Skip to main content

Singapura

40% peserta program kaunseling Mahkamah Syariah antara 2019-2023 tidak jadi bercerai

Hampir 40 peratus daripada lebih 15,300 pasangan yang menjalani Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) Mahkamah Syariah antara 2019 hingga 2023 tidak meneruskan dengan permohonan perceraian mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Feb 2025 07:49PM Dikemas Kini : 20 Feb 2025 10:39PM
  • Hampir 40 peratus daripada lebih 15,300 pasangan yang menjalani Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) Mahkamah Syariah antara 2019 hingga 2023 tidak meneruskan dengan permohonan perceraian mereka.
  • Menurut MCCY, lebih 58,000 pasangan telah dirujuk ke Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) antara tahun 2004 dan 2024.
  • Dapatan kajian mengenai keberkesanan program itu yang dikongsikan MCCY dan Mahkamah Syariah, mendapati lebih 80 peratus daripada 315 klien yang mengikuti program kaunseling itu bersetuju bahawa mereka telah memperoleh manfaat daripadanya.
  • Antara intipati utama adalah pentingnya kaunseling yang menggabungkan dasar sekular dan kepercayaan agama untuk memberi bantuan yang lebih holistik.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Hampir 40 peratus daripada lebih 15,300 pasangan yang menjalani Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) Mahkamah Syariah antara 2019 hingga 2023 tidak meneruskan dengan permohonan perceraian mereka.

Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli berkongsi perkembangan itu di acara Amalan Masyarakat anjuran SYC (COP) anjuran Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) pada Khamis (20 Feb).

"Ini adalah penting kerana jika keutuhan keluarga terus dikekalkan, ia akan membantu melindungi kanak-kanak daripada kesan jangka panjang yang boleh mengganggu kestabilan mereka akibat perceraian. MCP adalah penting untuk usaha-usaha Mahkamah Syariah untuk menyelamatkan perkahwinan, menyelesaikan perceraian secara baik, dan mencapai hasil yang adil," kata Encik Masagos.

Menurut MCCY, lebih 58,000 pasangan telah dirujuk ke Program Kaunseling Perkahwinan (MCP) antara tahun 2004 dan 2024.

Dapatan kajian mengenai keberkesanan program itu yang dikongsikan MCCY dan Mahkamah Syariah, mendapati lebih 80 peratus daripada 315 klien yang mengikuti program kaunseling itu bersetuju bahawa mereka telah memperoleh manfaat daripadanya.

Selain itu, lebih 60 peratus klien melaporkan mereka memperoleh pemahaman yang lebih jelas mengenai isu dalam perkahwinan mereka.

Mereka juga mempelajari strategi untuk menguruskan impak perceraian ke atas diri mereka dan menjadi lebih peka mengenai sumber sokongan yang tersedia.

Kajian tersebut turut menggariskan beberapa cadangan mengenai sokongan yang diperlukan daripada kaunselor dan para pakar untuk melaksanakan MCP dengan lebih berkesan.

"Ada perkara-perkara yang kami boleh memperkuatkannya lagi. Seperti program atau kaunseling yang akan dilihat selepas perkahwinan dan juga daripada segi sokongan yang dapat kami salurkan kepada badan-badan sokongan sosial.

"Kami dapati bahawa ada ruang dan peluang untuk para asatizah dan juga kaunselor untuk kami sama-sama terus untuk melakarkan strategi atau program yang inovatif pada masa hadapan," kata Timbalan Pengarah Kanan, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), Mahkamah Syariah Singapura, Imran Mohamed.

Seramai 100 tetamu termasuk para kaunselor dan wakil agensi sosial menghadiri sesi pada Khamis untuk mempelajari amalan terbaik melalui ceramah dan sesi perbincangan.

Antara intipati utama adalah pentingnya kaunseling yang menggabungkan dasar sekular dan kepercayaan agama untuk memberi bantuan yang lebih holistik.

Kerjasama dengan asatizah, contohnya, membantu mendalami isu-isu keagamaan.

"Selalunya isu-isu pasangan kebanyakannya adalah perkara-perkara yang ada berkaitan dengan hukum. Dari segi apa maknanya nafkah?

"Ini adalah isu-isu di mana kami sentiasa perlu mengumpulkan lebih banyak pandangan dari asatizah supaya perbincangan atau sesi kaunseling itu lebih bermakna," kata Kaunselor Kanan di Apkim Resources, Murni Abbas.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita