40,000 pengunjung dijangka hadiri Kejohanan Akuatik Dunia, World Aquatics Masters di SG
Pendapatan pelancong yang dijana daripada Kejohanan World Aquatics Masters dan Kejohanan Akuatik Dunia dijangka akan mencecah S$60 juta, dengan 40,000 pelawat antarabangsa dijangka menghadiri acara selama sebulan di negara ini.
Lakaran artis bagi kemudahan sementara Kejohanan Akuatik Dunia. (Gambar: Kejohanan Akuatik Dunia - Singapura 2025)
Setiausaha Parlimen Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Eric Chua membentangkan perangkaan itu di Parlimen pada Khamis (27 Feb) semasa menjawab soalan Anggota Parlimen Gerald Giam (WP-Aljunied).
Encik Chua berkata angka 40,000 - terdiri daripada penonton, atlet, pegawai, kru produksi dan media - adalah "anggaran konservatif".
Kejohanan Akuatik Dunia, yang menampilkan enam sukan renang, polo air, terjun cantik, renang artistik, renang air terbuka dan terjun tinggi, akan diadakan dari 11 Jul hingga 3 Ogos. Singapura dipilih sebagai tuan rumah selepas acara dwitahunan itu dipindahkan dari bandar Kazan di Rusia sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia di Ukraine.
Encik Giam juga meminta kos penuh untuk membina dan menanggalkan kemudahan di tempat pertandingan sementara itu.
Penganjur menyasarkan akhir Mei untuk menyelesaikan kerja-kerja binaan bagi kemudahan sementara itu di Kallang.
Kemudahan sementara itu, yang sedang dibina di tempat letak kereta bersebelahan pusat beli-belah Leisure Park Kallang, akan menempatkan kolam pertandingan, kolam pemanas badan, tempat duduk penonton dan kawasan khusus untuk acara-acara masyarakat. Ia akan mempunyai kapasiti tempat duduk kira-kira 4,800.
SOALAN MENGENAI KOS
Encik Chua berkata kos pembinaan kemudahan sementara itu masih dimuktamadkan, tetapi ia dijangka "setanding" dengan kos yang ditanggung oleh bandar-bandar lain yang menjadi tuan rumah acara sedemikian yang turut membina kemudahan sementara bagi menganjurkan acara tersebut.
"Sebagai tuan rumah, kami menyasarkan untuk menawarkan pengalaman acara yang positif kepada atlet dan penonton sambil berhemat dari segi kewangan dan kos," tambahnya.
Encik Chua mendedahkan bahawa pihak berkuasa juga sedang mengkaji kemungkinan menggunakan kemudahan sementara itu sebagai tempat latihan dan pertandingan untuk pertandingan tempatan dan serantau lain, serta untuk latihan atlet dan kegunaan awam.
Jika boleh, ia akan melunaskan kos penganjuran acara itu, kata Encik Chua. Memandangkan ia memerlukan kajian daya maju selanjutnya, beliau berkata butirannya akan dikongsi pada satu tarikh yang diumumkan kelak.
Laporan oleh South China Morning Post pada Julai memetik sumber tidak dinamakan yang mengatakan kejohanan renang itu terpaksa dipindahkan kerana kos sebenar tidak dinyatakan dengan betul dalam bidaan awal.
Mereka berkata rancangan awal adalah untuk menggunakan Stadium Negara yang mempunyai 55,000 tempat duduk, dan penganjur telah menganggarkan kejohanan itu akan menelan belanja "berpuluh-puluh juta dolar" sedangkan angka "sebenar mungkin beratus-ratus juta dolar".
Para penganjur kemudian memberitahu Mediacorp bahawa kebanyakan acara akan diadakan di sekitar kawasan Kallang untuk "mencapai kecekapan logistik dan operasi".
"Pendirian umum dalam kalangan penganjur acara sukan bertaraf antarabangsa seperti itu, termasuk kita, adalah tidak akan menjadi lebih keterlaluan... daripada edisi lalu acara yang sama," kata Encik Chua.
"Selepas menimbangkan tajaan yang kami perolehi setakat ini, saya fikir adalah munasabah untuk kami berpendirian bahawa kami lebih kurang berada di landasan yang betul dengan kedudukan ini."
Encik Chua menjelaskan bahawa jawatankuasa penganjur juga "berhati-hati" semasa mengurangkan kos selagi boleh semasa mendapatkan tajaan.
"Tajaan ini akan membantu kami membiayai beberapa kos yang berkaitan dengan operasi dan logistik acara itu," tambahnya.
"Kami mempunyai sasaran penajaan dan sedang mencapai kemajuan yang baik. Kami sedang dalam perbincangan aktif dengan pelbagai penaja dan kami akan mendedahkannya secara progresif."
Lewat tahun lalu, Pan Pacific Hotels Group, Trans-Eurokars Mazda dan OCBC telah diumumkan sebagai rakan-rakan kongsi hotel, kereta dan perbankan acara itu.
Dalam kenyataan medianya, jawatankuasa penganjur berkata bahawa OCBC telah membuat "penajaan tunai yang ketara".
Dua hotel di bawah jenama Pan Pacific Hotels Group akan menyediakan penginapan hampir 9,000 malam untuk lebih 500 pegawai yang terlibat dalam acara itu, manakala Trans-Eurokars Mazda akan membekalkan lebih 100 kereta untuk atlet dan pegawai yang mengambil bahagian.
Secara kolektif, tajaan ini berjumlah kira-kira S$5 juta.
"Kejayaan acara ini akan bergantung kepada sokongan rakyat Singapura," kata Encik Chua.
"Lantaran itu, marilah kita menghargai peluang ini untuk menunjukkan kepada dunia apa yang boleh kita lakukan sebagai sebuah negara yang bersatu dan memastikan kejohanan ini adalah sesuatu yang membanggakan kita."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.