pelancaran program itu berlangsung ketika 4PM turut mencatat jumlah tertinggi keluarga yang dibantu setakat ini di bawah program bantuannya.

Tahun ini, lebih 900 keluarga menerima bantuan Ramadan daripada 4PM.

Jumlah tersebut meningkat daripada sekitar 860 keluarga tahun lalu, dan 575 keluarga pada 2024.

Menurut 4PM, sekitar 70 peratus penerima bantuan terdiri daripada keluarga yang mempunyai anak-anak kecil atau masih bersekolah, manakala selebihnya terdiri daripada warga emas dan individu berpendapatan rendah.

Encik Nassar berkata peningkatan jumlah penerima bantuan itu didorong oleh beberapa faktor.

"Saya rasa peningkatan itu berpunca oleh tiga sebab. Yang pertama sekali ialah kos sara hidup yang semakin meningkat, yang memberi impak dan kesan kepada para penerima dan keluarga kita. Yang keduanya ialah kesedaran terhadap kerja-kerja yang telah dilakukan oleh 4PM. Kesedaran ini merangkumi apa yang kita lakukan secara di media sosial, ada mereka dengar di radio, di corong-corong radio. Dan ketiga juga kita turun padang dan kita dapat melihat kesusahan yang telah dialami oleh keluarga tersebut," jelas Encik Nassar.

Secara keseluruhan, 4PM menyalurkan sekitar S$300,000 bantuan tahun ini.

Setiap keluarga penerima bantuan menerima S$300 bantuan tunai semasa Ramadan, bagi membantu menampung perbelanjaan mendesak seperti bil isi rumah dan kos perubatan.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita