Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

40 kereta api lama di laluan MRT Utara-Selatan, Timur-Barat akan diganti

 Dua laluan MRT yang tertua di Singapura akan mendapat 40 kereta api baru bagi menggantikan kereta api sedia ada yang sudah digunakan selama sekurang-kurangnya dua dekad.

Anggaran Waktu Membaca:
40 kereta api lama di laluan MRT Utara-Selatan, Timur-Barat akan diganti

(Gambar: LTA)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 01:08PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 01:12PM

SINGAPURA: Dua laluan MRT yang tertua di Singapura akan mendapat 40 kereta api baru bagi menggantikan kereta api sedia ada yang sudah digunakan selama sekurang-kurangnya dua dekad.

Ia akan digantikan dengan kereta api baru syarikat Bombardier dari Kanada.

Kereta api baru itu, yang dibeli pada harga S$337.8 juta akan digunakan di laluan-laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat secara bertahap-tahap, bermula 2024, menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada Isnin (28 Sep).

LTA akan menggantikan 19 kereta api generasi kedua yang dibekalkan oleh syarikat kejuruteraan Siemens dari Jerman, yang pertama kali diperkenalkan pada 1995 dan juga 21 kereta api generasi ketiga dari Kawasaki-Nippon Sharyo. Kereta api itu mula digunakan di sini sejak tahun 2000.

Kereta api baru itu akan dipasang di kemudahan Bombardier di Changchun, China, dengan bahagian-bahagiannya diperolehi dari Sweden, Jerman dan negara-negara lain.

Kereta api baru itu turut dilengkapi dengan ciri-ciri baru seperti alat
pemantau keadaan, yang akan membolehkan sebarang kerosakan ditangani sebelum ia menjejas khidmat penumpang, menurut LTA. Selain itu, kereta api tersebut juga akan menyediakan ruang terbuka yang lebih luas untuk menampung kereta sorong bayi dan pengguna kerusi roda, di samping skrin LCD baru yang memaparkan maklumat perjalanan kereta api.

Pengumuman hari ini dibuat dua tahun selepas Bombardier memenangi kontrak bernilai S$1.2 bilion untuk menggantikan 66 kereta api generasi pertama Kawasaki yang digunakan di laluan-laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat. Kereta api tersebut sudah digunakan di Singapura sejak MRT mula beroperasi di sini pada 1987.

Kesemua 106 kereta api bagi kedua-dua laluan tersebut, yang dibekalkan oleh Bombardier, akan mempunyai reka bentuk yang sama, menurut LTA.

Semasa berucap di majlis penandatanganan kontrak di Depo SMRT di Bishan, Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung berkata pembelian kereta api baru itu akan membawa kepada ekonomi skala, sekali gus mengurangkan kos pembelian dan kos operasi kereta api.

"Sebaik sahaja proses menggantikan kereta api selesai dijalankan, ini bermakna jenis kereta api yang beroperasi di sini juga berkurangan dan ini akan membantu para jurutera untuk membangunkan kemahiran yang lebih mendalam mengenai setiap jenis kereta api," menurut Encik Ong.

Buat masa ini, kedua-dua laluan itu mempunyai 198 kereta api daripada enam jenis yang berbeza dan dibekalkan oleh syarikat-syarikat yang berlainan.

Pada Isnin, Bombardier juga menandatangani kontrak sokongan khidmat jangka panjang dengan SMRT, yang mengendalikan laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat.

Kontrak selama 10 tahun itu akan bermula pada 2022, dan ia turut merangkumi pilihan untuk melanjutkan kontrak itu selama 20 tahun lagi, menurut SMRT dalam kenyataannya. 

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan