4 tuduhan baru dikenakan terhadap remaja terbabit dengan kes ceroboh kandang badak sumbu
Remaja yang dikenakan waran tangkap kerana gagal bangun dari tidur untuk menghadiri perbicaraan mahkamah ditahan reman dan dikenakan tuduhan baru.

(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Remaja yang dikenakan waran tangkap kerana gagal bangun dari tidur untuk menghadiri perbicaraan mahkamah ditahan reman dan dikenakan tuduhan baru.
Ralph Wee Yi Kai, 19 tahun, hari ini (12 Nov) dikenakan empat lagi tuduhan baru kerana melakukan perbuatan nakal dengan memotong tag GPS pada buku lali dan memiliki pod isi semula rokok elektronik dan alat pengewap atau 'vape'.
Dia dituduh memotong tag GPS berharga S$100 itu kira-kira pukul 12.10 tengah malam di 16 Leedon Road pada 26 Oktober dan memiliki satu rokok elektronik di alamat yang sama dua hari kemudian.
Wee dituduh memiliki satu alat 'vape' dan enam pod isi semula rokok elektronik di sebuah wad di Institut Kesihatan Mental (IMH) pada 14 September.
Dia mungkin berdepan empat tuduhan kerana gagal melaporkan diri bagi ujian air kencing, namun Biro Narkotik Pusat (CNB) tidak boleh mengenakan tuduhan ke atasnya, menurut seorang pendakwa di mahkamah. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan sebabnya namun berkata CNB bersedia untuk mengenakan tuduhan pada minggu depan.
Wee hadir di mahkamah pada pagi ini menerusi persidangan video dari tempat di mana dia ditahan reman. Dia ditahan reman sejak 6 November, sehari selepas waran tangkap dikeluarkan ke atasnya setelah dia gagal untuk bangun tidur bagi menghadiri perbicaraan mahkamah.
Peguam bela memberitahu mahkamah bahawa Wee "berdepan kesukaran untuk bangun tidur" dan ibu bapanya tidak berjaya mengejutnya pada pagi dia perlu menjalani perbicaraan mahkamah.
Wee sebelum ini didakwa pada Julai atas empat tuduhan melakukan perbuatan nakal, pecah masuk dan merosakkan harta.
Wee berhasrat untuk mengaku bersalah dan dia diberikan tarikh 22 November untuk berbuat demikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.