400 peserta tetap bersemangat sokong acara 'World Cancer Walk' 2025 Persatuan Ain meskipun hujan
SINGAPURA: Meskipun cuaca mendung dan hujan yang berterusan sejak beberapa hari lalu, acara 'World Cancer Walk' 2025 anjuran Persatuan Ain tetap berjaya menarik hampir 400 peserta pada hari ini (12 Jan).
Acara di Taman East Coast itu berjaya mengumpulkan masyarakat untuk memberikan sokongan kepada pesakit dan pejuang barah serta keluarga mereka.
Seawal jam 8.30 pagi lagi, para peserta sudah berkumpul di Taman East Coast untuk bersiap memulakan sesi berjalan kaki sejauh 3.5 kilometer.

Walaupun disambut cuaca dingin dan hujan, semangat para peserta tidak goyah.
Antara peserta ialah Cik Siti Nurba’yah Mohd Hamid, 41 tahun, yang hadir bersama ahli keluarganya untuk memberi sokongan moral kepada anaknya, ‘Aliyan Amadi, seorang pejuang penyakit barah.
SOKONG ANAK, KELUARGA YANG HIDAP BARAH

Semasa berusia dua setengah tahun, 'Aliyan Amadi disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut, sejenis barah darah.
Kini, selepas bertahun-tahun berjuang, beliau bebas barah dan berada dalam remisi.
"Saya mahu memberi sokongan kepada Persatuan Ain yang ambil bahagian dalam 'World Cancer Walk' dan juga bukan anak saya sahaja yang mengidap barah dalam keluarga. Ada juga ahli keluarga lain yang mengidap barah. Jadi saya membuat ini untuk mereka juga untuk memberitahu mereka yang kami amat perihatin akan kesakitan mereka dan ini adalah cara kami tunjukkan perhatian dan prihatin kami," kongsi Cik Siti Nurba'yah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Cik Siti juga berkongsi kebimbangannya kerana cuaca hujan, tetapi semangatnya tetap tinggi.
"Pada permulaannya agak risau sebab hari ini hujankan? Tetapi lama kelamaan, Alhamdulillah cuaca agak baik hari ini. Cuma agak lebat sekejap tadi. Jadi kita gembira dapat bermain dalam hujan kerana bukan selalu dapat main dalam hujan dan saya lihat kawan-kawan, pesakit dan pejuang barah dan ahli keluarga mereka bersama-sama dengan kita, dapat bertutur cara dan berkongsi. Jadi, saya amat gembira hari ini," tambahnya.
'Aliyan turut berkongsi rasa gembiranya dalam acara itu.
"Saya sangat gembira berjalan dengan keluarga saya, boleh lihat pantai, laut dan keindahan alam. Acara ini dapat memberi perhatian kepada semua pesakit barah di seluruh dunia," kata 'Aliyan Amadi, 14 tahun.
JUMLAH PESERTA NAIK 400 PESERTA TAHUN INI
Acara kali ini mencatatkan peningkatan jumlah peserta yang signifikan, dengan hampir 400 orang turut serta, berbanding lebih 280 peserta tahun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Ain, Encik Md Yusof, sokongan yang diterima daripada masyarakat adalah “satu kebanggaan”.
"Mungkin daripada 'word of mouth' atau dari mulut ke mulut oleh peserta-peserta tahun lalu kerana mereka seronok dan bahagia dapat turut menyumbang dan menyokong para pesakit barah ini dan mereka rasa puas dan pada masa yang sama, mereka membawa kawan-kawan yang baharu dan juga yang menarik sekali, lebih banyak masjid dan juga badan-badan seperti kami yang menyokong menyantuni pesakit barah, menghantar lebih banyak peserta pada tahun ini," kongsi Encik Md Yusof.

Tambah beliau, sokongan yang ditunjukkan mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap bahaya dan kesengsaraan yang dihadapi oleh individu yang menghidap barah serta keluarga mereka.
"Semoga dengan (acara) ini, ia meningkatkan lagi kesedaran akan bahayanya barah, yang paling utama sekali setiap ahli keluarga yang berusia 40 ke atas perlu membuat saringan kesihatan, khususnya saringan barah kerana buat masa ini, belum ada lagi ubat yang dapat betul-betul menyembuhkan barah kecuali dengan mengadakan saringan," ujar Encik Md Yusof.
Beliau juga menekankan kepentingan pengesanan awal barah bagi meningkatkan keberkesanan rawatan.
"Kalau barah itu dikesan awal, kemungkinan rawatan ini akan berkesan dan mereka dapat bebas daripada barah. Jadi yang paling utama sekali, harapan kami dengan mengadakan acara seperti hari ini,ialah untuk menyedarkan mereka membuat saringan kesihatan khususnya saringan barah. Jadi sama-sama kita boleh dapat meneruskan kehidupan kita dengan bahagia bersama orang-orang yang tersayang," tambahnya.
BERI SOKONGAN, TINGKATKAN KESEDARAN TERHADAP PENYAKIT BARAH

Acara berjalan kaki itu turut disertai oleh Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman, yang gembira melihat kerjasama Persatuan Ain bersama pelbagai pertubuhan lain.
"Yang penting ialah hari ini, kita dapat melihat Persatuan Ain bergabung dengan rakan-rakan kerja yang lain dan juga sukarelawan dari Singapore Airlines (SIA) dan masjid. Alhamdulillah, mereka semua memberikan sokongan dan wadah untuk berbincang antara satu sama lain," kata Encik Fahmi.

Beliau turut menekankan kepentingan kesedaran terhadap penyakit barah.
"Yang penting ialah memberi kesedaran kepada semua bahawa barah adalah penyakit yang boleh kita atasi. Apa yang perlu ialah kesedaran, bantuan, kumpulan sokongan, atau kaunseling kepada yang terjejas," tambahnya.
Acara ini juga melibatkan wakil dan sukarelawan dari Yayasan Barah Payu Dara, Persatuan Barah Singapura, Singapore Airlines, Hospital KK untuk Wanita dan Kanak-Kanak (KKH), serta masjid-masjid tempatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.