Skip to main content

Singapura

42 vape diserahkan dalam tempoh 2 minggu kempen antivape disasarkan terhadap golongan belia

Anggaran Waktu Membaca:
42 vape diserahkan dalam tempoh 2 minggu kempen antivape disasarkan terhadap golongan belia

(Gambar: Facebook/MacPherson Youth Network)

Diterbitkan : 02 Dec 2023 10:25AM Dikemas Kini : 02 Dec 2023 11:31AM
SINGAPURA: Dalam tempoh kurang daripada dua minggu sejak kempen antivape dilancarkan pada 18 Nov, Rangkaian Belia MacPherson mengumpulkan 42 pengewap elektronik atau vape daripada individu yang telah menyerahkan vape mereka, dedah kumpulan tersebut pada Jumaat (1 Dis).

Jumlah itu adalah lebih 80 peratus daripada sasarannya bagi 50 vape yang diharap akan dapat dikumpulkan sepanjang tempoh kempen tersebut, yang akan dijalankan sehingga 2 Jan tahun depan.

Sebahagian besar daripada 42 vape itu diperolehi daripada mereka yang berumur sekitar 18 tahun, dan dua diserahkan oleh orang dewasa yang lebih tua yang bukan merupakan sasaran kempen, termasuk seorang yang berusia 65 tahun.

Program perintis antivape — diberi nama Drop It, Stop It — dianjurkan bersama oleh Rangkaian Belia MacPherson dan Bilby Community Development.

Encik Ng Shi Xuan, naib pengerusi Rangkaian Belia MacPherson, berkata melalui kempen itu, pasukan tersebut berharap dapat menarik minat golongan muda dan mengajak mereka "membuang tabiat vape di peringkat awal".

Mereka yang menyerahkan alat vape akan menerima hadiah dalam bentuk baucar bernilai S$30.

Rangkaian Belia MacPherson menyifatkan kumpulan itu sebagai "pasukan sukarelawan yang berkhidmat untuk masyarakat MacPherson dengan tumpuan kepada belia", manakala Bilby Community Development adalah sebuah badan amal berorientasikan belia yang diasaskan pada akhir 2019 oleh sekumpulan kecil pekerja belia, kaunselor dan karyawan perkhidmatan sosial.

Menggunakan vape adalah satu kesalahan di Singapura dan pesalah boleh didenda sehingga S$2,000. Ia juga menyalahi undang-undang untuk mengimport, mengedar atau menjual produk tersebut.

Meskipun begitu, menghisap vape menarik perhatian ramai pengguna di negara ini, terutama sekali dalam kalangan golongan muda.

Tahun lalu, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyaman 4,916 orang kerana menghisap vape, peningkatan hampir empat kali ganda berbanding 1,266 pada 2020. Pada Mac, lebih 85,000 alat vape dan komponennya telah dirampas oleh pihak berkuasa.

Cik Tin Pei Ling, Anggota Parlimen (MP) kawasan MacPherson, berkata mereka yang menyerahkan alat vape melalui kempen itu diberi jaminan tidak akan disaman pihak berkuasa.

“Kami amat berterima kasih kerana mendapat sokongan daripada agensi-agensi, seperti HSA dan HPB (Lembaga Penggalakan Kesihatan), bahawa hukuman tidak akan dikenakan jika belia secara sukarela menyerahkan peranti vape mereka melalui program ini.”

Encik Ng, yang juga anggota Gerakan Belia Persatuan Rakyat (PA), berkata bahawa pasukan kempen tersebut akan melakukan "tindakan susulan yang menyeluruh" dengan golongan muda yang telah menyerahkan peranti mereka.

Walaupun program tersebut menyasarkan golongan berumur 15 hingga 35 tahun pada mulanya, pasukan itu telah mengembangkan kumpulan usia itu untuk meliputi mereka yang berumur antara 12 dengan 35 tahun, berdasarkan "maklum balas bahawa terdapat pelajar yang sangat, sangat muda menghisap(vape)", tambah beliau.

Beliau turut memberitahu Mediacorp bahawa terdapat "sebilangan kecil" remaja berumur 12 hingga 13 tahun yang telah menyerahkan alat vape mereka sepanjang tempoh tersebut.

Semua peserta kempen akan menerima "nasihat bersama" apabila mereka mendapat baucar hadiah mereka, yang mungkin mengambil masa dua hingga empat minggu untuk diproses.

Encik Ng menambah bahawa baucar pusingan pertama baru sahaja dikeluarkan pada Jumaat.

Nasihat itu adalah dalam bentuk risalah kertas daripada HSA, HPB dan Kementerian Kesihatan (MOH), yang memperincikan undang-undang sedia ada mengenai pemilikan alat vape di Singapura.

Ia juga termasuk maklumat mengenai talian untuk dihubungi apabila bantuan diperlukan untuk berhenti menghisap vape.

Pasukan tersebut akan mengeluarkan senarai soalan-soalan yang sering ditanya mengenai kempen yang dijalankan di beberapa saluran media sosial tidak lama lagi.

Ia dapat membantu menjawab soalan yang ditanya golongan muda mengenai program itu, seperti merahsiakan identiti mereka dan tempoh pemprosesan baucar.
Sumber : Today/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita