Skip to main content

Singapura

467 pelajar diiktiraf dengan Anugerah Mendaki tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para penerima Anugerah MENDAKI boleh menjadi teladan bagi belia Muslim dan membimbing mereka untuk mencapai aspirasi mereka.

Demikian seruan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah MENDAKI pagi tadi (19 Okt).

Encik Masagos berkata: "Belia Muslim mendapat inspirasi daripada peran contoh yang mencerminkan diri mereka serta laluan yang diambil untuk mencapai kejayaan. Sebab itulah, pementoran memainkan peranan yang besar kerana para mentor lebih cenderung untuk memberikan inspirasi (kepada golongan belia) tentang pilihan kerjaya. Pengalaman meraih kejayaan menjadikan golongan belia lebih yakin untuk mencapai aspirasi akademik mereka."

Encik Masagos juga menyentuh tentang kejayaan para pelajar Melayu/Islam di Institut Pengajian Tinggi (IHL).

"Lebih ramai para pelajar Melayu/Islam yang berjaya, memasuki institut-institut pendidikan tinggi (IHL) dan menceburi bidang-bidang pengajian yang lebih pelbagai. Kita kini melihat semakin ramai pelajar yang tamat pengajian daripada sektor berkembang seperti Kejuruteraan Persekitaran, Data Raya & Analisis serta Sains Bioperubatan," kata beliau.

4 PENERIMA ANUGERAH GEMILANG MENDAKI

Seramai 467 pelajar diiktiraf dengan Anugerah MENDAKI tahun ini menerusi 22 kategori anugerah.

Tahun ini, empat pelajar dari empat IHL menerima anugerah tertinggi MENDAKI, yang mengiktiraf usaha pelajar Melayu/Islam sebagai teladan yang melangkaui pencapaian akademik.

Salah seorang penerimanya adalah penuntut Diploma jurusan kejururawatan di Politeknik Ngee Ann, Sri Mardiah Suharman, 38 tahun.

'

Sebelum menceburi bidang kejururawatan, Sri Mardiah berkhidmat sebagai pramugari selama 14 tahun.

Namun, akibat pandemik COVID-19, beliau menilai semula laluan kerjayanya.

Beliau akhirnya memutuskan untuk mengejar impiannya sejak kecil dalam bidang kejururawatan dan mendaftar untuk kursus Nitec dalam bidang tersebut pada 2021.

Sri Mardiah kemudian melanjutkan pengajian di ITE Kolej Timur pada 2022.

"Sebagai seorang yang bertukar kerja pertengahan kerjaya, saya sudah lebih 20 tahun tidak ke sekolah. Cara belajar semua lain, sekarang, semuanya menerusi pembelajaran digital. Tetapi saya bersyukur untuk mendapat bantuan daripada para pensyarah dan rakan-rakan muda saya," kongsi Sri Mardiah.

Tahun lalu, prestasinya yang cemerlang dengan markah Gred Purata Mata (GPA) penuh 4.0 untuk muncul sebagai pelajar terbaik dalam Sains Kesihatan di ITE Kolej Timur.

Menurut Sri Mardiah, bidang kejururawatan memberinya kepuasan yang tidak ternilai.

Sri Mardiah berkata: "Saya bersyukur dan sangat berterima kasih atas Anugerah MENDAKI ini. Ia satu lagi titik penting dalam perjalanan pendidikan saya, ia juga satu pengiktirafan atas komitmen saya terhadap pelajaran sepanjang hayat dan juga peningkatan peribadi."

Atas semua pencapaiannya itu, beliau menerima tiga anugerah pagi ini - Anugerah Gemilang MENDAKI, Anugerah Pencapaian Akademik dan Anugerah MENDAKI.

88 PENERIMA ANUGERAH CEMERLANG MENDAKI

Tahun ini, seramai 88 individu menerima Anugerah Cemerlang MENDAKI, meningkat sedikit berbanding 86 penerima pada tahun lalu.

Antara penerimanya ialah Taufiq Abdul Rahman, 25 tahun, yang lulus dengan Kelas Pertama dalam Sarjana Muda Sains Komputer.

Beliau mencatatkan GPA cemerlang 4.75.

'

Bekas mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS) itu diiktiraf bukan sahaja kerana prestasi akademiknya yang luar biasa, tetapi juga sumbangannya kepada masyarakat

Sepanjang pengajian di NUS, Taufiq secara konsisten melakukan pelbagai projek yang dapat memperkasakan dirinya sebagai mahasiswa dan jurutera sofwe.

Pada tahun lalu, beliau memanfaatkan pengetahuannya untuk membangunkan satu aplikasi multimodal untuk pelajar yang menghidapi disleksia.

Projek yang dinamakan Project Sight Words itu membantu para pelajar tersebut belajar membaca dan menulis.

Atas pencapaian cemerlangnya, Taufiq juga menerima Anugerah Gemilang MENDAKI.

Taufiq berkata: " Saya rasa amat berbesar hati kerana menerima anugerah ini. Saya rasa kita patut mengambil anugerah ini sebagai petanda untuk terus berbakti kepada masyarakat. Kita boleh menggunakan bakat kita di dalam bidang masing-masing agar masyarakat kita dapat maju bersama."

Secara keseluruhannya, 500 anugerah diberikan di majlis penyampaian Anugerah MENDAKI tahun ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita