Skip to main content

Singapura

4 tapak rumah urus mayat akan dibangunkan 10 tahun mendatang

Empat tapak rumah urus mayat akan dibangunkan secara bertahap-tahap sepanjang 10 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, umum Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (8 Jan).

Anggaran Waktu Membaca:
4 tapak rumah urus mayat akan dibangunkan 10 tahun mendatang

Sebuah kompleks rumah urus mayat yang dirancang dibuka di Ang Mo Kio Street 63, berdekatan Kuil Liuxun Sanhemiao. (Gambar: NEA)

Diterbitkan : 08 Jan 2019 10:14PM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 10:18PM

SINGAPURA: Empat tapak rumah urus mayat akan dibangunkan secara bertahap-tahap sepanjang 10 tahun akan datang bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat, umum Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) hari ini (8 Jan).

Tapak-tapak itu terletak di Ang Mo Kio Street 63 berdekatan stesen bas SBS Transit, sebuah kawasan perindustrian di Bukit Batok Street 23, Mandai Road berdekatan rumah bakar mayat Mandai, serta Taman Perindustrian Woodlands E8.

Dikenal pasti sebagai proses rancangan silang agensi, tapak-tapak itu terletak di beberapa kawasan Singapura "bagi memastikan rumah urus mayat mudah dijangkaui para penduduk di Singapura dari pelbagai kawasan," menurut NEA dalam kenyataan medianya.

Agensi itu menambah, permintaan tahunan bagi ruang-ruang seumpama itu dijangka meningkat selaras dengan kenaikan kadar kematian, yang diramal melonjak kepada sekitar 40,000 orang menjelang 2040.

Terdapat 20,905 kematian yang didaftarkan di Singapura pada 2017, menurut Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam satu laporan yang diterbitkan pada Jun 2018.

Related article image

"Kemudahan seperti ini adalah prasarana awam di mana keluarga dapat memberikan penghormatan terakhir kepada orang tersayang, dalam upacara mengikut agama dan istiadat masing-masing," menurut NEA.

Meskipun acara persemadian lazimnya diadakan di kolong HDB dan dewan serba guna, ada juga permintaan yang kian meningkat bagi upacara seperti itu diadakan di kemudahan rumah urus mayat, menurut NEA sambil menambah, ia akan terus bekerjasama dengan para perancang penggunaan tanah bagi memastikan tapak-tapak baru siap bagi memenuhi permintaan kelak.

Kompleks-komplek rumah urus mayat seterusnya "akan direka dan beroperasi secara sensitif bagi mengurangkan kesan terhadap pihak-pihak berkepentingan di kawasan kejiranan," menurut NEA, yang turut mendedahkan antara ciri-ciri kemudahan seperti tempat letak kereta dan penghadang penglihatan (visual barrier) bagi memastikan keluarga-keluarga mendapat privasi. Tatacara dan upacara juga akan dijalankan di tapak-tapak terbatas, selagi boleh dilakukan.

"NEA akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mengumpul maklum balas dan menyepadukan saranan-saranan berkaitan dalam rancangan pembangunan tapak masing-masing," menurutnya.

Related article image

"Sebagai sebuah negara yang kecil dan didiami ramai penduduk, akan ada persaingan bagi penggunaan tapak demi memenuhi pelbagai keperluan pembangunan Singapura," tambah agensi itu. "Antara pembangunan-pembangunan ini memerlukan rakyat Singapura untuk membuat penyesuaian dan bertolak ansur.

"Melalui pemberitahuan terdahulu, perancangan terperinci dan mengambil langkah-langkah perlu, pelbagai agensi akan melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kesulitan yang timbul daripada pembangunan-pembangunan sebaik mungkin."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita