440,000 rakyat S'pura layak raih manfaat Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan
Seramai 440,000 rakyat Singapura yang berusia antara 55 hingga 70 tahun layak untuk skim simpanan baru tahun ini di mana Pemerintah akan memadankan tokokan wang tunai yang dibuat pada Akaun Persaraan (RA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
SINGAPURA: Seramai 440,000 rakyat Singapura yang berusia antara 55 hingga 70 tahun layak untuk skim simpanan baru tahun ini di mana Pemerintah akan memadankan tokokan wang tunai yang dibuat pada Akaun Persaraan (RA) Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka.
Untuk memenuhi syarat bagi Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan, para pencarum CPF mesti mempunyai simpanan yang kurang dari Jumlah Persaraan Asas dalam akaun mereka, menurut Lembaga CPF dalam kenyataan medianya pada Rabu (6 Jan).
Jumlah Persaraan Asas tahun ini adalah S$93,000.
Kriteria kelayakan lain adalah: Pendapatan bulanan purata tidak lebih daripada S$4,000, nilai kediaman tahunan sehingga S$13,000 - yang merangkumi semua flat HDB - dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.
Sekitar 53 peratus pencarum CPF yang berusia antara 55 hingga 70 tahun layak menerima geran tersebut, menurut Lembaga CPF.
Di bawah skim itu, yang diumumkan semasa Kenyataan Belanjawan dibentangkan tahun lalu, tokokan wang tunai yang dilakukan bagi pencarum CPF yang layak akan dipadankan oleh Pemerintah bagi tempoh lima tahun akan datang, dengan hadnya ditetapkan S$600 setiap tahun.
Tokokan itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk anggota keluarga atau majikan. Tokokan itu juga boleh dilakukan secara elektronik melalui laman web CPF atau menerusi aplikasi myCPF.
Tokokan tidak perlu dilakukan secara sekaligus. "Tokokan dengan jumlah yang kecil dan dilakukan dengan kerap (misalnya S$50 setiap bulan) sepanjang tahun menggunakan GIRO juga layak menerima sehingga S$600 geran tersebut," jelas Lembaga CPF.
Mereka yang layak menerima geran berkenaan akan dimaklumkan pada Januari. Para pencarum juga boleh memeriksa kelayakan mereka melalui laman CPF.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga CPF Augustin Lee berkata hampir separuh daripada pencarum CPF yang akan mencecah usia 55 tahun tidak mempunyai Jumlah Persaraan Asas.
"Geran yang dipadankan Pemerintah ini akan mendorong mereka untuk menabung lebih banyak dengan CPF. Tiada kadar faedah simpanan yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan oleh CPF sekarang," kata Encik Lee.
"Kami berharap orang tersayang dan masyarakat lebih luas akan turut serta," tambahnya. "Malah jumlah kecil yang disimpan secara konsisten dapat membantu menyokong keperluan persaraan para pencarum CPF."
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.