Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

4,500 keluarga penyewa flat sewa berjaya miliki rumah sendiri sejak 5 tahun lalu, dedah HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Mar 2022 05:16PM Dikemas Kini : 06 Mar 2022 10:08PM

SINGAPURA: Kira-kira 4,500 keluarga yang menetap di flat-flat sewa berhasil memiliki rumah mereka sendiri sepanjang tempoh lima tahun yang lalu, dengan bantuan melalui pelbagai skim dan geran Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Perangkaan dari 2017 hingga 2021 membentuk hampir 9 peratus daripada jumlah keluarga yang menetap di flat sewa di Singapura, menurut HDB pada Ahad (6 Mac). 

Daripada jumlah itu, tiga daripada empat penyewa flat sewa membeli flat HDB, manakala selebihnya mendapatkan flat daripada pasaran jualan semula. 

Sekitar dua pertiga membeli flat dengan bantuan geran perumahan seperti Geran Perumahan CPF Tambahan dan Geran Perumahan CPF Khas, iaitu sehingga S$40,000 setiap satu dan juga Geran Perumahan CPF yang Dipertingkatkan (EHG) iaitu sehingga S$80,000. 

Sebahagian besar keluarga membeli flat tiga atau empat bilik. 

HDB juga memberikan kemas kini tentang usaha Pasukan Sokongan bagi Pemilikan Rumah (HST) yang menyediakan sokongan kepada para penyewa flat sewa untuk membeli rumah mereka sendiri. 

Peranan HST termasuk membantu mereka yang sudah bersedia untuk membeli flat melalui proses pembeliannya, dari peringkat memohon sehingga mengambil kunci flat, di samping menolong keluarga menilai kemampuan mereka untuk membelinya.

Semasa ditubuhkan pada 2019, HST menetapkan sasaran untuk membantu 1,000 keluarga, yang "pada awalnya dinilai sudah bersedia untuk membeli flat" menjelang 2023. 

"Setakat 31 Disember 2021, HST sudah mendampingi kira-kira 1,030 keluarga yang menetap di flat sewa, menjangkaui sasaran 1,000 keluarga dan mencapainya dua tahun lebih awal daripada yang dirancangkan," menurut HDB. 

Daripada lebih 1,000 keluarga ini, 340 seharusnya sudah bersedia untuk memohon flat dalam tempoh setahun dua akan datang, tambah HDB. 

Selebihnya sedang dalam proses penilaian atau belum bersedia untuk memohon flat dalam masa terdekat. 

HST akan terus memantau kemajuan mereka dan membantu mereka beralih kepada pemilikan rumah mereka sendiri, selagi boleh dilaksanakan, menurut HDB. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan