Skip to main content

Singapura

43 kematian di tempat kerja di SG pada 2024, naik 19% berbanding 2023

Jumlah kematian di tempat kerja di Singapura meningkat dari 36 pada 2023 kepada 43 pada 2024, menurut laporan tahunan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (26 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 26 Mar 2025 07:10PM Dikemas Kini : 26 Mar 2025 11:11PM
SINGAPURA: Jumlah kematian di tempat kerja di Singapura meningkat dari 36 pada 2023 kepada 43 pada 2024, menurut laporan tahunan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja yang diterbitkan oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (26 Mac).

Ia adalah kenaikan sebanyak 19 peratus, di mana hampir separuh kematian pada 2024 berlaku dalam sektor binaan.

Kadar kematian di tempat kerja pada tahun lalu adalah 1.2 kematian bagi setiap 100,000 pekerja, naik daripada 0.99 pada 2023.

Sementara itu, keseluruhan jumlah kecederaan di tempat kerja merosot sebanyak 2.8 peratus, iaitu turun daripada 22,787 pada 2023 kepada 22,157 pada 2024, menurut data.

KEMATIAN DI TEMPAT KERJA DALAM SEKTOR BINAAN

Sektor binaan menyumbang 20 kematian di tempat kerja tahun lalu - iaitu jumlah paling banyak bagi mana-mana industri.

Jumlah kematian di tempat kerja yang dikaitkan dengan sektor itu juga telah meningkat secara berterusan sejak 2020, di mana terdapat sembilan kematian pada ketika itu.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan menyaksikan jumlah kematian kedua tertinggi, di mana sembilan kematian dilaporkan. Ini diikuti dengan industri marin yang mempunyai lima kematian.

Sektor pengurusan bekalan air, kumbahan dan sisa mempunyai tiga kematian dan sektor pengeluaran pula mempunyai dua kematian.

Menurut MOM, tiga punca utama berlaku kematian di tempat kerja pada 2024 adalah disebabkan oleh kemalangan kenderaan, kelemasan dan keruntuhan/kegagalan struktur dan peralatan.

"Secara keseluruhan ini menyumbang kepada 56 peratus (24 kecederaan maut) daripada keseluruhan jumlah kecederaan maut yang berlaku di tempat kerja pada 2024," tambah MOM.

Pada tahun lalu, kadar kematian di tempat kerja dalam sektor binaan adalah 3.7 bagi setiap 100,000 pekerja, naik daripada 3.4 pada tahun sebelumnya.

Pada 13 Disember 2024, MOM menyatakan terdapat 15 kematian di tempat kerja dalam sektor binaan pada separuh kedua tahun itu, sambil menambah prestasi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi industri itu adalah "membimbangkan".

Pada November tahun lalu, tempoh berhenti kerja dilaksanakan bagi syarikat-syarikat binaan untuk mengukuhkan prosedur keselamatan dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan dalam kalangan pekerja. Ini selepas sektor itu menyaksikan 10 kematian antara Julai dengan Oktober tahun lalu.

Industri marin yang tidak mempunyai sebarang kematian berlaku pada 2023, menyaksikan kadar kematian di tempat kerja melonjak kepada 8.1 bagi setiap 100,000 pekerja pada 2024.

"Empat daripada lima kematian itu melibatkan kerja-kerja atas kapal di tempat pelabuhan dan dua daripada lima kematian melibatkan operasi menyelam di mana terdapat kelemahan keselamatan sistematik," menurut MOM dalam satu kenyataan media pada Rabu.

"MOM dan Penguasa Maritim dan Pelabuhan Singapura telah mempertingkatkan usaha penguatkuasaan dalam industri dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat dan individu yang melanggar peraturan."

KECEDERAAN SERIUS

Singapura menyaksikan kadar terendah berlaku kecederaan serius di tempat kerja pada 2024, di mana 15.9 kecederaan serius dicatatkan bagi setiap 100,000 pekerja, iaitu menyusut dari 16.1 pada 2023, menurut data.

Terdapat 587 kecederaan serius berlaku di tempat kerja pada 2024, merosot daripada 590 pada 2023.

Dengan sebanyak 146 kes, sektor binaan mencatat jumlah kecederaan serius paling banyak, disusuli dengan industri pengeluaran yang mempunyai 123 kes.

Kedua-dua sektor itu merangkumi 46 peratus daripada kecederaan serius di tempat kerja pada 2024, menurut MOM.

Sektor penginapan dan perkhidmatan makanan mempunyai 50 kecederaan serius, manakala sektor perdagangan borong dan runcit mempunyai 50 kes.

Sektor pentadbiran dan khidmat sokongan mempunyai 43 kes kecederaan serius iaitu kelima tertinggi.

Tiga punca utama berlaku kecederaan serius adalah kerana tergelincir, tersandung dan terjatuh, insiden melibatkan peralatan dan terjatuh daripada ketinggian.

"Ini secara keseluruhan membentuk 61 peratus (357 kecederaan) daripada keseluruhan jumlah kecederaan serius di tempat kerja pada 2024," menurut laporan itu.

Kadar kecederaan serius di tempat kerja bagi sektor binaan, yang menyaksikan jumlah itu merosot sejak 2022, adalah 27.3 bagi setiap 100,000 pekerja.

Ini berbanding 28.5 pada 2023.

Kadar itu juga merosot bagi sektor pengeluaran, di mana ia turun daripada 35.1 pada 2023 kepada 28.9 pada 2024.

TINDAKAN OLEH MOM

Pada 2024, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menjalankan lebih 17,000 pemeriksaan, dengan tumpuan kepada industri lebih berisiko tinggi seperti binaan, pengeluaran dan marin.

"Selain daripada keselamatan di tempat kerja, terdapat juga pemeriksaan bersasar pada bahagian yang diberi keutamaan - tergelincir, tersandung dan terjatuh, keselamatan peralatan, keselamatan kenderaan dan jatuh daripada ketinggian," ia menambah.

Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap lebih 16,000 pelanggaran peraturan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja.

"Prestasi keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di Singapura (WSH) tetap berada di ranking terbaik di seluruh dunia, dengan purata kadar kematian di tempat kerja untuk tempoh lima tahun adalah 1.1 bagi setiap 100,000 pekerja," menurut MOM.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita