44 ditangkap miliki vape dicampur etomidate sejak undang-undang lebih tegas berkuat kuasa
Dari 1 Sep hingga 21 Sep, 656 individu sudah ditangkap atas kesalahan berkaitan vape, termasuk 44 kes disahkan memiliki vape berisi etomidate. (Gambar fail: iStock)
Dalam tempoh tiga minggu ini, 65 suspek yang menyalahgunakan etomidate diberkas, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dan Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kenyataan media pada Sabtu (27 Sep).
Ujian makmal mengesahkan 44 daripadanya memiliki vape yang mengandungi etomidate, manakala 12 daripada alat itu tidak mengandungi dadah. Hasil ujian bagi baki sembilan individu masih belum selesai.
Daripada kes yang disahkan, tiga sudah memulakan pemulihan dengan Institut Kesihatan Mental (IMH) atau Agensi Perkhidmatan Sosial (SSA) di bawah program Skim Pengawasan Dipertingkat Belia Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Lagi 36 individu dijangka memulakan pemulihan minggu ini, manakala lima lagi masih menunggu hasil siasatan.
Denda lebih berat bagi kesalahan vape berkuat kuasa pada 1 September.
"Mereka yang menyalahgunakan vape berisi etomidate dikehendaki menjalani pemulihan sebagai ganti pendakwaan.
"Sebagai sebahagian daripada prosesnya, keterangan mereka akan diambil dan mereka akan diberi notis untuk menjalani pemulihan sehingga enam bulan, untuk membantu mereka berhenti," menurut MOH dan HSA.
"Mereka yang menyalahgunakan vape dan gagal melaporkan diri untuk soal siasat dan pemulihan akan didakwa."
Program pemulihan itu memberi tumpuan kepada pendidikan, kaunseling dan sokongan untuk membantu individu mengatasi ketagihan mereka.
MOH dan HSA menyatakan selain sesi individu, program itu juga akan merangkumi sesi berkumpulan dan keluarga untuk individu berkongsi pengalaman mereka dan mempelajari teknik untuk mengatasi dengan lebih baik semasa pemulihan.
HOTLINE DAN ADUAN ONLINE
Sebanyak 1,050 kes bagi kegiatan berkaitan vape dilaporkan melalui borang online dan talian hotline HSA.
Antaranya, 34 adalah berkaitan penggunaan vape yang disyaki berisi etomidate.
"HSA dapat menjalankan tindakan penguatkuasaan bersasar berdasarkan laporan awam ini, dengan enam orang didapati memiliki vape yang disyaki mengandungi etomidate," menurut kenyataan itu.
Laporan awam juga merangkumi iklan online, catatan media sosial serta platform kiriman teks dengan iklan dan catatan haram.
Sepanjang tiga minggu lalu, HSA memadam lebih 170 senarai berkaitan vape online.
Sepanjang tiga minggu itu, terdapat satu kes yang disyaki mengedar vape dicampur etomidate dan 27 kes penyeludupan vape biasa.
Dua puluh tujuh kes penyeludupan itu dikesan di lapangan terbang, pusat pemeriksaan atau pusat pelayaran. Secara keseluruhan, lebih 25,000 vape dan komponen berkaitan dirampas.
SOKONGAN UNTUK BERHENTI
MOH dan HSA menyatakan pemerintah terus memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan bantuan untuk berhenti.
Sepanjang tiga minggu lalu, 19 individu mendaftar untuk pemulihan sukarela melalui IMH dan empat SSA yang mengambil bahagian untuk berhenti menggunakan vape yang mengandungi etomidate melalui program QuitVape.
Selain itu, 89 individu mendaftar untuk program HPB I Quit.
Mereka yang mahu berhenti boleh menggunakan program QuitVape (gov.sg/quitvape) atau menghubungi QuitLine Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di 1800 438 2000.
"Mereka yang secara sukarela mendapatkan bantuan tidak akan berdepan sebarang denda dan tidak mempunyai rekod kesalahan kerana tampil ke hadapan," menurut MOH dan HSA.
"Bagaimanapun, jika individu itu ditangkap secara berasingan melakukan vape, denda di bawah pelbagai undang-undang akan dikenakan dan akan ada rekod kesalahan."
Sokongan di bawah program QuitVape adalah percuma untuk rakyat Singapura dan Penduduk Tetap.
Orang ramai juga boleh secara sukarela membuang vape dengan selamat di tong vape yang disediakan yang diletakkan di lokasi terpilih, termasuk pusat pemeriksaan sempadan dan lokasi program dan pemulihan QuitVape yang disediakan.
HUKUMAN LEBIH BERAT
Di bawah rangka kerja baharu untuk menangani kesalahan vape, individu yang ditangkap memiliki, menggunakan atau membeli alat itu berdepan hukuman yang lebih berat, manakala pengguna yang degil mesti menjalani pemulihan.
Mereka yang gagal menyelesaikan program pemulihan mereka akan didakwa. Selain itu, pesalah yang ditangkap menggunakan vape daripada kali ketiga dan seterusnya akan didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga S$2,000 (AS$1,550).
Pesalah dengan vape yang mengandungi etomidate juga berdepan hukuman yang lebih berat dan dikehendaki menghadiri pemulihan sehingga enam bulan.
Pesalah kali kedua yang ditangkap akan dikenakan siasatan dan ujian air kencing. Mereka juga akan diletakkan di bawah pengawasan wajib selama enam bulan, termasuk ujian dadah dan pemulihan.
Pesalah kali ketiga yang berumur 16 tahun ke atas mesti menjalani program selama 12 bulan termasuk penahanan di Pusat Pemulihan Dadah, bersama dengan pengawasan dan ujian dadah.
Pengimport vape berisi etomidate akan berdepan penjara tiga hingga 20 tahun dan menerima lima hingga 15 sebatan. Penjual dan pengedar akan berdepan hukuman penjara dua hingga 10 tahun dan menerima dua hingga lima sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.