46 kes tingkap terjatuh dilaporkan tahun ini; kedua tertinggi sejak 2012
Sejumlah 46 kes tingkap yang terjatuh dilaporkan pada 11 bulan pertama tahun ini, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) serta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (12 Dis).
SINGAPURA: Sejumlah 46 kes tingkap yang terjatuh dilaporkan pada 11 bulan pertama tahun ini, menurut perangkaan terbaru yang dikeluarkan oleh Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) serta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (12 Dis).
Jumlah itu lebih rendah berbanding 56 kes yang dilaporkan pada tahun lalu. Sungguhpun demikian, jumlah itu adalah yang kedua tertinggi dalam tempoh enam tahun.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan bagi kes-kes tersebut dan kebanyakannya melibatkan tingkap berbingkai.
Menurut kenyataan bersama itu, 23 kes melibatkan tingkap berbingkai, 19 tingkap gelungsur dan empat lagi membabitkan jenis tingkap lain seperti anak tingkap.
Rivet aluminium yang berkarat menjadi punca utama tingkap-tingkap terjatuh. Sejak 2004, para pemilik rumah diwajibkan menggantikan semua rivet aluminium pada tingkap-tingkap seumpama itu dengan keluli tahan karat. Ini kerana sebarang pengakisan boleh menjejas kekuatan dan fungsi aluminium.
BCA dan HDB menasihati para pemilik rumah supaya memeriksa setiap enam bulan agar kancing dan rivet tidak menjadi karat atau longgar. Mereka juga dinasihati supaya membubuh pelincir pada bahagian-bahagian yang boleh bergerak.
Tingkap gelungsur yang terjatuh didapati disebabkan oleh kurang pemasangan alat penahan dan jalur sudut yang sesuai. Para pemilik rumah dinasihati supaya memastikan agar penahan dan jalur sudut dipasang dan digantikan apabila ia tidak lagi sesuai digunakan.
"Sejak lima tahun lalu, secara purata, kami menyaksikan sekitar 45 kes tingkap terjatuh setiap tahun. Setiap kes merupakan satu ancaman kepada masyarakat disebabkan kesannya yang boleh membawa maut.
"Kes-kes ini boleh dicegah jika para pemilik rumah mengetahui risikonya dan melakukan tanggungjawab mereka untuk memeriksa tingkap-tingkap setiap enam bulan dan mengambil tindakan segera bagi memperbaikinya," kata Lim Beng Kwee, Pengarah Jabatan Penguatkuasaan dan Pemeriksaan Struktur BCA.
Para pemilik rumah yang belum lagi menggantikan semua rivet aluminium bagi tingkap-tingkap berbingkai boleh dikenakan denda sehingga S$5,000 atau dijatuhi hukuman penjara sehingga enam bulan.
Bagi tingkap-tingkap yang terjatuh akibat kurang penyenggaraan pula, para pemilik rumah boleh dikenakan denda maksimum S$10,000 dan/atau dipenjarakan sehingga setahun.
Sejak 2006, 342 orang sudah didenda manakala 92 yang lain didakwa akibat tingkap-tingkap yang terjatuh.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.