Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

42 murid prasekolah PPIS sertai peraduan Bahasa Melayu dengan kerjasama Bulan Bahasa

Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak hari ini (9 Okt), lebih 40 murid prasekolah dari Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bukan setakat bergembira sahaja. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sempena sambutan Hari Kanak-Kanak hari ini (9 Okt), lebih 40 murid prasekolah dari Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) bukan setakat bergembira sahaja.

Mereka malah menyertai peraduan berpantun dan bercerita dalam bahasa Melayu sebagai sebahagian usaha memupuk rasa cinta terhadap bahasa Melayu dari peringkat awal lagi.

Usia mereka muda, tapi ini langsung tidak menghalang murid K1 dan K2 dari Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PPIS itu daripada 'berkempen' melestarikan bahasa dan budaya Melayu.

42 kanak-kanak prasekolah kesemuanya menyertai peraduan berpantun dan bercerita ini bagi menggalak penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian mereka, baik di sekolah mahupun di rumah.

Ini kali pertama PPIS menganjurkan acara "Sayangi Bahasa Kita" dengan kerjasama Bulan Bahasa dan Majlis Bahasa Melayu Singapura.

Tetamu Terhormat, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Zhulkarnain Abdul Rahim begitu teruja dengan kebolehan murid-murid PPIS itu.

Beliau yang juga seorang Duta Bahasa Melayu berkata ini suatu usaha baik dalam mengasah kefasihan murid terhadap Bahasa Ibunda.

"Dalam sekitaran hari ini, kita sebagai masyarakat Melayu menghadapi cabaran untuk mengekalkan Bahasa serta budaya Melayu memandangkan ramai daripada kita yang lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris. Ini menjejas kefasihan anak-anak dalam Bahasa ibunda. Walaupun demikian, saya yakin keluarga-keluarga di sini tidak akan melupakan warisan mereka.

"Saya yakin dengan pendidikan yang menyeluruh di PPIS, para pelajar kita dapat memperhalusi penguasaan Bahasa Melayu mereka. Di samping mengajar murid-murid bahasa dan tradisi Melayu," kata beliau.

PERMINTAAN YANG SEMAKIN MENINGKAT

PPIS menyatakan kurikulum Bahasa Ibunda sering dikemas kini bagi menarik minat murid peringkat K1 dan dan K2.

Ini lebih-lebih lagi kerana permintaan yang semakin meningkat daripada ibu bapa untuk menerapkan pengajaran Bahasa Melayu di peringkat prasekolah.

"Di PPIS, murid-murid digalakkan bertutur dalam Bahasa Melayu menerusi kegiatan interaktif seperti sesi bercerita. Di sesi sedemikian mereka, berkongsi pendapat masing-masing mengenai cerita-cerita ini dalam Bahasa Melayu. Ini dapat membantu mereka meningkatkan kemahiran lisan dan memupuk kemahiran untuk berfikir secara kritis.

"Kami akan terus mengusahakan program menyeluruh sebegini untuk mendorong penggunaan Bahasa Melayu seharian di kalangan kanak-kanakdi PPIS," tekan Cik Rahayu Mohamad, Presiden PPIS.

PPIS berharap kerjasama dengan Bulan Bahasa ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan