Skip to main content

Singapura

4.4 juta kenderaan SG masuk Johor, kutipan caj jalan RM87.9 juta setakat Sep 2024

Anggaran Waktu Membaca:
4.4 juta kenderaan SG masuk Johor, kutipan caj jalan RM87.9 juta setakat Sep 2024

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Oct 2024 05:29PM Dikemas Kini : 22 Oct 2024 08:30PM
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4.4 juta kenderaan dari Singapura memasuki kedua-dua pintu masuk Johor dan Singapura dengan kutipan caj jalan (RC) mencecah RM87.94 juta (S$26.7 juta) setakat September lalu, menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata secara purata 16,107 kenderaan memasuki Malaysia dari Singapura setiap hari.

“Hingga September 2024, setiap hari dianggarkan sebanyak 89,818 perjalanan dilakukan oleh pelbagai kenderaan yang merentasi sempadan Johor-Singapura melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQ) Bangunan Sultan Ismail (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini (22 Okt).

Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang meminta purata jumlah kenderaan merentas sempadan Johor-Singapura setiap hari mengikut pecahan jenis kenderaan dan jumlah kenderaan Singapura serta hasil kutipan RC.

Beliau berkata jumlah keseluruhan kenderaan yang didaftarkan di Malaysia dan di Singapura itu merangkumi 31,194 kereta, motosikal (53,000), bas (3,531) dan lori ( 2,093).

Menjawab soalan tambahan Encik Tan yang ingin tahu adakah hasil kutipan RC dapat dimanfaatkan untuk tujuan pengangkutan awam di Johor dan diletakkan di bawah satu tabung amanah, Encik Loke berkata pihaknya akan berunding dengan pihak Kementerian Kewangan supaya kutipan itu disalurkan semula bagi tujuan pengangkutan awam.

“Kutipan RC ini sekarang seperti kita tahu bahawa keseluruhan hasil kerajaan dimasukkan dalam akaun hasil, namun daripada jumlah ini setiap RM20 (S$6.10) yang dikutip sebanyak RM5 (S$1.50) dikembalikan kepada kerajaan Johor.

“Memang betul apabila Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru–Singapura siap kelak, kita memerlukan lebih banyak rangkaian bas di kawasan Johor Bahru dan sudah tentu memerlukan peruntukan tambahan, mungkin satu daripada caranya kita berunding dengan Kementerian Kewangan supaya apa yang dikutip melalui RC disalurkan kembali kepada pengangkutan awam di Johor Bahru khususnya,” katanya.

Beliau berkata sejumlah RM91.37 juta (S$27.8 juta) kutipan RC direkodkan pada tahun lepas dan ia dijangka meningkat melebihi RM100 juta (S$30.41 juta) pada tahun ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan yang memasuki Johor dari Singapura.

Ketika menjawab soalan tambahan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin tahu bagaimana kerajaan menggunakan keuntungan daripada kutipan RC untuk menguruskan kesesakan khususnya pada waktu sibuk, Encik Loke berkata pihaknya membantu dengan menambah lebih banyak bas pengangkutan terutamanya bas henti-henti di Johor Bahru.

“Perkara ini memang dalam perhatian dan kita sedang berunding dengan kerajaan negeri Johor dan Kementerian Kewangan supaya boleh menggunakan sebahagian hasil RC untuk tambah kekerapan bas henti-henti bagi menggalakkan lebih ramai menggunakan bas antara Johor Bahru ke Singapura,” katanya.

Mengenai Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) ke atas kenderaan asing yang memasuki negara ini, Encik Loke menjelaskan daripada 10,094 kenderaan yang diperiksa sejak 1 hingga 20 Oktober, hanya 599 atau kira-kira enam peratus sahaja yang belum memohon VEP daripada pihak berkuasa.

“Ini menunjukkan pematuhan yang agak tinggi dan bagi saya ini menunjukkan apa kita laksanakan mencapai objektifnya iaitu untuk mewajibkan kenderaan Singapura daftar VEP.

“Berkenaan RC, ini adalah timbal balik kalau kita caj RM20, pihak Singapura caj S$6.50,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menggunakan pendekatan penguatkuasaan dengan notis amaran kepada mana-mana kenderaan Singapura yang masih belum memohon VEP bagi fasa pertama bermula 1 Oktober lalu.
Sumber : Bernama/IM/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita