Skip to main content

Singapura

44,000 pencari kerja digajikan menerusi khidmat pemadanan kerjaya SGUnited

Hampir 44,000 pencari kerja, termasuk mereka yang memerlukan bantuan khusus, sudah mendapat pekerjaan.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Oct 2021 04:10PM Dikemas Kini : 05 Oct 2021 10:21PM

SINGAPURA: Hampir 44,000 pencari kerja, termasuk mereka yang memerlukan bantuan khusus, sudah mendapat pekerjaan menerusi khidmat-khidmat pemadanan kerjaya di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited setakat hujung bulan Julai.

Demikian menurut Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng hari ini (5 Okt).

Menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang sokongan pengambilan pekerja dan usaha pemadanan kerja daripada Anggota Parlimen (AP) Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang), Encik Yip Hon Weng (PAP-Yio Chu Kang) dan Encik Edward Chia (PAP-Holland-Bukit Timah), Dr Tan berkata pekerja tersebut termasuk pekerja dewasa yang berusia 40 tahun dan ke atas, orang kurang upaya serta mereka yang sudah menganggur sekurang-kurangnya enam bulan.

Pada Mac, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) melantik agensi pekerjaan Adecco Personnel sebagai rakan penempatan bagi membantu pemohon kerja tempatan mendapatkan peluang-peluang pekerjaan bernilai S$2.2 bilion di bawah Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited.

Adecco menawarkan saluran bagi pencari kerja tempatan yang memerlukan bantuan lebih khusus untuk mendapatkan khidmat-khidmat profesional pemadanan kerjaya serta merebut peluang kerja.

Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) juga sudah melanjutkan pusat-pusat khidmatnya, dengan 24 Pusat Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited baru ditubuhkan di merata Singapura, di setiap bandar HDB.

Sejak Pakej Pekerjaan dan Kemahiran SGUnited dilancarkan pada April tahun lalu, Dr Tan berkata ia membantu untuk mengurangkan kesan COVID-19 dengan sekitar 128,000 pemohon kerja tempatan diberikan peluang-peluamg pekerjaan dan kemahiran setakat hujung bulan Julai lalu.

PENGAMBILAN PEKERJA LANJUT USIA

Sementara itu, kadar pengambilan pekerja yang berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 28.5 peratus tahun lalu, naik daripada 27.6 peratus pada 2019.

Dr Tan menambah meskipun di tengah-tengah pandemik COVID-19, kadar pengambilan pekerja yang berusia antara 55 dengan 64 tahun kekal stabil, iaitu lebih 67 peratus.

"Ini setanding dengan purata bagi tiga negara utama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD)," kata beliau semasa menjawab pertanyaan daripada AP Jessica Tan (PAP-East Coast) dan Yeo Wan Ling (PAP-Pasir Ris-Punggol) tentang pengambilan pekerja dan sokongan bagi pengambilan semula pekerja lanjut usia.

Pemerintah sudah memperuntukkan S$1.5 bilion dalam tempoh tiga tahun untuk membantu menyokong pekerja lanjut usia menerusi Pakej Bantuan Pekerja Lanjut Usia, Geran Pengamal Awal bagi Pengambilan Pekerja Lanjut Usia dan Geran Pengambilan Bekerja Semula secara Sambilan.

Tahun lalu, Pemerintah memperkenalkan Pakej Bantuan Pertengahan Kerjaya SkillsFuture untuk membantu pekerja dewasa dan lanjut usia untuk terus boleh diambil bekerja dan mendapatkan pekerjaan-pekerjaan baru atau memainkan peranan baru di tempat kerja.

Dengan majikan terus memperbaharui kemahiran pekerja lanjut usia dan berusaha untuk mengekalkan serta terus menggajikan mereka, dengan masyarakat menyokong pilihan mereka untuk terus aktif bekerja, warga tua kita dapat terus aktif dalam setiap aspek kehidupan," kata beliau.

ISI KERJA KOSONG

Beberapa AP, termasuk Encik Yip dan Cik Hany Soh (PAP-Marsiling-Yew Tee), juga bertanya bagaimana pencari kerja dipadankan dengan kerja-kerja kosong.

Bulan lalu, MOM mengeluarkan Laporan Pasaran Buruh dengan data yang menunjukkan bilangan kerja kosong meningkat ke paras "rekod tertinggi" pada Jun di tengah-tengah sekatan sempadan dan kekurangan tenaga kerja.

Dr Tan berkata jika kerja-kerja kosong bertambah dan tidak diisi, ia menunjukkan bahawa pasaran buruh sedang berdepan kesukaran mendapatkan bakat-bakat yang tepat bagi tempat-tempat kosong tersebut.

Dengan industri begitu pesat mendakap pendigitalan dan sangat memburu pekerja yang cekap digital, Dr Tan berkata sebahagian pekerjaan terus tidak diisi disebabkan kekurangan kemahiran dalam tenaga kerja dan dalam kalangan pemohon kerja.

Sebahagian kerja kosong mungkin mengambil masa lebih lama sebelum mendapat pekerja disebabkan gaji atau keadaan kerja yang tidak cukup menarik memandangkan terdapat pilihan-pilihan lain untuk pencari kerja, tambah beliau.

"Jika pekerjaan-pekerjaan itu terus menerus tidak diisi, perniagaan tersebut mungkin perlu mereka semula peranan kerja atau menyemak semula strategi mereka," kata beliau, sambil menambah sokongan mereka semula kerja dan geran sudah disediakan bagi syarikat-syarikat sedemikian.

Sekalipun demikian, sebuah pasukan bertindak pekerjaan, yang baru ditubuhkan pada bulan lalu, akan bekerjasama dengan rakan-rakan perikatan tiga pihak dan majikan untuk menjadikan fungsi pasaran buruh "lebih baik", kata beliau.

Dr Tan menambah, pasukan bertindak itu akan menyelaras usaha agensi-agensi pemerintah untuk mengupaya lebih ramai penduduk tempatan supaya merebut pekerjaan yang hangat di pasaran dengan gaji dan prospek yang baik dalam sektor-sektor seperti khidmat kewangan dan infokom dan teknologi.

Selepas perbahasan selama 10 jam tentang tenaga buruh asing, usul mengenai usaha melindungi pekerjaan rakyat Singapura diluluskan di Parlimen. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita