476 Pas Penumpang Sudah Divaksin dikeluarkan kepada pelawat dari Hong Kong, Qatar, Saudi & UAE

Para pelawat menunggu untuk mengambil bagasi masing-masing di Lapangan Terbang Changi Singapura. (Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Sebanyak 476 Pas Penumpang Sudah Divaksin (VTP) dikeluarkan kepada para pelawat dari Hong Kong, Qatar, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memasuki Singapura pada hari pertama permohonan dibuka.
Demikian menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) pada Rabu (23 Feb).
Setakat pukul 11.59 malam pada 22 Februari, sebanyak 415 pas dikeluarkan kepada para pelawat jangka pendek manakala 61 lagi bagi pemegang permit kerja.
Permohonan untuk VTP dibuka pada 22 Februari, pukul 10.00 pagi.
Pas-pas tersebut adalah untuk perjalanan yang dilakukan antara 25 Februari sehingga 6 Mei.
Rakyat Singapura, Penduduk Tetap (PR), pemegang pas jangka panjang dan pemegang Kelulusan Secara Prinsip (IPA) yang lengkap divaksin serta kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah pada tahun ini tidak perlu memohon bagi pas untuk memasuki Singapura di bawah skim Laluan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL), menurut CAAS.
Pihak berkuasa itu juga mengingatkan para pelawat bahawa permohonan bagi Pas Perjalanan Udara (ATP) untuk pelawat jangka pendek bagi perjalanan dari Hong Kong ke Singapura sudahpun dihentikan sejak 17 Februari, pukul 11.59 malam.
Para pemegang ATP yang sah dan mempunyai sejarah perjalanan ke Hong Kong boleh memasuki Singapura sehingga pukul 11.59 malam, pada 24 Februari. Semua ATP untuk kemasukan ke Singapura dari Hong Kong selepas waktu yang ditetapkan itu akan ditolak.
"Kami sudah kembali ke landasan untuk menghidupkan semula perjalanan udara dan menuntut semula kedudukan Singapura sebagai sebuah hab udara sejagat," menurut Encik Han Kok Juan, Ketua Pengarah CAAS.
"Pelancaran empat VTL baru minggu ini adala permulaan semula yang berhati-hati dan tersusun.
"Ia memastikan jumlah pelawat terurus dan membolehkan sektor penerbangan Singapura meningkatkan operasi secara berperingkat-peringkat bagi memastikan pengalaman yang lancar di Changi sedang jumlah perjalanan meningkat," tambahnya lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.