Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

45 pelajar diiktiraf Anugerah BESTARI 4PM; program damping pelajar lanjut pelajaran ke IHL

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pencapaian 45 pelajar ITE dalam bidang akademik dan penglibatan kokurikulum (CCA) diiktiraf dalam edisi ke-21 Anugerah BESTARI Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu 4PM pada Sabtu (4 Nov).

Dalam majlis yang sama, Presiden 4PM, Nassar Mohamad Zain berkongsi rancangan pertubuhan itu untuk memberikan sokongan dan mendampingi para pelajar ITE yang dalam proses peralihan ke institusi pengajian tinggi (IHL) selanjutnya selepas meninggalkan ITE.

"4PM telah mengadakan dan menganjurkan Anugerah Bestari sejak tahun 2002. Jadi selepas 21 tahun, saya rasa memang sudah tiba masanya untuk kita memperluaskan lagi pendekatan kita, dengan pelajar-pelajar kita dari ITE," kata Encik Nassar.

Tambah beliau, 4PM harus mempertingkatkan anugerah tersebut bukan sahaja di peringkat ITE.

"Kita akan mengadakan satu program baharu untuk mereka, untuk proses peralihan ke peringkat seterusnya. Insya-Allah masa hadapan juga kita akan adakan mungkin dermasiswa, ataupun biasiswa untuk para pelajar ITE kita," kata Encik Nassar.

CEKAL BERDEPAN CABARAN, RAIH ANUGERAH DAYA TAHAN 4PM

Antara pelajar yang berjaya meraih Anugerah Daya Tahan 4PM tahun ini adalah Mohammad Irfan Suhairi Alifi.

Beliau kehilangan bapa tersayang semasa di sekolah menengah dan ibunya terpaksa mengambil alih tanggungjawab sebagai pencari nafkah utama.

Namun ini tidak melunturkan semangatnya untuk kekal optimistik.

Malah, beliau menganggap setiap cabaran yang dilaluinya sebagai peluang untuk memperkasakan diri dan meraih ilmu serta pengalaman.

Mohammad Irfan bukan sahaja cemerlang dalam pendidikan, beliau juga mempamerkan sifat kepimpinan luar biasa sebagai sebagai Presiden Kelab Duta Pelajar (SAC).

"Saya rasa selalunya saya kurang yakin dengan diri saya tetapi saya ada ramai kawan dan guru-guru di ITE yang menolong saya membina keyakinan (diri). 4PM juga memberi saya banyak peluang untuk memperbaiki diri saya dan sekarang saya berani memimpin rakan-rakan saya di 4PM dan di sekolah," kata beliau.

Beliau juga berharap agar para pelajar dan rakan-rakannya tidak berputus asa dan terus memperjuangkan impian mereka.

TIDAK PUTUS ASA; RAIH MARKAH GPA SEMPURNA

Dengan markah GPA sempurna 4.0, pelajar Kejuruteraan Data Higher Nitec, Lya Nadya Tay Alwee Tay, dinobat sebagai pemenang Anugerah Pelajar Cemerlang BESTARI.

Pencapaian ini didorong minatnya dalam bidang teknologi serta iltizam untuk cemerlang dalam pelajaran.

"Pada mulanya saya amat sukar belajar di ITE tetapi saya tidak berputus asa sampai hari ini. Saya berharap saya dapat belajar di politeknik dan universiti," kata Cik Lya Nadya.

Selain meraikan para pelajar Melayu/Islam yang cemerlang dalam pelajaran, 4PM berharap dapat memupuk generasi pelapis pemimpin daripada kalangan mereka.

"4PM sentiasa bersedia untuk memberi ruang kepada belia khususnya para pelajar ITE untuk memburu dan meneruskan impian mereka. Jadi kami menyediakan wadah untuk pelajar ini untuk berkecimpung dalam kegiatan yang dapat membantu untuk terus meningkatkan potensi kepimpinan dan memupuk jati diri," kata Naib Presiden 4PM & Pengerusi Projek Bestari ITE, Muhd Saufi Abdul Rashid.

Majlis itu dihadiri 150 tetamu termasuk tetamu terhormat, Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Sun Xueling dan Anggota Parlimen GRC Pasir Ris – Punggol, Sharael Taha.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan