Skip to main content

Singapura

42 pelajar terima anugerah biasiswa SPF dan MHA tahun ini; tertinggi dalam sedekad

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Home Team memerlukan para pemimpin yang berpendirian teguh dan berani yang mampu membuat keputusan-keputusan sukar demi kebaikan negara.

Hal demikian disebabkan cabaran-cabaran dunia yang ada kini, seperti penyalahgunaan dadah yang semakin meluas, kebebasan bersuara tanpa batas dan bantahan awam yang berpotensi menjejas keselamatan awam.

Demikian yang ditegaskan Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Edwin Tong dalam ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Pasukan Polis Singapura dan Kementerian Dalam Negeri pada Rabu (13 Ogos).

Tahun ini, seramai 42 pelajar yang cemerlang dalam pelajaran dan kegiatan luar darjah mereka menerima biasiswa itu.
Related article image
Para penerima Biasiswa SPF & Home Team
Jumlah itu juga adalah yang tertinggi dalam masa sedekad.

MINAT DALAM TEKNOLOGI PUTIK MINAT SERTAI HTX

Salah seorang daripada tujuh penerima Biasiswa Agensi Teknologi dan Sains Home Team (HTX) ialah El-Khalish Amir.

Khalish, 19 tahun, berkata: “Menerima biasiswa ini, saya bangga, tetapi saya juga rasa dan bertanggungjawab untuk menyumbang kepada masyarakat dan terdorong untuk membuat kerja lebih baik pada masa depan serta memastikan keselamatan Singapura.”

Beliau kini sedang menjalani Perkhidmatan Negara (NS) dan akan mula menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal pada 2027.
Related article image
El-Khalish Amir menerima Biasiswa HTX
"Saya ghairah dalam bidang fizik kuantum. Saya juga ghairah bagaimana komputer kuantum dan AI dapat memperbaiki masalah yang kita hadapi pada masa hadapan," kata Khalish.

Khalish menyifatkan dirinya sendiri sebagai seorang yang mempunyai sifat ingin tahu yang membara.

Malah, dari usia muda lagi, Khalish sudah sibuk menggodeh komputer, malah belajar sendiri cara untuk memperbaikinya menerusi YouTube.

Semakin meningkat dewasa, Khalish mendapati dirinya secara semula jadi tertarik kepada HTX, yang memberinya peluang untuk terlibat dalam pelbagai projek harian.
Related article image
El-Khalish Amir bersama ibunya
"Saya memilih HTX kerana saya percaya HTX satu wadah untuk saya menyumbang kepada masyarakat sambil saya meneruskan dalam bidang kejuruteraan," ujar Khalish.

Menurut bekas pelajar Maktab Rendah Nanyang itu, peluang itu juga selari dengan minatnya dalam bidang teknologi, yang membolehkannya menyumbang penyelesaian bermakna kepada masalah-masalah dunia.

SARA RENUKHA RAHIM INGIN SERTAI CNB, TANGANI MASALAH DADAH DI SG

Sara Renukha Rahim pula antara 15 penerima Biasiswa Berseragam MHA (CNB) tahun ini.

Beliau terdorong untuk menangani isu dadah di Singapura, yang dianggapnya sebagai sentiasa berubah-ubah dan mendatangkan cabaran baharu dan kompleks.
Related article image
Sara Renukha Rahim menerima Biasiswa Berseragam MHA (CNB)
Sara yang kini sedang menuntut di Universiti Kolej London dalam jurusan Hubungan Antarabangsa dan Politik sehingga 2027 merasakan kemahiran yang ditimba di universiti akan dapat membantunya dalam kerjaya sebagai pegawai CNB kelak.

Sara, 20 tahun, berkata: "Isu dadah satu masalah yang memerlukan pemikiran kritis dan kemahiran menghuraikan masalah. Memperkasakan kemahiran-kemahiran itu semasa pengajian saya akan dapat membantu dalam kerjaya saya pada masa depan."
Related article image
Sara Renukha Rahim bersama ayahnya (Gambar: Nurhelmy Hakim)
"Ia memerlukan pendekatan yang berbilang disiplin dan dengan kemahiran yang saya timba seperti menganalisa dasar-dasar luar negara dan melihat bagaimana negara-negara lain mendekati pelbagai jenis cabaran boleh menjejas realiti domestik di Singapura," tambah beliau.

Sebagai pegawai CNB, Sara berpeluang menyumbang kepada keselamatan negara sambil memperkasa diri melalui tugas yang menuntut ketahanan minda dan fizikal.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita