46 artis kurang upaya dari 15 negara padu suara sebar mesej positif, pupuk sikap inklusif
Seramai 46 artis kurang upaya daripada 15 negara berpadu suara dan tenaga dalam satu platform yang sama untuk menyebarkan mesej yang positif dan bersifat inklusif.
46 artis kurang upaya dari 15 negara bergabung dalam satu muzik video. (Gambar: Youtube)
SINGAPURA: Seramai 46 artis kurang upaya daripada 15 negara berpadu suara dan tenaga dalam satu platform yang sama untuk menyebarkan mesej yang positif dan bersifat inklusif.
Para artis yang berbakat itu bersatu hati mendendangkan lagu
"Stand by Me" untuk menyuntik semangat dan memupuk sikap inklusif sedang kita melalui tempoh yang mencabar sekarang.
Menulis di Facebooknya hari ini (14 Jun), Presiden Halimah Yacob turut berbesar hati melihat wajah-wajah yang dikenali beliau turut terlibat sama dalam menjayakan video yang dimuat naik ke laman YouTube itu.
Antara artis tempatan yang mendapat perhatian Presiden Halimah ialah penyanyi rap dan penggubah lagu tanah air, Wheelsmith, yang membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada tahun lalu.
Puan Halimah turut menarik perhatian bahawa pandemik COVID-19 menjejas kehidupan ramai orang, terutamanya golongan kurang upaya.
Golongan kurang upaya berdepan dengan cabaran-cabaran yang lebih sulit akibat perubahan-perubahan yang disebabkan oleh wabak tersebut.
JANGAN BIARKAN GOLONGAN LEMAH RASA TERPINGGIR
Sehubungan itu, Presiden Halimah menyeru orang ramai supaya mengambil berat dan terus mendampingi golongan yang mudah terjejas agar mereka tidak rasa terpinggir di tengah-tengah krisis yang melanda.
Dalam catatan Facebook yang berasingan pada Rabu (10 Jun), Presiden Halimah menekankan bahawa isu yang dihadapi golongan kurang upaya
perlu ditangani sebagai isu peringkat nasional dan bukan setakat matlamat badan-badan kebajikan dan agensi khidmat sosial.
Presiden Halimah turut mendedahkan dalam catatan yang sama bahawa tumpuan Cabaran Presiden pada tahun ini adalah memperkasakan golongan kurang upaya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.