Skip to main content

Singapura

43 jemaah haji Halijah Travels Ptd Ltd terkandas setelah Scoot batalkan penerbangan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seramai 43 jemaah haji Halijah Travels Ptd Ltd terkandas di Arab Saudi setelah penerbangan mereka dibatalkan.

Mereka sepatutnya dijadualkan berlepas ke Singapura menaiki pesawat Scoot pada sekitar pukul 10.00 malam hari ni (23 Jun) tetapi penerbangan itu dibatalkan.


Apabila dihubungi BERITA Mediacorp, Pengurus Besar Halijah Travel, Haffidz Abdul Hamid mengesahkan insiden tersebut namun enggan mengulas lanjut.

Syarikat itu kemudian memaklumkan BERITA Mediacorp bahawa para jemaah sebaliknya akan berangkat menaiki pesawat Malaysia Airlines esok dan dijangka tiba di Singapura pada Rabu (25 Jun).

Buat masa ini, para jemaah akan terus menginap di hotel Oberoi Madinah sebelum ke Jeddah esok.

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (23 Jun), MUIS menyatakan bahawa ia maklum tentang para jemaah haji Singapura yang terjejas.

"Pejabat Ehwal Jemaah Singapura (SPAO) dan Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) sedang memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan pihak berkuasa relevan untuk menangani isu tersebut.

"Kesejahteraan dan keselamatan para jemaah haji kekal sebagai keutamaan kami dan kami sedang melakukan yang terbaik untuk memastikan mereka dijaga semasa waktu ini. Kemas kini lanjut akan dikongsi apabila terdapat maklumat lanjut," menurut kenyataan MUIS.

Sejak Amerika Syarikat melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran pada Ahad (22 Jun), penerbangan awam juga terjejas dan banyak yang dibatalkan di tengah-tengah ketegangan yang memuncak.

Singapore Airlines juga membatalkan semua penerbangan antara Singapura dengan Dubai sehingga Rabu (25 Jun).


71 JEMAAH HAJI SHAHIDAH TRAVEL & TOURS SELAMAT TIBA DI SG

Sementara itu, lagi satu kumpulan jemaah haji Singapura selamat tiba di Singapura hari ini (23 Jun).

Seramai 71 jemaah haji Shahidah Travel & Tours selamat tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi sekitar jam 3.15 petang tadi dengan menaiki penerbangan Saudia.

Mereka merupakan kumpulan terakhir jemaah haji daripada Shahidah Travel & Tours.

Antara jemaah haji yang selamat pulang termasuk Encik Muhd Aidil Ishak.

"Lancar dan semuanya diuruskan dengan baik oleh pihak SPAO dan agensi-agensi haji. Keselamatan dan kemaslahatan kami semua dijaga dengan baik," kata Encik Aidil.

"Sepanjang perjalanan kami, pihak Shahidah memastikan kami dapat bantuan setiap masa. Alhamdulillah kami sangat bersyukur kerana pihak Shahidah memastikan kami selamat dan tenang," ujar seorang lagi jemaah haji, Suriana Mohamed Bakri, .

Kumpulan terakhir jemaah haji Singapura seramai lebih 170 orang dijangka pulang pada Rabu (25 Jun).

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita