Skip to main content

Singapura

42 kes seludup haiwan dikesan di sempadan SG pada 2024

Anak kucing, anak anjing dan seekor ikan Arowana Asia merupakan antara 42 kes penyeludupan haiwan yang dikesan pada 2024, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Anggaran Waktu Membaca:
42 kes seludup haiwan dikesan di sempadan SG pada 2024

Bahagian dalam beg yang dikesan digunakan untuk menyeludup burung semasa pemeriksaan rutin bagasi pada Ogos 2024 di Lapangan Terbang Changi. (Gambar: NParks)

SINGAPURA: Anak kucing, anak anjing dan seekor ikan Arowana Asia merupakan antara 42 kes penyeludupan haiwan yang dikesan pada 2024, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).

Sebagai perbandingan, sebanyak 35 kes sedemikian dikesan pada 2023, menurut kedua-dua agensi dalam satu kenyataan pada Selasa (27 Mei).

Lapan kes penyeludupan haiwan turut dikesan di sempadan Singapura antara Januari hingga April tahun ini.

KES SELUDUP HAIWAN EKSOTIK SEMAKIN MENINGKAT

Semasa satu pemeriksaan rutin bagasi di Lapangan Terbang Changi pada 27 Ogos lalu, 16 ekor burung ditemui disumbatkan dalam beberapa paip dan disimpan dalam sebuah beg sandang tanpa diberikan makanan dan air.

Tiga daripadanya kemudian mati.
Seekor ikan Arowana Asia yang dirampas pihak berkuasa pada Mei 2024 di Pusat Pemeriksaan Tuas. (Gambar: NParks)
Walaupun kebanyakan kes seludup haiwan melibatkan haiwan peliharaan seperti burung, anak kucing, anak anjing dan ikan, 18 kes melibatkan haiwan liar yang diimport secara haram, di mana jumlahnya meningkat sebanyak 80 peratus daripada 2023, menurut NParks dan ICA.

Lebih 240 haiwan dirampas daripada lebih 30 premis di merata Singapura sepanjang tempoh dua tahun lalu, menurut kedua-dua agensi.

Pengarah perdagangan hidupan liar di NParks, Cik Xie Ren Hui berkata agensi itu telah mengesan lebih banyak kes seludup haiwan eksotik, dengan penggunaan teknologi seperti mesin pengimbasan X-ray mudah alih dan hasil bantuan rakan-rakan kongsi seperti ICA dan Kastam Singapura di pusat pemeriksaan.

"Kami juga mendapati ... sebilangan (haiwan eksotik) ini bukan haiwan peliharaan yang dibenarkan untuk dipelihara di rumah.

"Dan antara sebab mengapa haiwan-haiwan sedemikian dijadikan sebagai haiwan peliharaan mungkin atas faktor keunikan," katanya.

Cik Xie berkata salah satu sebab bagi kenaikan dalam permintaan terhadap haiwan eksotik sebagai haiwan peliharaan mungkin disebabkan oleh faktor keunikan, kerana tidak banyak haiwan peliharaan yang diluluskan untuk peliharaan di rumah.

Beliau menambah pihak berkuasa juga telah menangkap beberapa haiwan atau haiwan eksotik yang melakukan transit di Singapura, termasuk satu kes di mana 58 ekor kura-kura bintang India diancam pupus dirampas di Singapura ketika ia dalam penghantaran dari India ke Indonesia.

TRANSIT HARAM HAIWAN LIAR

Pihak berkuasa telah merampas banyak penghantaran besar haiwan liar secara haram yang membuat persinggahan di Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada April 2019, pihak berkuasa Singapura merampas jumlah sisik tenggiling terbesar pernah dicatatkan, yang dalam penghantaran dari Nigeria ke Vietnam.

Kes itu melibatkan hampir 13 tan sisik yang bernilai lebih S$52 juta.
Seorang pegawai Kementerian Persekitaran menunjukkan sisik tenggiling yang dirampas daripada suspek percubaan seludup haiwan di Medan, Sumatera Utara, Indonesia, pada 26 November 2024. (Gambar: AP/Binsar Bakkara)
Pada Oktober 2022, pihak berkuasa merampas 20 tanduk badak sumbu dalam satu satu rampasan terbesar seumpamanya di Singapura.

