Skip to main content

Singapura

4,428 flat BTO ditawar di Kallang Whampoa, Queenstown, Jurong West dan Tengah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 28 Feb 2023 05:04PM Dikemas Kini : 28 Feb 2023 10:50PM


SINGAPURA: Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Selasa (28 Feb) melancarkan sebanyak 4,428 flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di lima estet iaitu di Kallang Whampoa, Queenstown, Jurong West dan Tengah.

Dua daripada projek itu - Dover Forest dan Farrer Park adalah di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama. Ia masing-masing terletak di Queenstown dan Kallang Whampoa.

Flat-flat yang dilancarkan itu menawarkan jenis dua bilik Flexi hingga lima bilik.

HDB menyatakan dengan jumlah subsidi yang agak tinggi, harga flat baru itu akan dijual jauh lebih rendah berbanding harga urus niaga flat jualan semula yang setanding.

"Secara khususnya, semua flat empat bilik di estet bukan matang yang ditawarkan dalam jualan kali ini berharga di bawah S$400,000, sebelum pemberian geran."

s


HDB menambah, masa menunggu bagi flat itu adalah sekitar 4.4 tahun.

Mereka yang ingin berpindah ke rumah baru lebih awal boleh mempertimbangkan unit-unit di Jurong West Crystal (3.9 tahun) dan Brickland Weave di Tengah (4 tahun), kedua-duanya di estet bukan matang.

"Selain itu, dengan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada flat empat bilik dan yang lebih besar diketepikan untuk keluarga kali pertama, pemohon boleh menjangkakan peluang lebih tinggi untuk mendapatkan flat dalam projek ini," kata HDB.

PROJEK LOKASI UTAMA

Dua projek yang ditawarkan di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama ialah Farrer Park Fields di Farrer Park dan Ulu Pandan Glades di Dover Forest.

Antara syarat membeli dan menjual lebih ketat flat PLH adalah pemilik harus membayar 6 peratus daripada harga jualan semula atau taksiran, mana lebih tinggi, kepada HDB apabila menjual semula rumah mereka di pasaran terbuka buat kali pertama serta tempoh penginapan minimum (MOP) selama 10 tahun.

Di Farrer Park Fields, HDB menawarkan flat dua bilik Flexi yang dijual pada kedua-dua pajakan 99 tahun dan juga pajakan yang lebih pendek, untuk memenuhi keperluan berbeza pembeli flat.

Projek di Ulu Pandan Glades terdiri daripada dua blok kediaman setinggi 34 hingga 43 tingkat, menawarkan lebih 730 unit tiga dan empat bilik dengan pajakan selama 99 tahun.

Kawasan bebas kereta itu terletak berhampiran MRT Dover dan bersebelahan dengan laluan penghubung taman Ulu Pandan.

SKIM PERUMAHAN PERMULAAN BARU

Keluarga di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru akan mempunyai pilihan tambahan untuk membeli flat tiga bilik dengan tempoh pajakan yang lebih pendek bermula daripada tawaran jualan kali ini.

Skim itu, untuk membantu keluarga penyewa flat awam yang pernah memiliki flat HDB mampu membeli flat dua bilik Flexi di bawah tempoh pajakan lebih pendek - yang lebih murah daripada flat dengan tempoh pajakan biasa 99 tahun.

Keluarga di bawah Skim Perumahan Permulaan Baru boleh memilih tempoh pajakan antara 45 hingga 65 tahun, selagi tempoh pajakan flat mereka boleh menampung pemohon dan pasangan mereka sehingga usia 95 tahun.

Permohonan bagi penjualan flat BTO itu sudah boleh diserahkan secara online hingga 6 Mac, di laman InfoWEB HDB.

Pelancaran BTO seterusnya adalah pada Mei di mana HDB akan menawarkan sekitar 5,400 flat baru di estet-estet seperti Tengah, Bedok, Kallang Whampoa dan Serangoon.

Pada Ogos pula, sebanyak 5,200 hingga 6,200 flat ditawarkan di kawasan seperti Choa Chu Kang, Tengah, Bukit Merah, Kallang Whampoa dan Queenstown.

"Jumlahnya mungkin disemak semula apabila lebih banyak butiran mengenai projek itu diperhalusi dekat dengan tarikh pelancaran," kata agensi itu.

"HDB akan terus memantau permintaan perumahan dengan teliti dan bersedia untuk melancarkan sehingga 100,000 unit flat dari 2021 hingga 2025."

Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong dalam kenyataan Belanjawan 2023 berkata butiran lanjut akan diumumkan oleh Kementerian Pembangunan Negara (MND).
 

Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita