4,000 rakyat menganggur diletak dalam Skim Bantuan Pencari Kerja pada 2025; daripada 10,000 permohonan
Lebih daripada 4,000 rakyat Singapura yang menganggur diletakkan dalam Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture pada 2025, daripada 10,000 permohonan yang diterima.
Para pemohon kerja di pelancaran program Jobs Nearby @ CDC di Taman Jurong CC pada 23 Okt 2025. (Gambar: CNA/Tan Wen Lin)
Lebih 80 peratus daripada mereka dalam skim tersebut menerima sekurang-kurangnya satu bayaran menjelang akhir 2025, kata Encik Nicholas Kong, pemangku pengarah bagi divisyen perancangan dan reka bentuk Workforce Singapore (WSG).
Agensi itu menyatakan demikian sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai skim faedah pengangguran pertama seumpamanya, yang sudah dilaksanakan selama setahun pada April.
Skim ini dimulakan bagi rakyat Singapura pada April 2025, dan dibuka kepada penduduk tetap (PR) dari suku pertama 2026.
Pemohon yang berjaya berkata bayaran tersebut membolehkan mereka memberi tumpuan kepada usaha pencarian kerja dan latihan untuk industri baharu, memberikan mereka penampan kewangan bagi menunggu tawaran yang lebih sesuai, serta membantu mereka bertahan sedang mereka menghadapi ketiadaan maklum balas daripada perekrut.
Namun, pekerja kontrak dan penganggur jangka panjang menimbulkan persoalan tentang bantuan untuk kumpulan ini, memandangkan mereka bukan kumpulan penerima yang disasarkan bagi Skim Bantuan Pencari Kerja.
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) menyatakan bahawa sekitar 60,000 rakyat Singapura dan penduduk tetap dijangka layak untuk skim ini setiap tahun, membentuk lebih 60 peratus daripada mereka yang menganggur secara tidak sukarela.
Individu yang menganggur secara tidak sukarela dan layak untuk skim ini boleh menerima sehingga S$6,000 dalam tempoh enam bulan jika mereka memperoleh mata yang mencukupi dengan melengkapkan aktiviti pencarian kerja, seperti menghadiri pameran kerjaya dan berjumpa jurulatih kerjaya.
Encik Kong berkata sebab paling lazim permohonan ditolak adalah apabila pemohon dinilai tidak menganggur secara tidak sukarela, seperti mereka yang meletak jawatan secara sukarela.
Syarat lain termasuk pendapatan bulanan purata bawah S$5,000 semasa bekerja, sudah bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh setahun lalu, serta tinggal di hartanah dengan nilai tahunan tidak melebihi S$31,000.
Seorang pencari kerja yang menerima bayaran daripada skim ini hanya boleh memohon semula selepas tiga tahun.
Semasa perbahasan Belanjawan baru-baru ini, gerakan buruh menggesa pemerintah menaikkan had gaji skim kepada S$7,600, selaras dengan pendapatan median bulanan bagi golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen.
MOM menyatakan dalam responsnya bahawa ia akan menjalankan semakan - termasuk parameter utama seperti pendapatan kelayakan - apabila mempunyai lebih banyak pengalaman mengendalikan skim tersebut.
WSG tidak memberikan angka yang diminta mengenai jumlah rayuan oleh pemohon yang ditolak dan kadar kejayaannya.
Pihak berkuasa menyatakan bahawa rayuan bagi bantuan pencari kerja dipertimbangkan mengikut kes.
Encik Kong berkata pekerja kontrak yang dapat menunjukkan bukti bahawa mereka kehilangan pekerjaan secara tidak sukarela, seperti penamatan kontrak lebih awal, boleh layak untuk skim ini jika memenuhi semua kriteria lain.
Ini termasuk pekerja dalam tempoh percubaan (probation) yang boleh membuktikan mereka kehilangan pekerjaan secara tidak sukarela, katanya kepada Mediacorp.
Ahli ekonomi Walter Theseira berkata terdapat bukti bahawa sesetengah pekerja lebih memilih kerja kontrak, fleksibel atau 'gig', manakala yang lain memilih pekerjaan tetap.
Secara umum, sukar untuk membezakan dengan jelas, kata profesor madya di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
“Ia bergantung kepada sama ada kita menerima risiko bahawa sebahagian bayaran Skim Bantuan Pencari Kerja diberikan kepada pekerja yang sebenarnya tidak menganggur secara tidak sukarela,” katanya.
Mengenai cadangan menaikkan had gaji skim, Dr Theseira berkata tanggapan bahawa hanya pekerja berpendapatan rendah memerlukan bayaran, manakala pekerja berpendapatan tinggi mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi pengangguran, adalah sesuatu yang sentiasa berubah.
PENGANGGUR JANGKA PANJANG
Syarat skim yang memerlukan seseorang itu bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh setahun lalu, secara berkesan mengecualikan penganggur jangka panjang, iaitu mereka yang tidak bekerja selama 25 minggu atau lebih.
Pada 2025, Singapura mempunyai kira-kira 14,600 penduduk yang menganggur jangka panjang dan sebelum ini pernah bekerja.
Terdapat bukti kukuh bahawa pengangguran jangka panjang bersifat berulang, kata ahli ekonomi Kim Seonghoon.
Majikan mungkin menggunakan tempoh pengangguran sebagai penunjuk kualiti pekerja dan mendiskriminasi calon yang menganggur jangka panjang, kata profesor madya di Uiversiti Pengurusan Singapura (SMU) itu.
Tempoh pengangguran yang lebih lama juga dikaitkan dengan perasaan putus asa yang lebih kuat untuk mencari pekerjaan. Singapura mempunyai 7,400 pekerja yang putus asa - iaitu mereka yang tidak mencari kerja kerana merasakan tiada hasil - pada 2025. Majoritinya berusia 50 tahun ke atas.
Bayaran kepada pencari kerja berkemungkinan paling membantu pada peringkat awal pengangguran, apabila sokongan pendapatan segera dan bantuan aktif dalam pencarian kerja paling diperlukan, katanya.
Namun, penganggur jangka panjang menghadapi halangan berbeza untuk kembali bekerja, termasuk keengganan majikan, rangkaian profesional yang semakin lemah, serta keyakinan dan kesihatan mental yang merosot.
Encik Kong berkata syarat bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam tempoh setahun lalu bertujuan menggalakkan mereka yang menganggur secara tidak sukarela untuk bertindak segera dan tidak menangguhkan pencarian kerja.
Ketika skim ini dilancarkan pada April 2025, terdapat kelonggaran sekali sahaja untuk tempoh terhad bagi mereka yang menganggur sejak April 2024, katanya.
WSG dan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) kekal komited untuk menyokong penganggur jangka panjang, yang boleh mendapatkan bantuan jurulatih kerjaya atau menyertai program penukaran kerjaya, tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.