400 orang bujang berpendapatan rendah kini manfaatkan Skim Bilik Bujang Kemudahan Dikongsi
Sekitar 400 orang bujang berpendapatan rendah sudah berpindah ke penginapan seperti asrama, di bawah Skim Bilik Bujang Kemudahan Dikongsi.
Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee memberikan kemas kini itu menerusi satu catatan di media sosial.
Projek tersebut menawarkan lebih banyak pilihan bagi individu rentan yang mahukan privasi sedang mereka berusaha mendapatkan kembali kestabilan dan berdikari.
Flat-flat sewa seperti yang terletak di Ang Mo Kio, di bekas tapak Maktab Rendah Anderson adalah antara penginapan yang tersedia di bawah Skim Bilik Bujang Kemudahan Dikongsi.
Bekas asrama pelajar diubah suai untuk mewujudkan sekitar 480 bilik bujang.
Setiap bilik dilengkapi dengan perabot asas seperti rangka katil, meja dan kerusi.
Kemudahan bilik mandi, dapur, dan mencuci pakaian semuanya dikongsi.
Agensi khidmat sosial, New Hope Community Services dilantik bagi menguruskan tapak tersebut.
Walaupun masih baharu, ia sudahpun melihat terbentuknya sebuah komuniti di mana para penyewa mengambil berat terhadap mereka yang mempunyai lebih banyak keperluan.
"Para penyewa di sini ada pelbagai profil dan keperluan berbeza-beza. Ada juga yang punya keperluan kesihatan. Ada yang punya keperluan sosial. Jadi bagaimana kita memenuhi keperluan mereka? Kami bekerjasama dengan rakan kongsi masyarakat, dengan banyak agensi masyarakat bagi memenuhi pelbagai keperluan kesihatan dan sosial dan sebagainya," kata Pekerja Sosial Kanan, Martina Ambrose.
Ketua New Hope Centre itu turut berkongsi bahawa pendekatan yang dilakukan menawarkan "sokongan kolaboratif yang memanfaatkan sumber-sumber masyarakat" demi memenuhi keperluan para penyewa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.