Skip to main content

Singapura

40% pekerja akan tolak tawaran kerja jika tiada aturan bekerja dari rumah, waktu kerja fleksibel

Anggaran Waktu Membaca:
40% pekerja akan tolak tawaran kerja jika tiada aturan bekerja dari rumah, waktu kerja fleksibel

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Kira-kira dua daripada setiap lima responden atau 40 peratus yang ditinjau berkata bahawa mereka tidak akan menerima tawaran kerja jika mereka tidak dapat bekerja dari rumah atau pada bila-bila masa yang mereka mahu.

Sekitar 40 peratus juga mengatakan bahawa mereka lebih sanggup menganggur daripada berasa tidak gembira dalam pekerjaan mereka, manakala kira-kira separuh daripada mereka yang ditinjau menegaskan mereka akan berhenti kerja jika pekerjaan itu menghalang mereka daripada menikmati kehidupan. 

Dapatan itu adalah sebahagian daripada tinjauan dua kali setahun oleh agensi pengambilan pekerja, Randstad, yang melibatkan 1,000 responden di Singapura yang sudah bekerja dan berusia antara 18 hingga 67 tahun. 

Tinjauan tersebut yang dijalankan antara Februari dan Mac tahun ini, menarik perhatian kepada sentimen terkini tenaga kerja dan persepsi mereka terhadap pasaran pekerjaan setempat. 

BEKERJA DARI RUMAH & WAKTU KERJA FLEKSIBEL

Lebih tiga suku atau 77 peratus responden berkata mereka menghargai peluang untuk bekerja dari rumah, dengan 42 peratus mengatakan bahawa mereka tidak akan menerima tawaran kerja sekiranya tiada pilihan untuk bekerja dari rumah. 

Sekitar 52 peratus responden pula berkata bahawa majikan mereka menawarkan pilihan untuk bekerja dari rumah. 

Dalam pada itu, para responden turut berkata bahawa mereka menghargai waktu kerja yang fleksibel, dengan 80 peratus daripada mereka menekankan bahawa ia penting bagi mereka dan 60 peratus pula berkata pekerjaan mereka sekarang kini menawarkan waktu kerja yang fleksibel. 

Sungguhpun demikian, 41 peratus responden berkata mereka tidak akan menerima tawaran kerja jika mereka tidak dibenarkan bekerja pada waktu yang diinginkan. 

Cik Jaya Dass, Pengarah Urusan Randstad Singapura dan Malaysia, berkata walaupun waktu kerja fleksibel penting bagi para pekerja di Singapura, tidak semua syarikat dilihat menawarkannya sebagai pilihan. 

"Majikan yang ingin mengekalkan para pekerja mereka harus menimbangkan untuk menawarkan model kerja yang lebih fleksibel bagi memenuhi jangkaan para pekerja yang berubah-ubah disebabkan oleh pandemik," katanya. 

PEKERJA LEBIH MUDA AKAN BERHENTI KERJA JIKA PEKERJAAN MEREKA MENGHAMBAT KEBAHAGIAAN

Golongan pekerja lebih muda lebih berkemungkinan akan berhenti kerja jika pekerjaan mereka menghalang mereka daripada menikmati kehidupan, menurut tinjauan tersebut. 

Sekitar 56 peratus responden yang berusia antara 18 hingga 24 tahun berkata mereka akan berbuat demikian, serupa dengan jumlah responden yang berusia antara 25 hingga 34 tahun. 

Bahagian yang lebih rendah daripada pekerja lebih tua (45 peratus) yang berusia antara 45 hingga 54 tahun akan melakukan perkara yang sama. 

Laporan tinjauan itu turut mendedahkan bahawa pekerja matang mungkin berdepan dengan tanggungjawab kewangan yang lebih berat dan sudah berpangkat tinggi dalam kerjaya mereka. Justeru, mereka kurang berkemungkinan akan mengambil risiko dengan menukar majikan. 

Keadaannya berbeza bagi para pekerja lebih muda yang mengubah tafsiran kejayaan bagi mereka, yang dapat dilihat dalam kesanggupan mereka untuk menukar pekerjaan demi mencari budaya dan struktur majikan yang lebih sesuai bagi gaya hidup dan impian mereka, menurut laporan tersebut. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita