400 anak banduan, bekas pesalah dihadiahkan perkakas sekolah bernilai $50 setiap satu
Seramai 400 anak tahanan dan bekas pesalah berusia enam hingga 12 tahun diberikan perkakas sekolah bernilai $50 di bawah inisiatif baru 'Back to School', yang baru dilancarkan hari ini (22 Dis) oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.
SINGAPURA: Seramai 400 anak tahanan dan bekas pesalah berusia enam hingga 12 tahun diberikan perkakas sekolah bernilai $50 di bawah inisiatif baru 'Back to School', yang baru dilancarkan hari ini (22 Dis) oleh Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Amrin Amin.
Selain daripada perkakas sekolah, ia turut merangkumi surat yang ditulis sendiri oleh ibu bapa mereka yang masih lagi berada di dalam penjara.
Inisiatif, yang merupakan sebahagian daripada projek masyarakat Reben Kuning, bertujuan untuk membantu anak-anak para banduan dari segi emosi, akademik dan kewangan.
Set bag sekolah itu disokong oleh Dana Reben Kuning (YRF).

AMRIN AMIN: MASIH BANYAK YANG BOLEH DILAKUKAN
Bercakap di acara yang diadakan di Heartbeat @ Bedok, Encik Amrin berkata inisiatif itu merupakan sesuatu yang beliau ingin anjurkan sejak dahulu lagi memandangkan ia melibatkan pelbagai pihak termasuk keluarga, anak-anak dan masyarakat.
“Keluarga yang kukuh membantu kita untuk melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan. Jadi kita lakukan yang terbaik untuk memastikan ikatan keluarga kuat walau apa pun keadannya.
“Kedua, 400 kanak-kanak mendapat manfaat daripada program ini. Mereka merupakan golongan yang paling terkesan. Ketiadaan ibu, ibu dan bapa yang baru dipenjarakan merupakan sesuatu yang boleh memberikan trauma bagi mereka,” tambah Encik Amrin.
Turut hadir di acara pagi ini (22 Dis) ialah Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Josephine Teo.
Acara hari ini turut menghimpunkan para sukarelawan Masyarakat Reben Kuning dari 77 divisyen, hampir meliputi seluruh Singapura.
Mereka berhubungan dengan para keluarga dan pesalah bagi mengenal pasti dan menangani keperluan keluarga menerusi rujukan kepada sumber dan rangkaian masyarakat yang relevan.
Pada masa yang sama, Encik Amrin juga menyeru kepada lebih ramai sukarelawan supaya membantu dalam usaha meninggalkan kesan positif dan merubah kehidupan para pesalah dan keluarga mereka.
Beg-beg sekolah akan diagihkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bermula hari ini (22 Dis).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.