Kesemuanya dalam perjalanan dari Afrika Selatan ke Laos, dengan anggaran nilai borong lebih S$1.2 juta.

Usaha bagi membanteras perdagangan hidupan liar terancam secara haram dipertingkatkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Rang Undang-Undang Spesies Terancam (Import dan Eksport) (Pindaan) telah dipinda pada 2022 untuk mengukuhkan tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang memperdagangkan spesis haiwan terancam di bawah Konvensyen Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Flora dan Fauna Liar Terancam (CITES).

CITES adalah perjanjian antarabangsa yang bertujuan memastikan haiwan liar tidak diancam oleh perdagangan hingga menyebabkan kepupusan.

Meskipun dengan undang-undang dan tindakan penguatkuasaan yang lebih ketat, penyeludupan haiwan masih berlaku di seluruh dunia.

MENGAPA PENYELUDUPAN HAIWAN MASIH BERLELUASA?

Timbalan Pengarah di Pusat Huraian Iklim Berasaskan Alam Semula Jadi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Madya Adrian Loo berkata di program Singapore Tonight terbitan Mediacorp bahawa isu penyeludupan haiwan masih berleluasa kerana terdapat permintaan.

Menurutnya, prasarana pengangkutan yang mantap di pelabuhan pemindahan kapal juga memudahkan operasi para penyeludup, dan walaupun pihak berkuasa telah berusaha sedaya upaya bagi mengesan kegiatan sedemikian, masih ada yang terlepas.

Apabila ditanya mengenai rantau-rantau yang paling terjejas oleh isu penyeludupan, Profesor Madya Loo berkata sama seperti adanya penyeludup yang menyelinap masuk ke Singapura dan dalam rantau Asia Tenggara, masih ada ramai lagi yang bergerak ke arah bertentangan.

Beliau menukil contoh burung merbah dari Asia Tenggara yang diseludup ke Eropah.

Menurutnya, media sosial dan ruang pasaran online telah menambah permintaan bagi haiwan-haiwan sedemikian selain menarik minat pemain baharu yang ingin turut serta dalam perdagangan haiwan secara haram.

Beliau turut berkata kemudahan membeli haiwan-haiwan yang diseludup melalui platform media sosial bermakna para pengguna mungkin tidak sedar sama ada haiwan tersebut diluluskan untuk dijaga sebagai haiwan peliharaan.

“Saya rasa ramai yang tidak sedar bahawa apabila mereka membeli haiwan dari habitat asal, mereka sebenarnya mewujudkan permintaan dimana haiwan-haiwan tersebut diburu dari alam liar. Dan akhirnya ia akan pupus.”

DIDIK GOLONGAN BELIA UNTUK TANGANI ISU HAIWAN DISELUDUP

Profesor Madya Loo berkata usaha membanteras jenayah rentas sempadan seperti perdagangan haram hidupan liar memerlukan kerjasama antara negara.

Beliau turut menekankan kepentingan mendidik golongan belia mengenai perdagangan haram tersebut.

Menurutnya, platform Rangkaian Belia Global CITES (CGYN), yang membolehkan golongan belia mempelajari mengenai cabaran berkaitan perdagangan hidupan liar, adalah langkah ke arah yang betul.

Singapura menjadi tuan rumah bagi Sidang Puncak CGYN sulung selama lima hari, satu forum yang menghimpunkan lebih 70 orang belia dari 53 negara untuk bersama-sama menangani isu perdagangan haram hidupan liar.

Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, Encik Alvin Tan, turut menegaskan peri penting kerjasama antarabangsa dalam ucapan perasmiannya di Sidang Kemuncak CGYN pada Selasa (27 Mei).

“Kami bukan sahaja menjalin kerjasama antara agensi dan kementerian dalam pemerintah Singapura, malah turut bekerjasama dengan rakan antarabangsa, berkongsi penemuan baharu yang dapat membantu menangani secara lebih berkesan kawasan di mana para pemburu haram sering beroperasi dan melumpuhkan perdagangan haram hidupan liar dari akarnya," kata Encik Tan.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita