Skip to main content

Singapura

4.6kg ganja dirampas daripada motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands

Anggaran Waktu Membaca:
4.6kg ganja dirampas daripada motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands

(Gambar: CNB)

Diterbitkan : 16 Jan 2025 01:07PM Dikemas Kini : 16 Jan 2025 01:08PM
SINGAPURA: Satu percubaan untuk menyeludup pelbagai jenis dadah ke Singapura digagalkan pihak berkuasa pada Selasa (14 Jan), selepas bahan terlarang itu yang termasuk lebih 4.6 kilogram ganja, dikesan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

4,468 gram (g) ganja, 542g Ice dan 250 pil Erimin-5 ditemui dalam sebuah motosikal berdaftar Malaysia, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) dalam satu kenyataan bersama pada Khamis (16 Jan).

Pegawai ICA menjalankan pemeriksaan susulan pada motosikal yang ditunggang seorang lelaki warga Malaysia 21 tahun, apabila mereka menemui bungkusan hitam di bahagian depan kenderaan.

Para pegawai memaklumkan rakan sejawatan mereka di CNB yang menjalankan pemeriksaan lanjut.

Dadah tersebut, yang mempunyai nilai lebih S$169,000, ditemui di beberapa bahagian motosikal.

"Dadah itu cukup untuk melepaskan ketagihan 970 penyalah guna dadah selama seminggu," kata ICA dan CNB.

Lelaki tersebut diberkas dan siasatan sedang dijalankan.

"ICA akan terus menjalankan pemeriksaan keselamatan di pusat pemeriksaan untuk mencegah percubaan untuk menyeludup individu yang tidak diingini, senjata, bahan letupan dan bahan terlarang lain merentasi sempadan kita."

Di bawah Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah, mereka yang membawa masuk atau mengeksport lebih daripada 500g ganja atau 250g methamphetamine dari Singapura, boleh berdepan hukuman mati.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita