4 warga M'sia didakwa cuba seludup wanita keluar S'pura dalam but kereta
Empat rakyat Malaysia didakwa selepas cuba menyeludup seorang wanita keluar dari Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (4 Mac).
Kereta dikesan di kawasan pelepasan Pusat Pemeriksaan Woodlands. (Gambar: ICA)
SINGAPURA: Empat rakyat Malaysia didakwa selepas cuba menyeludup seorang wanita keluar dari Singapura menerusi Pusat Pemeriksaan Woodlands, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) hari ini (4 Mac).
Para pegawai ICA menemui seorang wanita dalam but kereta yang berdaftar di Malaysia, ketika mereka menahan kenderaan tersebut untuk menjalankan pemeriksaan pada 28 Feb, sekitar 7.45 malam. Kereta itu dipandu seorang wanita Malaysia berusia 42 tahun yang ditemani seorang lagi penumpang wanita.
Wanita ketiga, seorang rakyat Myanmar, tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan atau perjalanan bersamanya. Dia kemudian didakwa kerana memasuki dan cuba keluar dari negara secara haram.
Para pegawai ICA juga melihat sebuah lagi kereta yang berdaftar di Malaysia yang berlegar-legar di kawasan selepas imigresen di pusat pemeriksaan itu dengan enjin kenderaannya masih hidup.
Pusat pemeriksaan itu dikepung pada sekitar 8.05 malam kerana para pegawai mengesyaki mereka yang berada dalam kereta itu mempunyai kaitan dengan orang-orang dalam kereta pertama dan mereka mungkin akan cuba melarikan diri.
Kawasan yang dikepung dibuka semula pada 8.10 malam, selepas pemandu lelaki dan penumpang wanita dalam kereta yang berlegar-legar itu ditahan.
"Siasatan awal mendapati bahawa para pemandu dan penumpang kedua-dua kereta, yang semuanya rakyat Malaysia, bersubahat.
"Mereka segera ditahan, termasuk wanita yang ditemui bersembunyi dalam but kereta," menurut ICA.
Empat rakyat Malaysia terbabit berusia antara 29 dengan 42 tahun.
Di bawah Akta Imigresen, mereka yang didapati bersalah memasuki negara secara haram boleh dipenjara sehingga enam bulan dan dikenakan sekurang-kurangnya tiga sebatan.
Hukuman bagi kesalahan keluar dari negara secara haram adalah penjara selama enam bulan, denda sehingga S$1,000 atau kedua-duanya sekali.
Sesiapa yang didapati bersalah terlibat dalam urusniaga membawa keluar pendatang asing tanpa izin dari Singapura pula berdepan dengan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan sekurang-kurangnya tiga sebatan.
Kenderaan yang digunakan bagi melakukan kesalahan sedemikian juga boleh disita.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.