Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

43 kes tingkap jatuh tahun ini; pemilik rumah digesa kerap periksa tingkap

Terdapat 43 kes tingkap jatuh sepanjang 11 bulan pertama tahun ini, dengan kebanyakannya melibatkan tingkap berbingkai, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (11 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
43 kes tingkap jatuh tahun ini; pemilik rumah digesa kerap periksa tingkap

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 11 Dec 2021 08:55PM Dikemas Kini : 11 Dec 2021 08:58PM

SINGAPURA: Terdapat 43 kes tingkap jatuh sepanjang 11 bulan pertama tahun ini, dengan kebanyakannya melibatkan tingkap berbingkai, menurut Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (11 Dis).

Menurut kenyataan yang dikeluarkan secara bersama itu, 22 kes melibatkan tingkap berbingkai, 16 adalah tingkap gelongsor sementara baki lima kes melibatkan jenis tingkap lain seperti anak tingkap.

Tiada kecederaan dilaporkan daripada kes-kes itu, tambah BCA dan HDB.

Pasak logam yang karat didapati punca utama tingkap-tingkap berbingkai jatuh.

Sejak 2004, para pemilik rumah perlu menggantikan semua pasak logam tingkap dengan jenis keluli tahan karat.

BCA dan HDB turut menasihatkan para pemilik rumah supaya memeriksa kancing tingkap setiap enam bulan agar tidak karat atau longgar. Bahagian-bahagian tertentu juga perlu dibubuh minyak.

Tingkap gelongsor biasanya jatuh disebabkan kurang penggunaan penahan dan juga jalur sudut tingkap yang sesuai.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa panel-panel tingkap lazimnya tercabut lalu terjatuh apabila ditolak dengan kuat.

Para pemilik rumah dinasihatkan supaya memastikan penahan dan jalur sudut tingkap berfungsi dengan baik dan segera digantikan jika sudah haus.

Semasa tempoh sama tahun ini, BCA menyatakan pihaknya dimaklumkan tentang 12 kes tingkap yang tidak diperbaiki dan hampir-hampir tercabut.

"Demi keselamatan awam, BCA bekerjasama dengan HDB untuk mendekati para pemilik rumah dalam kes-kes ini lalu mendapatkan khidmat kontraktor tingkap yang bertauliah untuk memeriksa dan memperbaiki tingkap mereka," menurut pihak berkuasa.

Pengarah kumpulan bagi keutuhan bangunan BCA, Thanabal Kaliannan berkata: "Memandangkan Singapura mempunyai banyak bangunan tinggi, setiap tingkap yang jatuh adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kematian atau kecederaan yang serius.

"Semua pemilik dan penduduk rumah boleh memainkan peranan untuk mengurangkan risiko ini dengan kerap memeriksa tingkap masing-masing."

Pemilik rumah yang tidak menggantikan semua pasak logam pada tingkap berbingkai dengan jenis yang tahan karat boleh didenda sehingga S$5,000 dan/atau dipenjara sehingga enam bulan.

Sekiranya tingkap jatuh kerana tidak dijaga dengan baik, pemilik rumah boleh didenda sehingga S$10,000 dan/atau dipenjara sehingga setahun.

Sejak 2006, 388 orang didenda dan 92 didakwa kerana tingkap jatuh.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan